Friday, October 24, 2014

Tunku Mahkota Johor dan Che Puan Khaleeda Selamat Diijab Kabulkan

24 Oktober 2014, Jumaat :- 

Tahniah diucapkan kepada Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dan Che Puan Khaleeda Bustamam yang telah melangsungkan Istiadat Bertunang dan Istiadat Pernikahan (Akad Nikah) baginda hari ini 24 Oktober 2014 bersamaan 29 Zulhijjah 1435. Kenderaan Rasmi Tunku Mahkota Johor dilihat memasuki Istana Bukit Serene, Johor Baharu, Johor pada jam 10:00hrs. Pasangan diraja ini dilihat berangkat keluar dari Istana Bukit Serene sekitar jam 12:00hrs setelah sah bergelar suami isteri.

Turut serta berangkat ke Istiadat ini adalah Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan  Isteri Kepada DYMM Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah serta Kerabat Diraja dan keluarga pengantin perempuan. Turut serta adalah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan Exco kerajaan negeri dan tetamu-tetamu kenamaan lain. Istiadat Bertunang dan Istiadat Pernikahan dihadiri oleh Kaum Keluarga Diraja dan Jemputan Khas sahaja.

Istiadat Pernikahan  disempurnakan oleh Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin.







Click Gambar untuk Imej yang lebih besar

Sumber :- therakyatpost.com (Azrol Ali) /johorsoutherntigers.com.my / Utusanonline / Majlisraja-raja.gov.my

Monday, October 20, 2014

Tunku Mahkota Johor Berkahwin Jumaat Ini


20 Oktober 2014, Isnin :-

Tahniah diucapkan kepada Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang akan melangsungkan pernikahan baginda dengan pasangannya Cik Khaleeda Bustamam pada Jumaat ini 24 Oktober 2014 bersamaan 29 Zulhijah 1435. Istiadat Pertunangan dan Pernikahan akan berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Baharu, Johor pada jam 10:00hrs dan hanya dihadiri oleh kaum kerabat dan keluarga terdekat kedua belah pihak sahaja. Istiadat Pernikahan akan dikendalikan oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin. Selepas Istiadat Pernikahan, Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan, isteri kepada Tunku Mahkota Johor.

Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu kepada lima adik-beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak daripada 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George's Hanover Square, London pada 2003 hingga 2004. Cik Khaleeda kemudiannya melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010.


Sumber :- Bernama

Thursday, October 16, 2014

Isteri Tengku Aris Temenggong Selangor Mangkat


Al-Fatihah 

Semuga Rohnya Allahyarhamah Yang Amat Mulia Raja Datin Setia Saidatul Ezam binti Brid. GEN (B) Raja Dato Seri Lope Nor Rashid (Raja Kechil Besar Perak) ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. 

Amien.



Photo kenangan ketika sambutah Hari Raya Aidiladha lepas di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bersama suami tercinta Tengku Aris Temenggong Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah.


16 Oktober 2014, Khamis :-

Takziah diucapkan kepada Tengku Aris Temenggong Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan keluarga diatas kemangkatan isteri tersayang Allahyarhamah Yang Amat Mulia Raja Datin Setia Saidatul Ezam binti Brid. GEN (B) Raja Dato Seri Lope Nor Rashid (Raja Kechil Besar Perak).  Allahyarhamah YAM Raja Datin Setia Saidatul Ezam mangkat subuh tadi jam 04:20am dalam usia 78 tahun.  Allahyarhamah YAM Raja Datin Setia Saidatul Ezam dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Selayang semenjak 30 September 2014 lagi untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Jenazah telah dimakamkan tengahari tadi di Makam Diraja Shah Alam, Selangor. Allahyarhamah YAM Raja Datin Setia Saidatul Ezam bertemu jodoh dengan Tengku Aris Temenggong Selangor pada tahun 1953.  Hasil daripada perkongsian hidup ini, pasangan diraja ini dikurniakan dengan 10 orang cahayamata iaitu Tengku Nariman, Tengku Molfi, Tengku Yasmin, Tengku Soraya, Tengku Zarinah, Raja Molek Nazarian, Tengku Zera, Tengku Farah, Tengku Mohd Sharifuddin dan  Tengku Mohd Yaacob.



Tengku Aris Temenggong Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah menyiran air mawar dipusara Allahyarhamah isteri tercinta.


Jenazah Allahyarhamah YAM Raja Datin Setia Saidatul Ezam dietakkan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang sebelum dibawa ke Makam Diraja Shah Alam untuk dimakamkan.



Istiadat Permakaman YAM Raja Datin Setia Saidatul Ezam disempurnakan mengikut adat istiada permakaman diraja Negeri Selangor Darul Ehsan.


Sumber :- Tengku Soraya/Aris Zulkifli/Wangsa Selangor/Istana Alam Shah

Wednesday, October 15, 2014

Queen Elizabeth II Anugerah Darjah Kebesaran Kepada Angelina Joli




15 Oktober 2014, Rabu:-

Pada jumaat lepas bersamaan 10 Oktober 2014, Baginda Queen Elizabeth II telah berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran Grand Cross of the Most Distinguished Order of St Michael and St George kepada bintang filem Hollywood, Angelina Jolie sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Queen Elizabeth II pada tahun ini. Majlis penganugerahan diadakan di Istana Buckingham, London. Angelina Joli yang berusia 39 tahun merupakan wakil khas kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian dan beliau juga bersama bekas Setiausaha Luar British, William Hague merupakan pengasas bersama Inisiatif Mencegah Keganasan seksual di zon perang.

Turut serta dalam majlis ini adalah suami Angelina Joli, Aktor Brad Pitt yang baru dikahwininya pada Ogos lepas dan enam orang anak mereka.  Walau bagaimanapun gambar suami dan anak-anaknya tidak dimasukkan kedalam photo rasmi sempena penganugerahan ini. Angelina Joli juga telah dinobatkan oleh Majalah Forbes sebagai bintang Hollywood yang memperolehi pendapatan paling tinggi pada tahun lepas.

Sumber :- Royaltynu

Tuesday, October 14, 2014

Sultan Perak Ziarah Jenazah Ayah Menteri Besar Baginda

14 Oktober 2014, Selasa :-


Hari ini Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah berkenan berangkat menziarahi jenazah ayah kepada Menteri Besar Perak dikediaman Allahyarham di Kampung Teluk Raja Bayang, Pulau Pangkor, Perak.

Allahyarham Abdul Kadir Muhammad berusia 73 tahun meninggal dunia akibat serangan janung pagi tadi jam 01:10hrs di Hospital Desa Pangkor, Pulau Pangkor.  Allahyarham berkhidmat sebagai ketua kampung Teluk Raja Bayang selama 23 tahun sebelum bersara pada tahun lepas. Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di Masjid Kampung Teluk Raja Bayang.  Jenazah telah selamat dikebumikan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Masjid Teluk Raja Bayang.


Allahyarham Abdul Kadir Muhammad meninggalkan tujuh orang anak termasuk Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak.  Al-Fatihah ............ Semuga Rohnya Allahyarham Abdul Kadir Muhammad ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.


 Sumber :- Bernama / Friend of BN Fanpage

Saturday, October 11, 2014

Jenazah YAM Allahyarham Raja Shahruzzaman @ Ku Shah Selamat Disempurnakan


11 Oktober 2014, Sabtu :-

Istiadat Permakaman  YAM Allahyarham  Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah II telah selamat disempurnakan lebih kurang jam 11:00hrs tadi di Makam Diraja Al-Ghufran, Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Turut serta dalam istiadat ini adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak, Kerabat Diraja Perak serta rakyat negeri Perak.



Sumber : Jamal Jamaluddin / Ariez Izzuddin

Update Kemangkatan YAM Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah II



11 Oktober 2014, Sabtu :- 

Jenazah Allahyarham Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Shah telah selamat sampai ke Istana Tambun, Ipoh, Perak dari Kuala Lumpur pada jam 20:30hrs malam tadi 10 Oktober 2014.  Jenazah akan dibawa keluar dari Istana Tambun lebih kurang jam 10:00hrs pagi ini dan dijangka sampai ke Kuala Kangsar jam 10:30am. Jenazah akan dibawa terus ke Makam Diraja Al-Ghufran untuk Istiadat Permakaman.

