Thursday, February 28, 2013

Sultan Brunei Darussalam dan Raja Isteri Hadiri Majlis Ramah Mesra Perayaan Tahun Baru Tiong Hwa 2013

28 Februari 2013, Khamis:-


Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Ramah Mesra Perayaan Tahun Baru Tiong Hwa 2013.  Meskipun sambutan Tahun Baru Cina telah berakhir dengan sambutan Chap Goh Meh namun ada pihak-pihak tertentu yang masih lagi mengadakan sambutan Tahun Baru Cina sebagai memeriahkan perayaan tersebut. Masyarakat Tiong Hwa di Brunei telah mengadakan Sambutan Majlis Ramah Mesra Perayaan Tahun Baru Tiong Hwa 2013 di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel and Country Club di Jerudong.

Turut mengiringi Tuanku Sultan Brunei Darussalam dan Raja Isteri adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahman serta kerabat-kerabat diraja lainnya.  Para tetamu telah dihiburkan dengan persembahan tarian asli Brunei dan masyarakat Cina, nyanyian serta persembahan tarian singa. Tuanku Sultan Brunei Darussalam dan Raja Isteri serta rombongan juga berkenaan melawat pameran yang disediakan oleh masyarakat Tiong Hwa serta menerima cenderahati.

Sumber:- Jabatan Penerangan Brune / Pelita Brunei

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mahkota Salman Buka Akaun Twitter


28 Februari 2013, Khamis :-

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mahkota Salman telan membuka akaun Twitter pertama baginda pada 23 Februari lepas dalam bahasa Arab.  Dalam post pertamanya baginda menulis "Ini adalah akaun rasmi dan kepunyaan Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman bin Abdul Aziz Al Saud, Putera Mahkota Kerajaan Arab Saudi". Selepas tweet pertama ini, baginda telah memperolehi 200,000 pengikut. Jika anda ingin cuba berinteraksi dengan baginda bolehlah jadi pengikut Twitter baginda di @HRHPSalman. Jika Raja-Raja Melayu membuka akaun Twitter atau Facebook senanglah juga rakyat berinteraksi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan akan mendekatkan lagi rakyat dengan pihak Istana kerana tidak semua orang boleh mengadap Raja-Raja Melayu di Istana yang menjadi kawasan larangan.  Keadaan ini juga boleh mengelakkan daripada pihak-pihak tertentu mengujudkan fan page untuk mereka seperti yang ada di Facebook sekarang ini.


Baru-baru ini sebuah syarikat konsultan sosial media yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi, The Social Clinic melaporkan dilaman webnya www.thesocialclinic.com,  Arab Saudi sendiri mempunyai lebih daripada tiga juta pengguna Twitter dan merupakan pengguna tertinggi Twitter di Timur Tengah dengan kadar pertumbuhan sebanyak 300 peratus tahun ke tahun.  Mengikut laporan itu lagi, diantara 2011 dan 2012 bilangan pengguna Twitter dinegara tersebut meningkat sebanyak 3,000 peratus. Dianggarkan sebanyak 50 juta tweet setiap bulan dinegara berkenaan yang kebanyakannya dibuat dalam bahasa Arab. Keadaan ini telah menjadikan bahasa Arab merupakan bahasa paling pesat berkembang penggunannya di Twitter. Ibu Negara Arab Saudi sendiri iaitu  Riyadh berada didalam senarai 20 bandar teratas  yang mempunyai tweet terbanyak didunia.  Menurut laporan itu lagi Arab Saudi juga merupakan pengguna Facebook tertinggi.

Sumber :- Al Arabiya News

Sultan Pahang Pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-231

28 Februari 2013, Khamis :- 

Semalam telah diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-231 dan telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah.  Mesyuarat sehari yang diadakan di Istana Negara Jalan Duta ini dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kedah yang diwakali oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah manakala Sultan Perak diwakili oleh Pemangku Raja Perak Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Sepertimana biasa, Raja-Raja Melayu akan diiringi oleh Menteri Besar masing-masing kecuali Sultan Kelantan diiringi oleh wakil menteri besar. Begitu juga Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diringi oleh Ketua Menteri masing-masing kecuali Sarawak diiringi oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa mesyuarat telah diberikan taklimat mengenai pertahanan dan keselamatan negara daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Tambah beliau lagi, turut dibincangkan dalam mesyuarat ini adalah perkara berhubung agama Islam, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta beberapa perlantikan semula Ketua Audit Negara, Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

Sumber : Berita Harian / Bernama

Wednesday, February 27, 2013

Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Pelancaran Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia dan Konsert Permata Seni 2013

27 Februari 2013, Rabu :- 

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun  telah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia dan menyaksikan Konsert Permata Seni 2013 yang bertemakan "Mensyukuri Nikmat Kedamaian". Konsert musikal yang disertai oleh lebih daripada 150 peserta dalam bidang seni tari, muzik dan koir ini diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur. Konsert ini bertujuan untuk mengutip dana bagi Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia yang baru ditubuhkan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di negara kita dan seluruh dunia. Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor dalam ucapannya memaklumkan setakat ini   mereka telah berjaya mengumpul sumbang berjumlah RM 22 juta. Dalam majlis malam tadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima sumbangan dana untuk tabung berkenaan daripada beberapa buah syarikat.

Turut serta berkenan berangkat ke majlis malam tadi adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah ; Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid ;  Pemangku Raja Perak, Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara Kedah Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Turut memeriahkan majlis malam tadi adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri  Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Seri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais, menteri-menteri dan timbalan menteri kabinet serta duta-duta asing.

Sumber :- Bernama

Tuesday, February 26, 2013

Sultan Brunei mengurniakan surat watikah dan menerima surat tauliah perlantikan Duta-Duta Besar

26 Februari 2013, Selasa :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan  mengurniakan surat watikah dan menerima surat tauliah perlantikan Duta-Duta Besar yang baru di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.  Majlis diadakan secara berasingan dan dimulai dengan pengurniaan watikah perlantikan Duta Brunei keluar negara.

Tuanku Sultan telah berkenaan menerima mengadap dan mengurniakan surat watikah perlantikan kepada Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghafar bin Haji Ismail, wakil tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat dan Pehin Datu Panglima Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Ahmad yang merupakan Duta Besar Istemewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman.  Seterusnya Tuanku Sultan berkenan pula menerima mengadap dan menerima surat tauliah perlantikan daripada Jean-Vves Berthault, Duta Besar Istemewa dan Mutlak Republik Peranchis ke Negara Brunei Darussalam dan akhir sekali Tuanku Sultan berkenan menerima mengadap dan menerima surat tauliah perlantikan daripada Saul Arana Castellon, Duta Besar Istemewa dan Mutlak Republik Nicaragua ke Negara Brunei Darussalam.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Rejimen Askar Melayu Diraja


26 Februari 2013, Selasa :-

Seksyen 16 (1) Akta Angkatan Bersenjata 1972 menyatakan "mana-mana orang yang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap ; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu Diraja".  Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance.  Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhammad (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan) dan Dato' Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) merupakan antara individu yang mengesa Kerajaan British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja telah dianggotai oleh seramai 23 orang dan kemudiannya bertambah kepada dua batalion menjelang tahun 1941.  Sewaktu Perang Dunia Kedua Askar Melayu Diraja pernah bertempur dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura.

Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum.  Askar Melayu Diraja pula hanya merupakan satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.

Sumber :- Jabatan Penerangan Malaysia / 7 Wasiat Raja-Raja Melayu / Wikipedia

Monday, February 25, 2013

Raja Nazrin Hadiri Majlis Penutup Royal Belum World Drums Festival 2013

25 Februari 2013, Isnin :-

Malam tadi Pemangku Raja Perak Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan menghadiri Majlis Penutup Royal Belum World Drums Festival 2013 yang diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Ipoh, Perak. Turut serta mengiringi baginda dalam majlis penutup ini adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim, Menteri Besar Perak Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Exco Pelancongan Perak, Dato' Hamidah Osman. The Royal Belum Drum Festival 2013 bermula pada 20 Februari lepas dan berakhir malam semalam 24 Februari 2013.  Festival bertaraf antarabangsa ini telah disertai oleh peserta-peserta dari Malaysia sendiri sebagai tuan rumah, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, Republik Azerbaijan, Mesir dan India.  Para peserta telah menunjukkan kemahiran masing-masing dalam bermain gendang dibeberapa lokasi terpilih di Perak sepanjang festival ini berlangsung mengikut jadual yang telah ditetapkan seperti di AEON Seri Manjong, Taiping Sentral Mall, Mydin RTC Gopeng, Mydin Meru Raya di Jelapang, Airstrip Gerik dan MBI City Square Ipoh.

Sumber :- Bernama / royalbelumworlddrumfest.com

Kenali Menantu-Menantu Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

25 Februari 2013, Isnin :-

Hari ini Syah tak sihat dan berada dirumah, jadi banyak masa dan Syah ambil kesempatan ini untuk perkenalkan kepada anda semua menantu-menantu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.  Sultan Brunei dikurniakan dengan lima orang Putera dan enam orang Puteri hasil daripada tiga perkahwinan Sultan Brunei sebelum ini.  Walau bagaimanapun baginda telah menceraikan dua orang isteri baginda iaitu Hajah Mariam binti Abdul Aziz pada Februari 2003 dan    Azrinaz Mazhar Hakim binti Hakim Mazhar pada 16 Jun 2010.

Anakanda-anakanda Tuanku adalah:-

Daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam
  1. YTM  Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah (26.07.1969)
  2. YTM  Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah (12.10.1971)
  3. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (17.02.1974)
  4. YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah (16.03.1976)
  5. YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah (12.03 1980)
  6. YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik (30.06.1983)
Daripada Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz, DKMB, PHBS. Setelah bercerai dengan Sultan Brunei pada Februari 2003 segala darjah kebesaran dan gelaran Diraja beliau telah ditarik semula.

  1. YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim (29.07.1982)
  2. YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah (26.09.1984)
  3. YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah (23.08.1985)
  4. YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen (10.08.1991)
Daripada Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar, DKMB, PHBS. Setelah bercerai dengan Sultan Brunei pada 16 Jun 2010 segala darjah kebesaran dan gelaran Diraja beliau telah ditarik semula.

  1.  YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel (01.06.2006)
  2. YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah (28.01.2008)
Daripada 11 orang anakanda baginda, empat daripadanya telah mendirikan rumahtangga dan keempat-empatnya adalah anakanda kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri.  Hasil daripada perkahwinan anakanda-anakanda  baginda, Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan dengan sembilan orang cucunda, empat lelaki dan lima perempuan.  Menantu-menantu baginda adalah :-


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahman, D.K., The Order of the Kawkab Al-Urdani (First Degree) (Jordan).

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah merupakan menantu kedua Sultan Brunei dan isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.  YTM merupakan anakanda bungsu dan perempuan tunggal dari tiga beradik dari pasangan YM Pengiran Salleh Ab Rahman bin Pengiran Haji Damit dan YM Dayang Rinawaty binti Abdullah @ Suzanne Rahman  Aeby. Anak kacukan Melayu Brunei dan Switzerland ini diputerikan pada 09 April 1987 di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Bagawan dan diberi nama Dayang Ku Sarah. YTM bertemu jodoh pada September 2004 dalam usia 17 tahun dengan paduka suaminya yang ketika itu berusia 30 tahun.

Hasil daripada perkahwinan ini YTM telah dikurniakan dengan sepasang cahayamata iaitu :-
  1. Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntakim diputerakan pada 17 Mac 2007.
  2. Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah diputerikan pada 02 Januari 2011. 


Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj, D.K.

YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim merupakan menantu sulung Sultan Brunei dan suami kepada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pegiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah. YAM diputerakan pada 01 Januari 1970 merupakan putera kepada YAM Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Muhammad Yassin dan YAM Pengiran Anak Datin Paduka Hajah Siti Rafiah binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Muda Haji Muhammad Hashim. YAM bertemu jodoh dengan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah pada 15 Ogos 1996. Hasil daripada perkahwinan ini YAM telah dikurniakan dengan lima orang cahayamata:-
  1. Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raheemah Sanaul Bolkiah (28.12.1997)
  2. Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hariisah Widadul Bolqiah 
  3. Yang Amat Mulia Pengiran Anak 'Abdul Raqib (14.05.2002)
  4. Yang Amat Mulia Pengiran Anak  'Abdul Haseeb (14.01.2006)
  5. Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah (16.12.2009)


Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil bin Pengiran Syed Haji Jaafari

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil merupakan menantu ketiga Sultan Brunei dan  suami kepada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah. YAM diputerakan pada 28 Februari 1975 di Hospital Penaga, Seria dan merupakan putera kepada pasangan YM Pengiran Syed Haji Jaafari bin Pengiran Syed Haji Mashor  dan YM Hajah Dayang Sarbanun binti Haji Awang Abdi Manaf. YAM berkahwin dengan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah pada 07 Jun 2007.  Pasangan ini dikurniakan dengan dua orang cahayamata :-
  1. YAM Pengiran Anak Abdul Hafeez diputerakan pada 18 Mac 2008.
  2. YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa Ul Bolqiah diputerikan pada 06 Januari 2010.


Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini merupakan menantu keempat dan bungsu kepada Sultan Brunei setakat ini.  YAM merupakan suami kepada Yang Teramat Mulia   Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah. YAM diputerakan pada 18 Januari 1983 dan merupakan anak kedua dari pasangan YM Pengiran Dr.Haji Mohd. Yakub bin Pengiran Haji Othman dan YM Dayang Hajah Zainon binti Dato Paduka Elias.  Pasangan ini bolehlah dikatakan sebagai pengantin baru kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 20 September 2012 lepas.


Sumber :- Dirgahayu / Churahan Kasih / Buku Perkahwinan YTM PSPAP Hajah Majeedah Nuurul Buqiah / Buku Perkahwinan YTM PSPAP Hajah Hafizah Sururul Bolkiah / Royal Ark.

Sunday, February 24, 2013

Penyanyi R Azmi Adalah Kerabat Diraja Perak

24 Februari 2013, Ahad :-

Pernah tak anda semua dengar nama R Azmi iaitu penyanyi Melayu era 50an, 60an dan 70an yang seangkatan dengan Tan Sri P Ramlee dan Tan Sri S M Salim. Diantara lagu yang Syah minat adalah lagu memikat hati yang diantara liriknya berbunyi demikian :-

Pakai baju kancinglah suasa 
Pakai mari Baba-lah Melaka 
Biar saya rosaklah binasa 
Kerana dia tidak mengapa 


Lagu ini ada didendangkan di Radio Klasik Nasional dan bagi anak-anak muda mungkin mereka tidak mengatahuai lagu ini. R Azmi juga pernah berlakon dalam filem  seperti "Bapak Saya" dan merupakan penyanyi latar bagi filem-filem keluaran Malay Filem Production. Dalam kerjaya seninya, beliau menggunakan nama R Azmi.  Pada 1951 R Azmi mengikat kontrak dengan Shaw Brothers dan merupakan kumpulan pertama artis yang menetap di rumah berek Boon Teck Road. Selain daripada menyanyi dan berlakon, R Azmi juga merupakan penulis lirik lagu. 

Diantara lagu-lagu popular R Azmi adalah Memikat Hati, Si Cantik Manis, Hati Rindu, Terimalah Salamku, Putih Kuning, Kalau Ke Singapura, Ingin Ku Berjumpa, Helo Helo Sayang, Senyuman Yang Manis, Di Bawah Bulan Purnama (duet dengan Rokiah Wanda), Renungan Di Senjakala, Hatiku Kecewa, Mata Keranjang, Nasib Penyanyi, Bercerai Kasih, Kerana Mata, Hore Hore Samba, Pak Hitam, Rindu Kalbu dan Kalau Sudah Tergoda. 

Tahukah anda siapa sebenarnya individu yang bernama R Azmi ini.  Nama sebenar R Azmi adalah Raja Azmi bin Raja Ambiah. Beliau dilahirkan dalam keluarga diraja Perak di Bandar Diraja Kuala Kangsar dalam tahun 1923. Beliau dikatakan telah disisihkan oleh kerabat diraja kerana ingin bergiat dalam bidang seni. Pada ketika itu kerjaya anak seni bukanlah dianggap mulia oleh masyarakat seperti sekarang ini.  Selepas disisihkan oleh keluarga, beliau telah ke Singapura dan diterima bekerja di Malay Filem Production di Jalan Ampas. Beliau dikatakan pernah mengayuh basikal dari Kelang hingga ke Melaka hanya untuk menyanyi.

R Azmi amat popular ketika itu tetapi kerjaya seninya mula merosot dalam era 1960an sehingga beliau terpaksa menyanyi dalam persembahan di fun fair untuk menyara kehidupnya. R Azmi tidak pernah berkahwin dan dikatakan pernah bercinta dengan "anak raja" tetapi cintanya tak kesampaian. Kerjaya seni R Azmi  tidak membolehkan beliau mengumpul harta dan sebab itulah agaknya keluarga beliau menghalangnya bergiat dalam bidang seni pada peringkat awal lagi.

Dengan keadaan hidupnyanya yang sebatang kara, tiada anak, tiada isteri, tiada harta dan disisihkan oleh keluarga, beliau terpaksa menumpang hidup dengan orang lain dan akhirnya pada 28 Februari 1974 R Azmi menghembuskan nafas terakhir kerana sakit lelah(asma) dalam usia 51 tahun. R Azmi mangkat di rumah seorang Guru Besar di Kelang, Selangor. Mangkat disisi beberapa orang peminatnya bukannya keluarga sendiri. Keperitan  hidup R Azmi sebagai anak seni dapat kita perhatikan dari lirik lagu "Nasib Penyanyi" yang digubah dan dinyanyikan sendiri oleh R Azmi seperti berikut :- 

Beginilah nasib
Menjadi seorang penyanyi
Di bawa orang ke sana ke mari
Menjual suara hai denganlah menyanyi
Buat menghibur hati yang sunyi
Menjadi penyanyi bukannya mudah
Mengikut lagu irama jiwa
Ada yang memuji ada yang mengeji
Beginilah nasib menjadi penyanyi


Mungkin ada orang berkata jika  dilahirkan sebagai kerabat diraja tentu hidup bahagia, kaya raya dan dapat apa sahaja yang dikehandaki. Tetapi anda silap, kerabat diraja juga manusia biasa ciptaan Allah dan melalui pelbagai dugaan dalam hidup ini sama seperti kehidupan rakyat biasa. Bukan sahaja kerabat Diraja malah ada juga bekas Sultan yang hidup melarat sehingga menjadi pemandu kereta sewa dari Terengganu ke Singapura untuk menyara hidup. Jika berminat sila baca Entry Syah seperti berikut  :-

http://tengkusyah.blogspot.com/2009/12/tengku-ali-pernah-tak-anda-semua-kenal.html

http://tengkusyah.blogspot.com/2011/09/secara-ringkas-mengenai-tengku-abdul.html

Al-Fatihah ............ kepada Allahyarham Raja Azmi bin Raja Ambiah, Semuga Rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- Wikipedia / Radio Nasional Klasik /Muor76 / Filem Klasik Melayu

Titah Sultan Brunei Supaya Tutup Perniagaan Sewaktu Solat Jumaat dan Tiada Arak Dalam Penerbangan Brunei


24 Februari 2013, Ahad :- 

Dalam usaha untuk merealisasikan Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir iaitu negara yang mendaulatkan hukum dan undang-undang Islam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan mengenai penguatkuasaan peraturan menutup sementara premis-premis perniagaan pada hari Jumaat sehingga selesai Solat Jumaat dan melarang dihidangkan arak dalam penerbangan Brunei. Mesej ini disampaikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah dalam ucapan baginda sempena sambutan hari kebangsaan Brunei ke-29 pada petang Jumaat 22.02.2013 yang dibuat secara langsung melalui siaran radio dan televisyen keseluruh Brunei. 

Dalam titah baginda, baginda menzahirkan kekesalan kerana ada pihak yang mengangap peraturan ini menjejaskan ekonomi negara. Baginda menekankan bahawa peraturan ini adalah penting bukan sahaja untuk menjaga imej negara tetapi juga juga imej Islam kerana kedua-dua perkara ini adalah penting agar iannya sentiasa nampak terpelihara dan indah. Tambah baginda lagi Syarikat yang  menghidangkan arak juga didapati ada yang rugi malah kerguiannya lebih besar dari Syarikat yang tidak menghidangkan arak.

Diantara petikan titah baginda :-
  • "Ini semua adalah langkah-langkah besar ke arah peningkatan. Sayugia diingat bahawa kita membangun adalah meliputi pembangunan fizikal dan rohani. Malah pembangunan jenis kedua inilah yang lebih-lebih lagi dituntut, kerana impaknya mencakup dua keuntungan sekali gus : keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat," 
  • "Ini sama halnya apabila kita melarang dari dihidangkan arak di dalam penerbangan, ada yang berkata rugi kerana penerbangan akan dikhuatiri tidak laku. Tetapi orang tidak ingat keuntungan di akhirat dan keuntungan rahmat serta berkat daripada Allah SubhanahuWata'ala,".
Sumber :- JabatanPenerangan Brunei / Pelita Brunei

Saturday, February 23, 2013

Tengku Saidatul Akmar Mangkat

23 Februari 2013, Sabtu :- 


Inna Lillah wa Inna Ilayhi Raji'oon, Dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Saidatul Akmar binti Yang Dihormati Orang Kaya Indera Segara Tengku Ibrahim telah kembali ke rahmatullah pada malam ini.  Syah tak dapat berita sepenuhnya tetapi dimaklumkan Allahyarhamah yang berusia 44 tahun mangkat mungkin kerana serangan sakit jantung dan beberapa minggu lepas Allahyarhamah dilaporkan diserang stroke. Jenazah mungkin akan dimakamkan di Makam Diraja Pekan, Pahang yang merupakan tempat persemadian bagi kerabat diraja Pahang. 

Takziah Syah ucapkan kepada keluarga Allahyarhamah semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini.

Al-Fatihah :- 
Semuga Roh Allahyarhamah Tengku Saidatul Akmar binti Yang Dihormati Orang Kaya Indera Segara Tengku Ibrahim ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin. 

Sumber :- Ku Duya

Sambutan Hari Ulangtahun Kelahiran Ke-89 Tengku Nor Anuar

23 Februari 2013, Sabtu :-

Pada 16 Februari lepas satu majlis sambutan ulangtahun kelahiran YAM Tengku Nor Anuar binti Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah yang ke-89 tahun telah diadakan dikediaman beliau di Petaling Jaya Selangor. YAM Tengku Nor Anuar diputerikan pada 16 Februari 1924 di Kuala Kangsar, Perak.  Ayahanda beliau merupakan Sultan Selangor ke-5 manakala bondanya adalah Tengku Ampuan Fatimah binti Almarhum Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah (Sultan Perak).  Tengku Nor Anuar berkahwin dengan sepupu sebelah bondanya, Allahyarham Raja Mohsin bin Raja Haji Shuib. Hasil daripada perkahwinan ini,YAM Tengku Nor Anuar dikurniakan dengan enam orang cahayamata. Syah ucapkan selamat menyambut hari ulangtahun kelahiran yang ke-89 kepada YAM Tengku Nor Anuar semuga YAM Tengku Nor Anuar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan. Amin.

Lelaki disebelah YAM Tengku Nor Anuar adalah kekanda beliau dari bonda yang sama iaitu YAM Tengku Ariff Temenggong Selangor Tengku Muhammad Yusof Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.


Sultan Brunei Hadiri Perhimpunan Agung Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Brunie Ke-29

23 Februari 2013, Sabtu :- 

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  telah berkenan mencemar duli menghadiri Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam yang ke-29 tahun yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di Bandar Seri Bagawan. Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah dan Keluarga Diraja Brunei disambut oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Brunei 2013.  "Negaraku Brunei Darussalam" telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Dianggarkan seramai 22,000 orang telah mengambil bahagian dalam program yang berlangsung pagi ini.  Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-29 tahun kepada Negara Brunei Darussalam semuga berjaya dalam usaha menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah "Negara Zikir" yang mendaulatkan hukum dan undang-undang Islam. Dirgahayu Tuan Patik.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Friday, February 22, 2013

Bekas Putera Mahkota Nepal Dalam Keadaan Kritikal Di Hospital


22 Februari 2013, Jumaat :-

Bekas Putera Mahkota Nepal, Paras Bir Birkam Shah atau dikenali sebagai Prince Paras telah dimasukkan ke Hospital Samitivej Sukhuvit di Bangkok kerana mengalami serangan jantung pada petang Selasa 19.02.2013. Keadaan Prince Paras dilaporkan kritikal dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sekarang ini. Prince Paras yang berusia 42 tahun menetap di Bangkok bersama-sama teman wanitanya yang berbangsa Thai, Kannika Chaisan dan beberapa orang pengiring. Setelah mendapat serangan jantung dikediamannya, beliau telah dikejarkan ke hospital oleh teman wanitanya  dan dimasukkan ke wad ICU (Intensive Care Unit) dan kemudiannya ditukarkan ke Wad CCU (Coronary Care Unit) setelah keadaan kesihatan beliau bertambah buruk.

Prince Paras pernah mendapat serangan jantung (mild heart attack) pada tahun 2007 dan dimasukkan ke Hospital Norvic di Kathmandu, Nepal.  Pada November 2012 pula Prince Paras telah ditahan di Phuket Thailand kerana memiliki 3.4 gram marijuana dan telah diarahkan menjalani rawatan pemulihan dadah selama sebulan di pejara Bang Jo, Phuket. Tidak berapa lama kemudian, beliau ditahan lagi kerana merosakkan apartment mewah yang disewanya tetapi dilepaskan dengan jaminan.

Setelah mendapat berita sedih ini beberapa orang kerabat diraja Nepal telah berlepas ke Bangkok kecuali bekas raja King Gyanendra, Queen Komal dan bekas Puteri Mahkota Himani.  Puteri Himani tidak dapat ke Bangkok kerana menemani anaknya Kriti yang dimasukkan ke hospital Norvic kerana masalah appendix pada 19.02.2012.  Walau bagaimanapun sumber terbaru menyatakan bahawa Kriti telah dibenarkan keluar dari hospital pada 21.02.2012 dan akan menjalani rawatan susulan dirumah. Puteri Himani dijangka akan ke Bangkok dalam waktu terdekat ini.

Prince Paras dilantik sebagai Putera Mahkota Nepal menggantikan sepupunya Putera Mahkota Dependra yang meninggal dunia setelah membunuh 9 orang keluarga diraja termasuk Raja dan Permaisuri Nepal akibat pengaruh dadah dan arak sebelum membunuh dirinya sendiri. Ayah dan Ibu Prince Paras dilantik sebagai Raja dan Permaisuri Nepal yang baru.  Walau bagaimanapun sistem beraja di Nepal telah digulingkan pada 2008

Sumber :- Republica / Phuket News

Thursday, February 21, 2013

Sultan Selangor Serahkan Watikah Perlantikan Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor


Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj menyerahkan watikah perlantikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor kepada Tan Sri Ibrahim Lembut.


21 Februari 2013, Khamis:-

Hari ini Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan mencemar duli menghadiri istiadat pergurniaan watikah  perlantikan bagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah bertempat di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor. Diantara yang menerima watikah perlantikan hari ini adalah :-

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah :-
  1. Dr. Mohd Na'im Moktar
  2. Abu Bakar Mohd Daud
  3. Mohamad Zakian Dio
Hakim Mahkamah Rendah Syariah :-
  1. Zainal Abidin Kusmin
  2. Hafiz Moksin
Mahkamah Rayuan Syariah 
  1. Tan Sri Ibrahim Lembut
  2. Datuk Md Yusup Che Teh
  3. Datuk Aidi Moktar
  4. Datuk Hussin Harun
  5. Datuk Yusuof Musa
  6. Datuk Muhammad Ibrahim
  7. Datuk Mohamad Abdullah
Turut serta dalam istiadat ini adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abd Khalid Ibrahim ; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Didalam titah baginda, Tuanku Sultan Sharafuddin berharap agar para Hakim tidak melengahkan kes-kes Mahkamah Syariah tanpa sebarang alasan munasabah kerana terdapat beberapa aduan dan rungutan yang diterima oleh baginda dari rakyat yang menyatakan mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan keputusan berhubung kes mereka.  Para hakim juga diingatkan agar menanamkan sikap berperikemanusiaan dalam menangani kes-kes yang dikendalikan.

Sumber :- Bernama

Pengiran Muda 'Abdul Muntakim Tunjukkan Kemahiran Bersilat

21 Februari 2013, Rabu :-

Semalam Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman dan putera Sulong banginda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah telah berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutupan Rasmi Kejohanan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-29 bagi tahun 2013 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Tutong. Majlis penutupan ini disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah manakala istiadat penutupan gelanggang pula disempurnakan oleh Tuan Haji Abdul Rani bin Orang Kaya Setia Negara Haji Mohd. Safar. 

Sebelum pertandingan bermula telah diadakan persembahan Gerak Seni Pencak Silat daripada   Gabungan Skim Jabatan Belia dan Sukan/Gabungan International School Brunei Perguruan Persilatan Panca SUKMA dimana YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntakim telah mencemar duli turut serta mengambil bahagian menunjukkan kemahiran bersilat beliau. Gambar disebelah yang Syah bulatkan dengan warna merah adalah YMT Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim. Baguslah kecil-kecil lagi telah diasuh mengenali seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu untuk persediaan sebagai pewaris tahta Negara Brunei Darussalam.

Kejohanan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan ini merupakan yang pertama kalinya diadakan di Brunei. Sebanyak sebelas buah pasukan telah menyertai kejohanan ini yang terdiri dari pasukan Daerah Tutong, DBM, Daerah Belait, Daerah Temburong, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS), Institusi Pengajian Tinggi, Majlis Sukan ABDB, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Kelab Silat Bangau Putih Bintulu, Pertubuhan Silat Seni Gayong Miri Sarawak dan Perguruan Silat Gerak Betawi Miri Sarawak. 

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei / Pelita Brunei

Lelaki Dijatuhi Hukuman Kerana Kes Rasuah Gelaran Dato' Seri

21 Februari 2013, Khamis :-

Dua hari lepas seorang kontraktor, Mohd Amirul Erwan Mohd Roslan yang berusia 36 tahun telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap dua kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 kerana meminta dan menerima habuan berjumlah RM5,000.00 daripada Mohammad Imran Abdullah yang merupakan seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk membantu seorang lagi ahli perniagaan, Lim Kok Han untuk memperolehi Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato' Seri. Amirul didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 02 Februari 2009 di Hotel Grand Kampar, Perak dan  04 Februari 2009 di Hotel Villa Subang di Selangor.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman Lima tahun penjara dengan denda RM25,000.00 bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukum penjara berjalan serentak.

Sumber :- Berita Harian / Berita TV

Wednesday, February 20, 2013

20 Februari 2013, Rabu :-


Salam dan Selamat petang kepada semua pembaca tengkusyah.blogspot.com.  Dukacita dimaklumkan Syah tak dapat update blog sehari dua ini kerana ada masalah dengan Router Streamyx di Rawang Residence Syah.  Insyallah jika ada kesempatan Syah akan update blog pada waktu lunch di office sahaja.  Segala kesulitan amatlah dikesali. 

Terima Kasih.

Sultan Brunei Menerima Mengadap Dr. Yousef Hamad Al-Ibrahim

20 Februari 2013, Rabu :- 

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  telah berkenan menerima mengadap Dr. Yousef Hamad Al-Ibrahim, Penasihat Al-Diwan Al-Amiri of the State of Kuwait.  Majlis yang diadakan di Istana Nurul Iman ini turut dihadiri oleh Kuasausaha Semantara, Kedutaan Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Mubarak Jaber Al Shorian ; Ketua Jabatan Pejabat Amir Kuwait, Abdullatif Bader Al-Manifi dan Pegawai Amiri Protocol & Chamberlain, Ahmad Abdullah Al-Maatooq.

Sumber :- Pelita Brunei

Tuesday, February 19, 2013

Bilik Bacaan Khas Untuk Tuanku Siti Aishah di Istana Negara Lama

19 Februari 2013, Selasa :- 

Tahukah anda bilik apakah ini. Ini adalah Bilik Bacaan di Istana Negara Lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur. Bilik ini dibina khas untuk YAM Permaisuri Siti Aishah yang ketika itu bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong XI Tuanku Siti Aishah. YAM Permaisuri Siti Aishah adalah balu kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj iaitu Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-X1.  Almarhum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 26 April 1999 untuk tempoh lima tahun. Walau bagaimanapun Almarhum tidak sempat menamatkan tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong setelah mangkat pada 21 November 2001.  


Bilik bacaan ini masih dikekalkan di Istana Negara ini sehinggalah ianya ditutup pada November 2011 lepas setelah Istana Negara yang baru di Jalan Duta siap sepenuhnya untuk persemayaman Ketua Negara Malaysia.  Kini Istana Negara Lama ini telah dijadikan Muzium. Jika anda ingin melihat sendiri dari dekat keadaan bilik ini silalah berkunjung ke Pameran Khas Istana Negara Lama yang sedang berlangsung sekarang ini.

Sumber :- Istana Negara Lama

Monday, February 18, 2013

Pengiran Muda Mahkota Diraikan Oleh PDB Dalam Majlis Puja Usia


18 Februari 2013, Isnin :-

Hari ini Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah telah diraikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu majlis sambutan harijadi atau dikenali sebagai puja usia DYTM Pengiran Muda Mahkota yang ke-39 tahun.  DYTM Pengiran Muda Mahkota diputerakan pada 17 Februari 1974.  Majlis yang diadakan di Royal Berkshire Hall, Jerudong Polo Club ini turut dihadiri oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul  Malik serta kerabat diraja lainnya.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

7 Wasiat Raja-Raja Melayu


18 Februari 2013, Isnin :-

7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan pemimpin-pemimpin telah dibuat semasa kemerdekaan Tanah Melayu  pada 31 Ogos 1957 seperti berikut :-


Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.

