Sunday, August 31, 2014

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Hadiri Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57


31 Ogos 2014, Ahad :-


Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tema sambutan pada tahun ini adalah Malaysia ... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Turut serta dalam majlis ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, barisan anggota kabinet dan ketua-ketua perwakilan asing.

Acara perbarisan di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 bermula sekitar jam 08:05hrs telah disertai lebih daripada 14,000 peserta yang terbahagi kepada 23 kontinjen terdiri daripada pasukan keselamatan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pancaragam. Selain daripada itu turut serta mengambil bahagian dalam majlis ini adalah  lima buah helikopter dimana dua helicopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dua pesawat Augusta 109 milik pasukan udara Tentera Darat Malaysia (TDM), sebuah pesawat jenis Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membuat lintas hormat semasa keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua.

Dianggarkan kira-kira 400,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum hadir menyaksikan perbarisan di Dataran Merdeka, di kawasan dan jalan-jalan berhampiran dan sekitarnya. Acara ini juga disiarkan secara langsung menerusi siaran TV tempatan.

Sumber :- Bernama




Tuesday, August 26, 2014

Sultan Selangor Tangguh Penerimaan Peletakan Jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


26 Ogos 2014, Selasa :- 

Hari ini Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan untuk menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengadap DYMM Sultan Selangor pagi tadi di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor bagi mendapat nasihat dan pandangan baginda berhubung kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor ekoran kemelut kepimpinan yang berlaku di negeri Selangor.

Menurut Tan Sri Abdul Khalid, baginda telah menitahkan agar pemimpin Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti itu sebagai calon menteri besar Selangor. Keadaan ini adalah juga untuk memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar. Berhubung isu DAP yang tidak mempunyai Adun berbangsa Melayu di Selangor, beliau berkata parti itu boleh menamakan mana-mana calon daripada PKR dan PAS. Malahan pencalunan beliau sebagai Menteri Besar Selangor telah dicalunkan oleh DAP sebelum ini.

Sumber :- Bernama

Friday, August 22, 2014

Penghormatan Terakhir Oleh Raja-Raja Sempena Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17


22 Ogos 2014, Jumaat :- 

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah telah berkenan menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tuanku Abdul Halim kemudiannya menunaikan menunaikan Solat Jumaat dan solat jenazah ghaib, serta hadir majlis tahlil di Masjid Putra, Putrajaya. Solat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Khutbah khas Jumaat hari ini bertajuk 'Hakikat Loh Mahfuz' sempena Hari Perkabungan Negara bagi menghormati mangsa tragedi MH17.



Manakala di Ipoh pula, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah menyambut ketibaan dua jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 iaitu paramugari MAS Chong Yee Pheng, 40, dan penumpang, Noor Rahimmah Mohd Nor, 67, di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).  Tuanku kemudiannya diiringi oleh Raja Di-Hilir Perak dan Menteri Besar kemudiannya  menaiki pesawat yang membawa jenazah untuk memberi penghormatan kepada jenazah dan kemudiannya menyampaikan ucapan takziah kepada waris mangsa.


Di Kuantan, Pahang pula Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah ghaib untuk mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Masjid Al-Ghazali, Kampung Razali. Solat diimamkan oleh  Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman bersama-sama lebih kurang 1,000 jemaah.


Sumber :- Bernama.

Sudu Bersadur Emas Koleksi Sultan Sulaiman



22 Ogos 2014, Jumaat :-

Ini adalah Sudu bersadur emas kepunyaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ibni Almahum Raja Muda Musa, Sultan Selangor Kelima yang memerintah pada tahun 1898 hingga 1938. Pada permukaan sudu ini diletakkan ukiran ayat "Hu Wa Al Shafi" (Kau yang mengubatiku) dan kalimah Bismillahhirrahmanirrahim. Sudu bersadur emas ini diletakkan di Balai Islam, Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam, Selangor.

Sumber :-Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor Fan Page

Thursday, August 21, 2014

Hari Berkabung Negara / Istiadat Penghormatan Jenazah Ekoran Tragedi Pesawat MH17

21 Ogos 2014, Khamis :-

Kerajaan Malaysia telah menetapkan Hari Berkabung Negara ekoran tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dipercayai telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah Donestk, timur Ukraine pada hari Jumaat bersamaan 22 Ogos 2014. Pada hari yang sama juga akan diadakan  Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17. Trajedi yang menyayat hati ini telah mengorbankan kesemua 298 penumpang termasuk 15 anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda menuju Kuala Lumpur, Malaysia. MH 17 berlepas pada tengahari Khamis dan dijangka tiba ke KLIA pada pagi Jumaat 18 Julai 2014. Seramai 43 orang warga Malaysia telah terkorban dan buat masa ini hanya 28 mangsa telah dikenalpasti melalui proses mengenalpasti mayat  yang dijalankan di Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda. jenazah warga Malaysia yang dikenal pasti perlu melalui lima proses iaitu mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran mengeksport jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda untuk sama ada dikebumi atau dibakar.

Esok negara kita akan menerima 20 jenazah warga Malaysia yang terdiri daripada 17 jenazah yang diletakkan didalam keranda dan 3 bekas abu mayat.  Jenazah berkenaan diterbangkan dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan khas MAS. Penerbangan dijangka bertolak jam 02:00pm hari ini dan dijadualkan sampai jam 10:00am pagi esok. Kumpulan kedua jenazah pula dijangkan akan dihantar pulang ke Malaysia pada 24 Ogos 2014. 

Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 akan berlangsung pagi esok di perkarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Setiap jenazah akan diusung oleh pegawai istiadat dari Angkatan Tentera Malaysia dan dibawa menaiki kereta jenazah dan diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur. Jenazah kemudiannya akan dihantar ke negeri-negeri diluar Lembah Klang melalui melalui pengangkutan udara manakala jalan darat digunakan untuk pengebumian jenazah sekitar Lembah Klang. Istiadat ini akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dijadualkan berangkat menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di KLIA manakala Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan,  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dijadualkan berangkat untuk menerima jenazah di Ipoh, Perak. 

Senarai nama jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 bagi kumpulan pertama yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, esok, untuk Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 adalah :- 

Anak Kapal:

1) Mastura Mustafa (P)

2) Ahmad Hakimi Hanapi (L)

3) Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P)

4) Nur Shazana Mohamed Salleh (P)

5) Dora Shahila Kassim (P)

6) Lee Hui Pin (P)

7) Angeline Premila Rajandaran (P)

8) Chong Yee Pheng (P)

9) Azrina Yakob (P)

Penumpang:

1) Foo Ming Lee (L)

2) Karamjit Singh Karnail Singh (L)

3) Ng Qing Zheng (L)

4) Mabel Anthony Samy (P)

5) Paul Rajasingam Sivagnanam (L)

6) Elisabeth Ng Lyeti (P)

7) Ariza Ghazalee (P)

8) Muhammad Afif Tambi (L)

9) Noor Rahimmah Mohd Nor (P)

10) Mohd Ali Md Salim (L)

11) Hasni Hardi Parlan (L)


Peraturan Hari Berkabung Malaysia 22 Ogos 2014 MH17 :-

  • Bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang di seluruh negara pada hari berkenaan;
  • Semua acara yang berunsur hiburan ditangguhkan pada hari berkenaan;
  • Pakaian hendaklah warna-warna yang suram dan tidak warna terang/garang. 
  • Bagi yang beragama Islam dan terlibat secara langsung, mereka digalakkan memakai songkok (tanpa lilitan warna putih)/selendang hitam; dan
  • Pada hari berkenaan juga, rancangan hiburan pada semua saluran radio dan televisyen hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan bacaan Al-Quran dan program berunsur keagamaan.
Seluruh rakyat Malaysia sama ada anda di pejabat, di sekolah, di jalan raya, di pasar raya dan kenderaan-kenderaan juga diminta untuk berhenti seketika untuk bertafakur selama seminit (sekitar jam 10.45 hingga 11 pagi).