Allahyarham YAM Raja Shahruzzaman merupakan anakanda kepada Sultan Perak ke-33, Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Shah (Marhum Affifullah) atau dikenali sebagai Sultan Idris Shah II.  Bonda Allahyarham, Allahyarhamah Che Hamizah merupakan isteri ke-5 Almarhum Sultan Idris. Allahyarham mangkat sewaktu sedang beradu (tidur) petang semalam 10 Oktober 2014.

Al-Fatihah 


Semuga Rohnya  Allahyarham YAM Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah II ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.

Entry Syah terdahulu berhubung berita kemangkatan ini YAM Raja Shahruzzaman Mangkat

Sumber :- Jamal Jamaluddin/Husam/Ku Nain/Fairol

Friday, October 10, 2014

YAM Raja Shahruzzaman @ Ku Shah Mangkat


10 Oktober 2014, Jumaat :-


Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un, Dukacita dimaklumkan YAM Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Shah telah mangkat petang tadi.  Mengikut sumber yang Syah dapati, Allahyarham mangkat sewaktu sedang tidur.  Jenazah akan dimakamkan esok pagi di Makam Diraja Al-Ghufran, Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Solat Jenazah telah diadakan di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur selepas Solat Maghrib. Jenazah kemudiannya dibawa ke Ipoh dan diletakkan di Istana Tambun.

Al-Fatihah ...........

Semuga Rohnya  Allahyarham YAM Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah II ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.

Thursday, October 9, 2014

Sultan Brunei Berangkat Ke Bali


09 Oktober 2014, Khamis :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan rombongan telah selamat tiba di Bali, Republik Indonesia untuk menghadiri Bali Democracy Forum VII yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2014. 

Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar disambut oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, Prof. Dr. Ir. H Mohammad Nuh manakala keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda ke St. Regis Bali Hotel disambut oleh Pengarah Urusan Hotel berkenaan, Helimut Pluecker.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Seorang Lelaki Mengaku Mencuri "Tassle" Pedati Emas Diraja Belanda




Mantan Queen Beatric of the Netherlands yang merupakan bonda kepada King Willem-Alexander menaiki Pedati Emas Diraja ketika baginda berada diatas tahta sebagai Queen of the Netherlands.


09 Oktober,2014, Khamis :- 

Pada September lepas seorang lelaki bernama Core Priele dari Sleeuwijk membuat pengakuan kepada portal berita Omroep Brabant bahawa beliau telah mencuri "tassle" atau tali hiasan daripada Pedati Emas Diraja. Pedati Emas Diraja ini kebiasaannya digunakan oleh Raja Belanda sebagai kenderaan rasmi baginda untuk ke Parlimen bagi pembentangan budget yang diadakan pada bulan September setiap tahun.

Kejadian ini sebenarnya berlaku hampir 60 tahun lepas. Ketika itu Priele yang merupakan bekas anggota bomba ditugaskan untuk mengawasi Pedati Emas Diraja berkenaan.  Walau bagaimanapun tanpa disengajakan, beliau telah terpijak "tassle" berkenaan dan putus. Beliau berasa panik kerana telah merosakkan kederaan diraja berkenaan lalu mengambil keputusan menyimpan "tassle" tersebut kedalam poket beliau dan tidak memberitahu sesiapa berhubung insiden ini dan merahsiakan perkara berkenaan hampir enam puluh tahun.

Selepas pengakuan ini, beliau telah menerima surat daripada Istana Diraja yang memaklumkan bahawa His Majesty King Willem-Alexander of the Netherlands telah mengampunkan perbuatan beliau tetapi baginda menitahkan agar "tassle" berkenaan dipulangkan semula kepada pihak Istana Diraja.

Agak-agaknya beliau simpan lagi tak "tassle" berkenaan ?

Sumber :- Royalty.nu

Sunday, September 28, 2014

Tunku Nadzimuddin dan Sarimah Bertunang


28 September 2014, Ahad :-

Tahniah diucapkan kepada Yang Mulia Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar dan Sarimah Ibrahim yang telah bertunang petang semalam 27 September 2014 dalam satu majlis pertunangan yang diadakan di Hotel Double Tree by Hilton di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Mengikut perancangan, Majlis Akad Nikah kedua pasangan ini akan berlangsung pada 02 April 2015. 