7 perkara itu adalah :-

Pertama :-
  • Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
Kedua :-
  • Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain ;
Ketiga :-
  • Bagi menjaga kamu dan melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar negara ;
Keempat :-
  • Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini ;
Kelima :-
  • Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan ;
Keenam :-
  • Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU ; dan
Ketujuh :-
  • Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTEMEWA ORANG-ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istemewa anak negeri Sabah dan Sarawak)
Sumber :-  Jabatan Penerangan Malaysia / Istana Negara Lama

Sunday, February 17, 2013

Melawat Pameran Khas Istana Negara Lama


17 Februari 2013, Ahad :-

Apa kata hari nie anda bawa keluarga terutamanya anak-anak untuk melawat Istana Negara Lama di Jalan Istana, Kuala Lumpur untuk menyaksikan Pameran Khas Istana Negara.  Sekarang kita boleh menyaksikan sendiri susunatur bahagian dalam Istana Negara Lama seperti Bilik Duta, Bilik Permaisuri, Bilik Singahsana Kecil, Bilik-Bilik Peraduan (BilikTidur), Pejabat Yang di-Pertuan Agong, Pejabat Raja Permaisuri Agong, Bilik Santapan, Bilik Bacaan, Bilik Mandi Istana, Kelinik Gigi, Pangung Wayang Mini untuk Yang di-Pertuan Agong dan Kerabat Diraja dan  macam-macam lagi. Memang anda akan kagum dengan keindahan dekorasi Istana Negara Lama ini. Semalam Syah datang kesini untuk menyaksikan Pameran Khas ini dengan kadar bayaran RM5.00 seorang dan kanak-kanak lain harganya. Kadar bayaran boleh disemak dikaunter yang terletak dipintu masuk Istana Lama.

Pameran Raja Kita yang bermula 16 April 2012 lepas telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013 dan diadakan di Balairong Seri Istana Negara Lama ini.  Masuk adalah percuma. Tiket hanya untuk masuk ke Istana sahaja. Walau bagaimanapun semasa Syah ke pameran ini semalam ada sesetengah bahan yang dipamirkan tidak ada ditempatnya mungkin sedang digunakan.  Kebanyakan bahan-bahan yang dipamirkan untuk Pameran Raja Kita sempena Pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 adalah replika.

Para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan pertunjukan silat mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Ini adalah persembahan tarian dan nanyian kaum asli Pulau Carey, Selangor.  Takut tak ? ............ hehehhe

Berbalik kepada Istana Negara lama ini, Ianya merupakan tempat persemayaman (tempat tinggal) Ketua Negara Malaysia iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana ini asalnya merupakan sebuah rumah kepunyaan seorang jutawaan berbangsa Cina yang dikenali sebagai Chan Wing yang dibina pada tahun 1928.  Istana ini pernah dijadikan Mes Pegawai Tentera Jepun ketika Jepun menakluki Tanah Melayu pada 1942 hingga 1945. Selepas Jepun menyerah kalah kepada Pihak Berikat dalam Perang Dunia Kedua, kediaman ini telah dibeli oleh kerajaan Negeri Selangor dan dijadikan istana untuk Sultan Selangor. Istana ini kemudiannya dibeli pula oleh Pihak Persekutuan pada tahun 1957 untuk dijadikan Istana Negara. 

Beberapa pengubahsuaian dan baikpulih telah dibuat terhadap Istana ini dari masa ke semasa dan pada tahun 1980 telah diadakan pengubahsuaian secara besar-besaran untuk membina Balairong Seri. Semenjak tahun 1957, Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan di Dewan Tuanku Abdul Rahman yang terletak di Ampang. Dengan adanya Balairong Seri yang baru ini, bermula tahun 1980 Istiadat pertabalan diadakan Balairong Seri ini. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-VII, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama ditabalkan di Istana Negara Lama ini. Yang di-Pertuan Agong terakhir yang ditabalkan disini adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri Istana Negara baru yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 11 April 2012 lepas. 

Untuk masuk kedalam Istana anda perlu menunjukkan tiket yang dibeli di kaunter tadi kepada petugas dipintu masuk Istana.  Anda tidak dibenarkan memakai kasut dan akan dibekalkan dengan sebuah beg plastik untuk mengisi kasut anda dan anda perlu membawa masuk beg pastik berkenaan dan tidak boleh meninggalkannya di pintu masuk Istana. Anda tidak dibenarkan membawa sebarang makanan atau minuman masuk kedalam Istana sewaktu lawatan dan anda tidak tidak dibenarkan mengambil gambar. Jika anda bernasib baik pandai-pandailah ambil gambar secara sembunyi-sembunyi sebagai kenang-kenangan seperi gambar diatas tu. Disetiap kawasan ada petugas Muzium untuk mengawasi para pengunjung, jika anda melakukan sesuatu yang dilarang jangan terasa hati pula bila kena tegur kerana mereka menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Akhir sekali sebelum keluar ada disediakan buku pelawat untuk diisi oleh para pengunjung. Beg plastik tadi boleh dimasukkan kedalam bakul sampah yang disediakan dipintu keluar Istana.

Dalam Istana ini tidak disediakan tandas dan anda perlu ke Balairong Seri dimana Pameran Raja Kita berlangsung, tandas disediakan ditingkat bawah Balairong Seri ini. Untuk masuk ke Pameran Raja Kita adalah percuma dan tidak dibenarkan memakai kasut. Rak kasut disediakan  ditepi pintu masuk tetapi jika anda tidak membuang beg plastik yang diberikan tadi anda boleh gunakan semula jika takut kasut kena kebas oleh orang lain, tetapi rasanya selamat letak kasut kat situ sebab tak nampakpun pelawat yang bawa kasut masuk sebab mereka sudah buang beg plastik kedalam tong sampah yang disediakan dipintu keluar Istana. Jika anda tidak yakin untuk meninggalkan kasut di rak berkenaan, jangan buang beg plastik yang diberi kepada anda tadi semasa keluar dari Istana berkenaan. Anda dibenarkan mengambil gambar di Pameran Raja Kita dan bahagian luar Istana Negara Lama.

Friday, February 15, 2013

Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah

15 Februari 2013, Jumaat :-

Tahukah anda bahawa Masjid Istana Diraja yang berada didalam kawasan Istana Alam Shah, Klang telah diilhamkan pembinaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Baginda juga  telah membiayai sepenuhnya kos pembinaan Masjid Istana Diraja ini yang bernilai RM 9 juta.  Pembinaan masjid bermula Januari 2009 dan siap sepenuhnya pada Mei 2011. Masjid dengan keluasan 2160 meter persegi ini dibina bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan tali persaudaraan waris-waris kerabat diraja Selangor seperti mmengadakan majlis tahlil, akad nikah, tempat meletakkan jenazah, solat jenazah dan seumpamanya. Selain daripada itu masjid ini juga dijadikan pusat ilmu tahfiz Al-Quraan yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Istana Alam Shah.  Masjid ini juga boleh digunakan untuk bersolat bagi  orang awam yang menghadiri sebarang majlis yang diadakan di Istana Alam Shah. Walau bagaimanapun Solat Jumaat tidak di adakan di Masjid Istana Diraja ini.

Masjid ini mempunyai sebuah menara setinggi 36 meter dan empat buah pintu gerbang dengan hiasan jubin-jubin hasil seni tangan dari Turki dimana pintu gerbang  utamanya menghadap Istana Alam Shah. Permukaan kubah masjid diukir  dengan corak geometeri ringkas yang disusun secara seragam manakala  bahagian atas  menara pula dihiasi dengan elimen muraqanas atau senireka yang menerapkan corak berunsur islam.  Setiap penjuru dinding masjid dihiasi dengan pelbagai jenis kaligrafi ayat-ayat suci Al-Quraan. 

Masjid ini menyerupai reka bentuk masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir terutama pada pada menara, kubah dan pintu gerbang. Walau bagaimanapun  terdapat juga suntikan elimen estetik Melayu dibeberapa bahagian masjid seperti ukiran kayu pada bahagian pintu utama dan mimbar masjid. Rekaan masjid ini lebih berkonsep terbuka dimana ruangan dalaman bangunan kebanyakannya tidak dipisahkan oleh dinding  bagi mendapatkan  peredaran udara segar serta meminimumkan pengunaan penghawa dingin.

Kelihatan para tetamu sedang menjamu selera selepas Majlis Tahlil Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah yang diadakan malam tadi (14.02.2013) di Masjid Istana Diraja. 

Peristiwa paling penting yang berlaku di masjid ini selepas ianya siap dibina pada Mac 2011 adalah ianya digunakan buat pertama kalinya untuk menyempurnakan jenazah Bonda tersayang Sultan Sharafuddin  Idris Shah Alhaj yang mangkat pada 31 Mac 2011. Jenazah Almarhumah Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ehsan binti Tengku Badar Shah telah dimandikan dan disolatkan di masjid ini sebelum dimakamkan selepas solat Asar di Makam Diraja Shah Alam.

Sumber :- Kosmo / Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz /T Soraya

Thursday, February 14, 2013

Leong Pei Koe Dipenjara Kerana Hina Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah

14 Februari 2013, Khamis :-

Pepatah Melayu ada menyatakan "Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali", maksudnya jika hendak membuat sesuatu pekerjaan yang baik janganlah berlebih-lebihan sehingga tak kena pada tempatnya dan perbuatan atau pekerjaan yang jahat haruslah dihindarkan sama sekali. Begitulah nasib yang menimpa seorang lelaki Cina yang telah dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000.00 kerana kerana menunjukkan isyarat lucah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun dan Asisten Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Leong Pei Koe seorang Jurukur Bahan berusia 29 tahun dari Jalan USJ 4/6E, Subang Jaya, Selangor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam atas dua pertuduhan yang dikenakan kepada beliau. Pertuduhan yang dikenakan kepada beliau adalah :-
  1. Mendatangkan kegusaran orang lain dengan menunjukkan isyarat lucah di tempat awam dengan menggenggam tangan kanan dan jari tengah ditunjukkan ketika kenderaan rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun melalui balai perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang pada pukul 11:50 pagi Isnin 11 Februari 2013.
  2. Mendatangkan kegusaran Asisten Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid apabila menunjukkan isyarat lucah di tempat awam dengan menggenggam tangan kiri dan tangan kanan menepuk tangan kiri dilokasi dan masa yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, Pei Koe didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang membawa peruntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.  Pei Koe tidak diwakali oleh peguam manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Charanjit Singh Mohinder Singh.

Bagi pertuduhan pertama, Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM6,000.00 atau penjara dua bulan jika Pei Koe gagal membayar denda berkenaan. Bagi tuduhan kedua pula, Pei Koe dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000.00 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Dalam keadaan sebak beliau merayu bagi diringankan hukuman dan mengaku salah di atas perbuatannya itu selain ikhlas ingin memohon maaf kepada Keluarga Diraja, Polis dan seluruh rakyat Malaysia. Pei Koe telah membayar denda berkenaan dan Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak dari tarikh tangkapan dibuat iaitu 11 Februari 2013. Pei Ko akhirnya dihukum penjara sebulan dan didenda RM8,000.00. 

Majistret Muhamad Hidayat dalam kenyataannya memaklumkan bahawa :-

Hukuman ini sebagai pengajaran kepada Pei Koe dan pihak lain, kerana setiap rakyat Malaysia perlu patuh pada Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Hukuman ini merupakan satu mimpi ngeri sempena sambutan tahun baru cina bagi beliau tetapi nak buat macam mana nasi sudah jadi bubur. Apa-apapun satu perkara yang kita perlu ingat, jika sesorang itu membuat kesalahan kepada kita atau bangsa kita, kita perlu memaafkannya tetapi kita kena berhati-hati dengan orang seperti ini kerana ada kemungkinan dia akan mengulangi perbuatannya yang sama dimasa hadapan. Syah berharap Pei Koe belajar dari kesilapan yang telah dilakukan untuk jadi lebih baik lagi dimasa hadapan. Perkara ini juga harus dijadikan tauladan kepada seluruh masyarakat Malaysia supaya tidak melakukan perkara yang sama atau seumpamanya kerana jika anda lakukan juga, anda tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Menyesal dahulu pendapatan dan menyesal kemudian tidak berguna. Fikir-fikirkan lah sebelum anda cuba berniat menghina Raja-Raja Melayu. 

Sumber :-Kosmo / Berita  Harian