Sumber :- Bernama /: melvister.com

Tuesday, August 19, 2014

Sultan Perak Hadiri Persidangan WCIT 2014


18 Ogos 2014, Selasa :-

Semalam Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah berkenan berangkat ke persidangan World Conference on Islamic Thought and Civilization' (WCIT 2014) - The Rise and Fall Of Civilization : Contemporary States of Muslim AffairsWCIT merupakan persidangan yang menghimpunkan pemikir dan ahli akademik bagi berkongsi idea dan pandangan mengenai segala bentuk pengetahuan dan isu-isu dari perspektif Islam. Persidangan anjuran Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) ini berlangsung dHotel Casuarina @ Meru Raya, Ipoh,  Perak pada  18-19 Ogos 2014 dan dihadiri oleh 301 orang peserta dari dalam serta luar negara.

Kelihatan Tuanku Nazrin berkenan menerima cenderamata dari Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Tan Sri Dr Nordin Kardi dalam majlis berkenaan. 

Sumber :- Bernama / wcit2014.kuisas.edu.my

Thursday, August 14, 2014

Blogger Radin Akhimullah Mangkat

12 September 2014, Jumaat :-

Kemaskini :-

Petang tadi Syah menerima message melalui facebook daripada bonda Allahyarham Radin Mohd Akhimullah, Puan Salmah Abd Rahim yang memaklumkan bahawa kemangkatan Allahyarham sebenarnya disebabkan oleh "acute lukeimia".  Tambah beliau lagi sakit gusi dan gigi Allahyarham adalah  salah satu symptom penyakit tersebut. Semasa balik bercuti sempena sambutan Hari Raya lepas, Allahyaham tidak pernah memaklumkan masalah kesihatannya kepada keluarga kerana tidak mahu membimbangkan keluarganya. Menurut bonda Allahyarham, Allahyarham nampak ceria selama bercuti dua minggu bersama keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri lepas walaupun gusinya agak sakit. Bonda Allahyarham dan keluarga redha dengan pemergian anakandanya yang tercinta.

Al-Fatihah .........

Semuga Rohnya Allahyarham Radin Mohd Akhimullah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.
  
***************************************************************************************************************

14 Ogos 2014, Khamis :-




Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Berita kemangkatan sahabat Blogger Syah pagi tadi amat memeranjatkan Syah. Allahyarham anak kelahiran Johor diputerakan pada 18 Februari 1987 dan sekarang bertugas di Bintulu, Sarawak. Jenazah Allahyarham sedang dalam perjalanan ke Semenanjung dan akan dimakamkan di Batu Pahat, Johor. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar dalam dunia memertabatkan Institusi Beraja di Malaysia. 

Sebab-sebab kemangkatan Syah tak dapat sahkan tetapi ada terbaca difacebook menyatakan puncanya ialah hanya dari 4 batang gigi geraham  yang dicabut serentak pada tarikh dan hari yang sama. Sehingga menyebabkan kemangkatan kerana darah tidak berhenti keluar dan dijangkiti kuman beracun dan menjalar ke organ tubuh yang lain. Wallahu’alam bissawab.

Al-Fatihah 

Semuga Rohnya Allahyarham Radin Mohd Akhimullah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Blog Almarhum :- http://radin87.blogspot.com/

Gambar Terakhir Allahyarham di Facebook :-

Sedih rasa hati Syah kerana tak sempat berjumpa dengan Allahyarham. Takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap kalian bersabar dengan dugaan ini kerana Allah lebih sayangkan Allahyarham.



