Monday, August 11, 2014

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Maklumkan Sultan Selangor Perkenan Beliau Terus Kekal Sebagai Menteri Besar

11 Ogos 2014, Isnin :-

Hari ini Lapan belas anggota Majlis Mesyuarat Dewan Diraja Selangor telah  bersidang dan dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Persidangan berlangsung di Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang  lebih kurang jam 10:00hrs. Majlis mesyuarat ini berfungsi sebagai majlis penasihat kepada Sultan Selangor bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor berikutan perlucutan keanggotaannya dalam PKR yang berkuat kuasa serta-merta pada 09 Ogos 2014 lepas kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar yang baharu. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor semenjak 13 Mac 2008.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya hari ini di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa  beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor sehingga ada perkembangan terbaharu. Tambah beliau lagi, beliau masih boleh meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan empat anggota Exco daripada PAS sedia ada yang telah menyatakan persetujuan untuk menyokong dan bersetuju berada dibawah pimpinan beliau. Mengikut  Artikel 53 (2) (b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 memperuntukkan bahawa mesti ada sekurang-kurangnya empat ataupun sehingga 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk menjalankan pentabiran.

Tan Sri Abdul Khalid juga memaklumkan bahawa pihaknya  akan bertemu dengan kesemua anggota exco esok untuk menanyakan pendirian mereka sama ada hendak menyertai pentabiran kerajaan negeri sedia ada ataupun sebaliknya. Beliau tidak akan membuat apa-apa tindakan undang-undang berhubung pemecatan beliau daripada PKR, namun beliau akan merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendapatkan penjelasan sama ada pemecatannya dibuat mengikut tatacara yang betul. Beliau juga akan mempertimbangkan tawaran PAS untuk menganggotai parti itu memandangkan beliau kini Adun bebas. Perkara utama yang harus dilakukannya adalah untuk membersihkan diri beliau daripada tomahan yang dilemparkan oleh PKR sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau menyifatkan Khabar angin yang menyatakan bahawa kemungkinan beliau akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama 12 Adun Barisan Nasional (BN) setelah menganggotai PAS sebagai bersifat 'hypothetical' (andaian).  Berikutan pemecatan beliau daripada PKR Selangor, kedudukan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor adalah seperti berikut :-

15 Adun PAS
15 Adun DAP
13 Adun PKR
12 Adun BN 

seorang wakil bebas.

Sumber :- Bernama

No comments: