Sunday, August 31, 2014

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Hadiri Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57


31 Ogos 2014, Ahad :-


Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tema sambutan pada tahun ini adalah Malaysia ... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Turut serta dalam majlis ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, barisan anggota kabinet dan ketua-ketua perwakilan asing.

Acara perbarisan di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-57 bermula sekitar jam 08:05hrs telah disertai lebih daripada 14,000 peserta yang terbahagi kepada 23 kontinjen terdiri daripada pasukan keselamatan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pancaragam. Selain daripada itu turut serta mengambil bahagian dalam majlis ini adalah  lima buah helikopter dimana dua helicopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dua pesawat Augusta 109 milik pasukan udara Tentera Darat Malaysia (TDM), sebuah pesawat jenis Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membuat lintas hormat semasa keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua.

Dianggarkan kira-kira 400,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum hadir menyaksikan perbarisan di Dataran Merdeka, di kawasan dan jalan-jalan berhampiran dan sekitarnya. Acara ini juga disiarkan secara langsung menerusi siaran TV tempatan.

Sumber :- Bernama




No comments: