Friday, August 22, 2014

Penghormatan Terakhir Oleh Raja-Raja Sempena Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17


22 Ogos 2014, Jumaat :- 

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah telah berkenan menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tuanku Abdul Halim kemudiannya menunaikan menunaikan Solat Jumaat dan solat jenazah ghaib, serta hadir majlis tahlil di Masjid Putra, Putrajaya. Solat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Khutbah khas Jumaat hari ini bertajuk 'Hakikat Loh Mahfuz' sempena Hari Perkabungan Negara bagi menghormati mangsa tragedi MH17.



Manakala di Ipoh pula, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah menyambut ketibaan dua jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 iaitu paramugari MAS Chong Yee Pheng, 40, dan penumpang, Noor Rahimmah Mohd Nor, 67, di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).  Tuanku kemudiannya diiringi oleh Raja Di-Hilir Perak dan Menteri Besar kemudiannya  menaiki pesawat yang membawa jenazah untuk memberi penghormatan kepada jenazah dan kemudiannya menyampaikan ucapan takziah kepada waris mangsa.


Di Kuantan, Pahang pula Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah ghaib untuk mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Masjid Al-Ghazali, Kampung Razali. Solat diimamkan oleh  Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman bersama-sama lebih kurang 1,000 jemaah.


Sumber :- Bernama.

No comments: