Monday, May 30, 2011

Perpuspaan Sultan Brunei

Istiadat Perpuspaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 01.08.1968 .

30.05.2011, Isnin - Perpuspaan? Apa tu, Perpuspaan ini adalah bahasa Istana Brunei yang membawa maksud Pertabalan atau Coronation kata orang putihnya. Perpuspaan merupakan istiadat terpenting dalam istiadat diraja Brunei. Hanya setelah melakukan istiadat ini, Sultan yang baru dimahkotakan akan memakai gelaran Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Persiapan untuk Perpuspaan ini biasanya mengambil masa 12 bulan dimana para pembesar negara akan bermasyuarat bagi memastikan segala yang dirancang berjalan dengan sempurna.

Pada zaman dahulu pemberitahuan berhubung perpuspaan melalui dua cara iaitu Bendera Kuning dikibarkan di Bukit Panggal, Tutong manakala Bendera Merah dikibarkan di Bukit Sungai Kebun. Perayaan ini diadakan selama empat puluh hari empat puluh malam. Pada sebelah malamnya diadakan Istiadat Berjaga-Jaga. Sebelum Istiadat Perpuspaan dilaksanakan, Sultan yang baru dikehendaki melaksanakan Istiadat Bersiram (Mandi) pada sebelah paginya dengan iringan 12 das tembakan meriam. Baginda kemudiannya akan diarak menuju ke Lapau dan bersemayam di Pataratna dibawah Nanglong yang merupakan alat kebesaran diraja. Kemudiannya baginda akan diarak mengelilingi bandar dengan menaiki Usungan Diraja.

Permaisuri baginda pula akan melakukan Istiadat yang berlainan di Istana yang dinamakan Istiadat Memuja Raja Isteri. Baginda akan bersemayam di singahsana dan menunggu ketibaan Sultan. Setelah semua Istiadat selesai, Nobat Iskandar akan dimainkan sebanyak tujuh kali dengan di iringi oleh 21 das tembakan meriam. Puja Puspa akan dibacakan oleh DYTM Pengiran Bendahara manakala Pehin Orang Kaya Digadong akan menghunus pedang sambil berteriak "SEMBAH". Istiadat Perpuspaan ini diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Pehin Datu Seri Maharaja.

Istiadat Perpuspaan ini dilaksanakan di Lapau. Lapau merupakan sebuah bangunan dimana semua istiadat tradisional diraja Brunei dilaksanakan termasuklah bakal Sultan dipuspakan atau ditabalkan. Lapau terletak di Bandar Seri Bagawan berhampiran Pusat Sejarah Brunei. Dalam konteks negara kita setiap pertabalan dilaksanakan di Balairong Seri Istana tetapi di Brunei Lapau merupakan sebuah bangunan tersendiri dan bukan dalam kawasan Istana.

1 comment:

Anonymous said...

nak tanya.... siapa tu kat gambar? adakah itu pehin orang kaya digadong?