Nenda kepada Tunku Nadzimuddin, Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah binti Tunku Besar Burhanuddin telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis ini petang semalam. Turut serta adalah kedua ibubapa pasangan ini iaitu  Yang Amat Mulia Tunku Dara Tunku Tan Sri Dato' Seri Naquiah binti Almarhum Tuanku Ja'afar Al-Haj dan Yang Mulia Tunku Kecil Besar Tunku Datuk Mudzaffar bin Tunku Mustapha serta Ibrahim Ahmad dan Elizabeth Ibrahim Hanlon.

Sumber :- Bernama Radio/BH Online

Saturday, September 27, 2014

27 November Dipilih Sebagai Tarikh Baru Cuti Umum Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak


27 September 2014, Sabtu :-

Kerajaan Negeri Perak telah menetapkan bahawa Cuti Umum Negeri Perak sempena Ulangtahun Hari  Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Ahah Al-Magfur-Lah Perak ditetapkan pada tanggal 27 November setiap tahun. Sebelum ini Cuti Umum Negeri Perak sempena Ulangtahun Hari Keputeraan  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Almarhum Tuanku Azlan) disambut pada tanggal 19 April. Tarikh berkenaan dipilih hasil daripada keputusan yang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bersidang pada  09 Julai 2014.

DYMM Tuanku Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 27 November 1956 di Georgetown, Pulau Pinang. Baginda dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak ke- 35 dalam usia 58 tahun pada 29 May 2014 berikutan kemangkatan Ayahanda baginda pada 28 May 2014. Secara kebetulan, tahun ini dua kali Negeri Perak Cuti Umum sempena Sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Sumber :- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Fan Page

Monday, September 22, 2014

Sultan Selangor Perkenan Lantik Mohamed Azmin Sebagai Menteri Besar Selangor Yang Baharu


22 September 2014, Isnin :-

Teka teki siapakah yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu akhirnya terjawap petang tadi. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Mohamad Munir Bani telah mengesahkan kepada Bernama bahawa anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mengikut jadual asal, pengumuman Menteri Besar Selangor yang baharu akan dibuat pada pagi Selasa 23 September 2014.  Walau bagaimanapun surat perlantikan berkenan telah tersebar luas di media sosial pada hari ini. Ketika ditanya Bernama berhubung penyebaran surat pelantikan berkenaan di media sosial, Dato' Mohamad Munir berkata perkara itu berada di luar kawalan pihaknya.

Istiadat Angkat Sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor akan diadakan di Istana Alam Shah pada 23 September 2014 jam 10:30hrs. Dalam masa yang sama Istana Selangor juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar untuk memberi penjelasan mengapa Mohamed Azmin Ali mendapat perkenan Sultan Selangor untuk menjadi Menteri Besar Selangor ke-15.


Tahniah diucapkan kepada Yang Berhormat Tuan Mohamed Azmin Ali diatas perlantikan sebagai Menteri Besar Selangor yang Baharu.

Sumber :-Bernama / Media Sosial

Sunday, September 21, 2014

Raja Isteri Menerima Mengadap Isteri-Isteri Perwakilan Brunei


21 September 2014, Ahad :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan menerima mengadap isteri-isteri Pesuruhjaya Tinggi  dan Duta-Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik ke luar negara.  Majlis diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Diantara yang mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri adalah Isteri Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam  ke Malaysia, Datin Dayang Hajah Mariani binti Haji Bongsu ; Isteri Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Kanada, Pengiran Hajah Halipah binti Pengiran Haji Kamaluddin;  Isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jordan, Dayangku Ratna Suria binti Pengiran Dato Paduka Haji Hamzad dan Isteri  Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam yang tidak menetap ke Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenista, Tajikistan dan Krygztan, Dayang Mahani binti Haji Taja’ah.