Wednesday, August 13, 2014

Surat Jawapan DYMM Sultan Selangor Berhubung Penamatan Khidmat 5 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO)




Sumber :- Friend of BN Fanpage

Tuesday, August 12, 2014

Bicara Kes Hina Sultan Terengganu Pada 02 September 2014

12 Ogos 2014, Selasa :-

Mahkamah Seksyen Kemaman hari ini telah menetapkan tarikh 02 September 2014 untuk perbicaraan kes meghina Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah oleh Mohd Zamrudhisyam Mohamad melalui laman sosial Facebook. Mohd Zamrudhisyam Mohamad, 32 tahun merupakan seorang pengangur dari Kampung Mak Cili, Chukai didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Terengganu menerusi Facebook di Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Jalan Taha 1, Cukai pada 20 Mei 2013  lebih kurang jam 2.30 petang. Mohd Zamrudhisyam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.

Sumber :- Bernama

Sultan Brunei Berangkat Ke Kejohanan Bola Sepak Trofi Hassanal Bolkiah Ke-5

12 Ogos 2014, Selasa :-

Malam tadi (11 Ogos 2014) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Kejohanan Bola Sepak Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) Ke-5 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan menyaksikan perlawanan diantara pasukan Negara Brunei Darussalam dan Indonesia, Keberangkatan baginda telah membakar semangat pasukan Brunei Darussalam dimana Negara Brunei Darussalam telah berjaya menundukan pasukan Indonesia dengan kemenangan 3-1. Turut berangkat mengiringi baginda adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Turut serta adalah  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.

Kejohanan Bola Sepak Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) Ke-5 bermula pada 09 Ogos 2014 dan akan berakhir pada 23 Ogos 2014 di Negara Brunei Darussalam. Acara separuh akhir dan akhir dijadual pada 20 dan 23 Ogos 2014. Kejohanan remaja Asean ini disertai oleh lima buah Negara iaitu Malaysia, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Negara Brunei Darussalam. Skuad Bawah 21 Tahun Negara, Skuad Harimau B Malaysia mewakili Negara kita ke kejohanan ini.

Sumber :- Pelita Brunei/FAM.org.my

Monday, August 11, 2014

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Maklumkan Sultan Selangor Perkenan Beliau Terus Kekal Sebagai Menteri Besar

11 Ogos 2014, Isnin :-

Hari ini Lapan belas anggota Majlis Mesyuarat Dewan Diraja Selangor telah  bersidang dan dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Persidangan berlangsung di Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang  lebih kurang jam 10:00hrs. Majlis mesyuarat ini berfungsi sebagai majlis penasihat kepada Sultan Selangor bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor berikutan perlucutan keanggotaannya dalam PKR yang berkuat kuasa serta-merta pada 09 Ogos 2014 lepas kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar yang baharu. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor semenjak 13 Mac 2008.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya hari ini di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa  beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor sehingga ada perkembangan terbaharu. Tambah beliau lagi, beliau masih boleh meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan empat anggota Exco daripada PAS sedia ada yang telah menyatakan persetujuan untuk menyokong dan bersetuju berada dibawah pimpinan beliau. Mengikut  Artikel 53 (2) (b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 memperuntukkan bahawa mesti ada sekurang-kurangnya empat ataupun sehingga 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk menjalankan pentabiran.

Tan Sri Abdul Khalid juga memaklumkan bahawa pihaknya  akan bertemu dengan kesemua anggota exco esok untuk menanyakan pendirian mereka sama ada hendak menyertai pentabiran kerajaan negeri sedia ada ataupun sebaliknya. Beliau tidak akan membuat apa-apa tindakan undang-undang berhubung pemecatan beliau daripada PKR, namun beliau akan merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendapatkan penjelasan sama ada pemecatannya dibuat mengikut tatacara yang betul. Beliau juga akan mempertimbangkan tawaran PAS untuk menganggotai parti itu memandangkan beliau kini Adun bebas. Perkara utama yang harus dilakukannya adalah untuk membersihkan diri beliau daripada tomahan yang dilemparkan oleh PKR sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau menyifatkan Khabar angin yang menyatakan bahawa kemungkinan beliau akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama 12 Adun Barisan Nasional (BN) setelah menganggotai PAS sebagai bersifat 'hypothetical' (andaian).  Berikutan pemecatan beliau daripada PKR Selangor, kedudukan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor adalah seperti berikut :-

15 Adun PAS
15 Adun DAP
13 Adun PKR
12 Adun BN 

seorang wakil bebas.

