Friday, December 25, 2015

Sultan Brunei Sertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1437 Hijrah


25 Disember 2015, Jumaat :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1437 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan. Turut serta berangkat adalah tiga orang putera baginda iaitu DYTM Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.  Perarakan Maulud Nabi Muhammad S.A.W merangkumi perjalanan sejauh 3.7 kilometer mengelilingi sebahagian ibu negara, Bandar Seri Begawan. Perhimpunan pada tahun ini disertai oleh 143 pasukan yang terdiri daripada pasukan sekolah-sekolah menengah, maktab, institusi pengajian tinggi, kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, majlis-majlis perundingan kampung dan takmir masjid yang dianggarkan berjumlah sekitar 12,000 orang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berkenan berangkat menerima mengadap ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan pada tahun ini. Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh Pasukan Dikir Kementerian Kewangan dan sebaik sahaja sampai kepada “Ya Habibi” kedengaran tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan ke udara oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diikuti bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan Brunei.


Sebelum berarak, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dilaungkan sebanyak tiga kali sebelum Menteri Hal Ehwal Ugama, YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman memohon perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta ahli kerabat diraja yang lain dan pembesar-pembesar negara untuk mengetuai perarakan. Sebaik sahaja perarakan bermula, kedengaran nyanyian nasyid ‘Thalak Badri Alaina’ disampaikan oleh Pasukan Sekolah-sekolah Arab dan Ugama.

Perhimpunan perarakan dan perbarisan pada tahun ini mempertandingkan lima kategori iaitu :-
  1. Pasukan tidak bernombor yang disertai sebanyak 12 pasukan. 
  2. Kategori sekolah menengah/arab/maktab/institusi pengajian tinggi/swasta sebanyak 28 pasukan. 
  3. Kategori kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan sebanyak 18 pasukan.
  4. Kategori persatuan-persatuan dan sektor swasta sebanyak 25 pasukan.
  5. Kategori kampung dan masjid sebanyak 30 pasukan.
Sumber : Media Permata

Sunday, December 6, 2015

YAM Tunku Jalil Mangkat


06 Disember, 2015 :-

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Dukacita dimaklumkan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim, telah mangkat pada 05 Disember 2015 jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, Johor akibat kanser. Almarhum berusia 25 tahun diputerakan pada 05 Julai 1990 disahkan  menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember 2014  dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China. Walau bagaimanapun penyakit Almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik dan putera kepada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Mengikut jadual, Istiadat siram jenazah dan kafan akan diadakan jam 07:00 pagi ini. Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Baharu untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Orang ramai boleh datang memberi penghormatan terakhir bermula jam 09:00 pagi hingga 11:30 pagi manakala bagi orang-orang kenamaan  pula akan bermula pada jam 11:30 pagi hingga 12:30 tengahari. Solat Jenazah akan dilakukan sebelum jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Mahmoodiah untuk dimakamkan selepas solat Zohor.

Jenazah akan dibawa ke makam diraja menggunakan pedati khas yang ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar ke Makam Diraja sepanjang tiga kilometer. Diatas keranda Almarhum akan diletakkan bendera peribadi, topi polis dan pedang Almarhum memandangkan Almarhum  pernah ditauliahkan sebagai Inspektor Polis pada 2011. Almarhum merupakan kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan disebelah kanan makam Almarhum nendanya, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail sepertimana permintaan Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Jalil sebelum ini.

Dengan kemangkatan ini semua bendera di negeri Johor akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini.  Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari untuk kerabat diraja dan tiga hari untuk orang awam. Majlis tahlil akan diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Baharu, Johor. 

Merafak Sembah Ucap Takziah kepada DYMM Sultan Johor, DYMM Permaisuri Johor serta Kerabat Diraja Johor dan Perak diatas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim.

..... Al-Fatihah .....




Semuga Rohnya Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.


Sumber :- Bernama - Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli / Millionaireasia.com