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei/Pelita Brunei

Saturday, September 20, 2014

Istana Selangor Akan Umumkan Nama Menteri Besar Selangor Baharu Pada Isnin 22 September 2014


20 September 2014, Sabtu :-

Hari ini Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memaklumkan kepada Bernama bahawa  pengumuman Menteri Besar Selangor yang baharu akan diumumkan oleh Istana Selangor selewat-lewatnya pada Isnin ini  22 September 2014 bergantung kepada perkenan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Pengumuman akan dibuat samada melalui kenyataan akhbar atau sidang media. 

Tambah beliau lagi Istana Selangor buat masa ini tidak mengeluarkan sebarang surat kepada bakal Menteri Besar Selangor.  Khamis lepas, Istana Selangor mengesahkan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada hari Selasa bersamaan 23 September 2014. Majlis Angkat sumpah dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang, Selangor.

Sama-samalah kita menunggu pengumuman rasmi daripada Istana Selangor berhubung isu ini dan tidak membuat sebarang spekulasi  berkenaan siapakah bakal menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu. Sila abaikan sebarang pemberitahuan berhubung perkara ini samada melalui pesanan sms, media sosial dan seumpamanya kerana hanya Pihak Istana Selangor sahaja yang akan membuat kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

Sumber :- Bernama/Astro Awani.

Wednesday, September 17, 2014

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Berangkat Ke Zoo Negara



17 September 2014, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli berangkat ke Zoo Negara, Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit dan Presiden Zoo Negara Datuk Seri Zaharin Md Arif serta pegawai kementerian. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya dibawa menaiki tram  ke Pusat Konservasi Panda Gergasi dan diberikan taklimat oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Zoal Azha Yusof mengenai pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda berdua berkenan melihat Xing Xing dan Liang Liang serta menghabiskan masa selama 20 minit dimana Tuanku Abdul Halim telah memberi makan buah epal kepada panda jantan, Xing Xing. Pusat konservasi Panda Gergasi ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun 2014.

Sumber :- Bernama.

Tuesday, September 16, 2014

Yang di-Pertuan Agong Sempurnakan Darjah Kepahlawanan Polis




16 September 2014, Selasa :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis yang diadakan di Istana Negara. Datuk Seri Mohmad Salleh yang merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mendahului senarai 235 penerima Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis.

Turut berangkat ke istiadat ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun. Turut serta Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Sharif dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Senarai penerima adalah seperti berikut :-


A. Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP)
  1. Datuk Seri Mohmad Salleh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman 
  2. Ng Joo Hee, Komisioner Polis Singapura 
  3. Jeneral Watcharapol Prasarnrajkit,Pemangku Ketua Polis Thailand 
B. Darjah Panglima Setia Pasukan Polis 
    25 penerima 

C. Darjah Pahlawan Pasukan Polis 
    81 penerima 

D. Darjah Kesatria Pasukan Polis 
    6 Penerima 

E. Darjah Bentara Pasukan Polis 
    117 penerima 

F. Pingat Keberanian Polis 
    3 Penerima

  • Asisten Superintenden Mohamad Hasnal Jamil - cedera parah ketika menentang pengganas dari selatan Filipina dalam insiden di Lahad Datu pada Mac 2013.
  • Lans Koperal Mohd Akram Che Hussain - berjaya menangkap penjenayah "Ramboo Bentong" yang paling dikehendaki sejak 2009.
  • Lans Koperal Mohd Suhaimi Mohd Razali - berjaya menangkap penjenayah "Ramboo Bentong" yang paling dikehendaki sejak 2009.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis diatas anugerah dan pengiktirafan yang telah diberikan. Jasamu Dikenang.

Sumber : Berita Harian/Bernama

Thursday, September 11, 2014

Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-20 Westport Malaysia Sdn Bhd


11 September 2014, Khamis :-


Semalam Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan mencemar duli berangkat ke  Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun ke-20 Westport Malaysia Sdn Bhd di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor. Turut mengiringi Tuanku Sharafuddin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd, Ruben Emir Gnanalingam.