Sumber :- Bernama

Friday, August 8, 2014

Sultan Brunei Menerima Mengadap Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand,

08 Ogos 2014, Jumaat :-



Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand,  Jeneral Tanasak Patimapragorn di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.  Dalam majlis ini juga baginda telah berkenan mengurniakan ‘Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T)’ yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’ kepada  Jeneral Tanasak Patimapragor.

Turut serta mengadap KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah adalah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Apichart Phetcharatana ; Timbalan Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Air Chief Marshal Adisak Klansnoh ; Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat ; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih bin Abdullah ; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Penguatkuasaan) Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar, dan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Azmansham bin Pengiran Haji Mohamad.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga merupakan Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).


Manakala dalam majlis yang berasingan di Istana Nurul Iman,Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan menerima mengadap isteri Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Penlaksana Patimapragorn; isteri Timbalan Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Adom Klansnoh; dan Minister / Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Besar Thailand di Negara Brunei Darussalam, Siriporn Thaitrong. 

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei/Pelita Brunei

Thursday, August 7, 2014

Istana Negara Buat Laporan Polis Berhubung Tindakan Hina Yang di-Pertuan Agong


07 Ogos 2014, Khamis :- 

Hari ini Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Istana Negara amat dukacita dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyentuh institusi dan peribadi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melalui laman sosial.  Baru-baru ini gambar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah di cut and paste sebagai mangsa kemalangan ngeri jalanraya dengan pelbagai kata-kata kurang manis serta dimuat naik dilaman facebook.

Sehubungan dengan itu pihak Istana telah membuat laporan Polis pagi tadi berhubung perkara ini dan meminta kerjasama  Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.  

Sumber :- Bernama / MBS

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Ke-69 YAM Tengku Iskandar Ibni Al Marhum Tengku Ahmad (Tengku Panglima Raja)


07 Ogos 2014, Rabu :- 

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Yang ke-69 tahun kepada Yang Amat Mulia Tengku Iskandar Ibni Al Marhum Tengku Ahmad (Tengku Panglima Raja).  Semuga YAM dipanjangkan Umur, Dimurahkan Rezeki dan Diberikan Kesihatan yang baik.  Amien. YAM Tengku Iskandar merupakan kerabat diraja Kelantan.


Monday, August 4, 2014

Tuanku Hassanal Bolkiah Ziarah Ke Makam Diraja




04 Ogos 2014, Isnin :-

Petang tadi lebih kurang jam 14:45hrs, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Kubah Makam Diraja untuk menghadiri Majlis Tahlil sempena Hari Raya Aidilfitri. Turut serta dalam majlis ini adalah Kerabat-Kerabat Diraja, Menter-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan serta jemputan khas. Kelihatan Tuanku Hassanal Bolkiah menyiram aing asah asahan dimakam Almahumah bonda baginda selepas Majlis Tahlil disempurnakan.


Sumber :-RM

Saturday, August 2, 2014

Tuanku Muhriz Berangkat Ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1435H

02 Ogos 2014, Sabtu :-


Hari ini Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan  Duli Yang  Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud telah berkenaan mencemar duli berangkat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1435H Keluarga dan Warga DUN Rantau. Majlis diadakan di Kampung Tanjung, Rantau, Negeri Sembilan. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dan isteri,  Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1435H ini bermula jam 10:00hrs dan berakhir jam 17:00hrs diadakan di Kampung Tanjung, Rantau.  YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.

Sumber :- YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan Fan Page