Sumber :- Bernama 

Wednesday, September 10, 2014

Sultan Selangor dan PM Menonton "SuperMokh Sebuah Musikal"

10 September 2014, Rabu :-

Malam tadi Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan mencemar duli menyaksikan teater musikal "SuperMokh Sebuah Musikal" di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Keberangkatan tiba Tuanku Sharafuddin disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Teater musikal berdurasi 2jam 10minit ini di arahankan oleh Hans Isaac dan Harith Iskander pernah diadakan pada November 2013 dan diadakan semula pada tahun ini atas titah DYMM Sultan Selangor. Teater ini mengenai lagenda bola sepak tanah air, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang dikenali sebagai SuperMokh dikalangan peminat bola sepak Malaysia kerana kehebatannya beraksi di padang. Mengikut rekod, Allahyarham menjaringkan 177 gol semasa mewakili Selangor dan 197 gol ketika bermain untuk negara di posesi penyerang.

Turut menyaksikan persembahan malam tadi adalah isteri Allahyarham, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, bekas pemain bola sepak negara serta ratu skuasy negara Datuk Nicol David. Allahyarham dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 dalam usia 37 tahun akibat penyakit Mascular Dystrophy.  Allahyarham mewakili Malaysia dari 1972 hingga 1985.

Sumber :- Bernama

Tuesday, September 9, 2014

Sultan Brunei Menerima Mengadap Dato' Seri Jamil Khir Baharom

Click gambar untuk imej yang lebih besar

09 September 2014, Selasa :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan. Turut serta mengiringi Dato' Seri Jamil Khir adalah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Hajah Haznah binti Md. Hashim; Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato’ Haji Othman bin Mustapha; Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibus Samahah Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri; Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Malaysia, Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Zainal Abidin bin Jaafar dan Pengurus, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dato’ Abibullah bin Haji Samsudin.

Sumber :- Pelita Brunei/Jabatan Penerangan Brunei

Saturday, September 6, 2014

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena 100 hari kemangkatan Sultan Azlan


06 September 2014, Sabtu :-

Malam tadi 05 September 2014 bersamaan 10 Zulkaedah 1435H telah diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena 100 hari kemangkatan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah. Majlis diadakan di Balai Istiadat, Istana Iskandariah di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Turut serta berangkat dalam majlis ini adalah Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah mangkat pada 28 May 2014 lebih kurang jam13:30hrs di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur dalam usia 86 tahun. Pengumuman Rasmi telah dibuat oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir melalui RTM berhubung kemangkatan baginda. Tarikh 29 May 2014  diistiharkan sebagai cuti umum bagi negeri Perak sempena permakaman Almarhum. Bendera negeri Perak akan dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari bermula 28 May 2014 manakala bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari bermula 28 May 2014. Semua hiburan dan keraian ditanggguhkan dalam tempoh tujuh hari. 

Jenazah Almarhum dimakamkan pada 29 May 2014 mengikut adat istiadat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan dan di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Semalam juga merupakan tarikh akhir perkabungan sempena kemangkatan Almarhum dan bermula hari ini bendera Negeri Perak hendaklah dikibarkan penuh dan bukan separuh tiang. Begitu juga dengan pakaian perkabungan tidak perlu dipakai lagi mulai hari ini. 

Al-Fatihah ............. 


Semuga Rohnya Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah  ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.



Sumber :- Mohd Fairul Hatim (Jus Alsagoff)

Thursday, September 4, 2014

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Ke China Untuk Lawatan Rasmi Negara


04 September 2014, Khamis :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah selamat berangkat tiba ke Beijing, China untuk lawatan rasmi negara selama tiga hari bermula semalam. Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada jam 16:10hrs disambut oleh Timbalan Menteri Luar China, Qian Zhongshan serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin dan Duta Besar China di Malaysia, Huang Huikang.

KDYMM Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya menerima penghormatan daripada kawalan hormat terdiri daripada 36 anggota Angkatan Tentera China.  Turut serta mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda berdua adalah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri pengiring, Tunku Temenggong Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Tan Sri Dato' Seri Diraja Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Lawatan rasmi ini merupakan undangan daripada Presiden China, Xi Jinping selain membalas lawatan Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober tahun lepas. Lawatan ini juga sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang bermula pada 31 Mei, 1974. KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Cina  serta  menghadiri jamuan negara di Great Hall of The People pada hari ini. Manakala pada Jumaat, KDYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima mengadap Perdana Menteri China, Li Keqiang. KDYMM Seri Paduka Baginda berdua juga dijadualkan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di Beijing.

Sumber :- Bernama

Wednesday, September 3, 2014

Tunku Abdul Jalil Official Fan Page : Tahap Kesihatan Tunku Jalil

03 Sept 2014, Rabu :-

Hari ini Y.A.M Tunku Laksamana Johor,Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim telah membuat kenyataan didalam fan page beliau berhubung tahap kesihatan beliau seperti berikut :-


Kepada anda yang ingin mengetahui berhubung aktiviti YAM Tunku Jalil boleh Liked fan page beliau untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai beliau di Tunku Abdul Jalil Official

Click gambar untuk imej yang lebih besar 

Kami semua sentiasa menadah tangan mendoakan agar YAM Tunku Jalil sembuh dari gering dan diberikan tahap kesihatan yang baik. Amien.


Sumber :- Tunku Abdul Jalil Official

Sunday, August 31, 2014

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Hadiri Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57


31 Ogos 2014, Ahad :-


Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tema sambutan pada tahun ini adalah Malaysia ... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Turut serta dalam majlis ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, barisan anggota kabinet dan ketua-ketua perwakilan asing.

Acara perbarisan di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 bermula sekitar jam 08:05hrs telah disertai lebih daripada 14,000 peserta yang terbahagi kepada 23 kontinjen terdiri daripada pasukan keselamatan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pancaragam. Selain daripada itu turut serta mengambil bahagian dalam majlis ini adalah  lima buah helikopter dimana dua helicopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dua pesawat Augusta 109 milik pasukan udara Tentera Darat Malaysia (TDM), sebuah pesawat jenis Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membuat lintas hormat semasa keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua.

Dianggarkan kira-kira 400,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum hadir menyaksikan perbarisan di Dataran Merdeka, di kawasan dan jalan-jalan berhampiran dan sekitarnya. Acara ini juga disiarkan secara langsung menerusi siaran TV tempatan.

Sumber :- Bernama




Tuesday, August 26, 2014

Sultan Selangor Tangguh Penerimaan Peletakan Jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


26 Ogos 2014, Selasa :- 

Hari ini Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan untuk menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengadap DYMM Sultan Selangor pagi tadi di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor bagi mendapat nasihat dan pandangan baginda berhubung kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor ekoran kemelut kepimpinan yang berlaku di negeri Selangor.

Menurut Tan Sri Abdul Khalid, baginda telah menitahkan agar pemimpin Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti itu sebagai calon menteri besar Selangor. Keadaan ini adalah juga untuk memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar. Berhubung isu DAP yang tidak mempunyai Adun berbangsa Melayu di Selangor, beliau berkata parti itu boleh menamakan mana-mana calon daripada PKR dan PAS. Malahan pencalunan beliau sebagai Menteri Besar Selangor telah dicalunkan oleh DAP sebelum ini.

Sumber :- Bernama

Friday, August 22, 2014

Penghormatan Terakhir Oleh Raja-Raja Sempena Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17


22 Ogos 2014, Jumaat :- 

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah telah berkenan menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tuanku Abdul Halim kemudiannya menunaikan menunaikan Solat Jumaat dan solat jenazah ghaib, serta hadir majlis tahlil di Masjid Putra, Putrajaya. Solat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Khutbah khas Jumaat hari ini bertajuk 'Hakikat Loh Mahfuz' sempena Hari Perkabungan Negara bagi menghormati mangsa tragedi MH17.



Manakala di Ipoh pula, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah menyambut ketibaan dua jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 iaitu paramugari MAS Chong Yee Pheng, 40, dan penumpang, Noor Rahimmah Mohd Nor, 67, di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).  Tuanku kemudiannya diiringi oleh Raja Di-Hilir Perak dan Menteri Besar kemudiannya  menaiki pesawat yang membawa jenazah untuk memberi penghormatan kepada jenazah dan kemudiannya menyampaikan ucapan takziah kepada waris mangsa.


Di Kuantan, Pahang pula Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah ghaib untuk mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Masjid Al-Ghazali, Kampung Razali. Solat diimamkan oleh  Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman bersama-sama lebih kurang 1,000 jemaah.


Sumber :- Bernama.