Sunday, October 16, 2016

Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar Mangkat

;

16 Oktober 2016, Ahad :-

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un.

Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan telah mangkat subuh tadi jam 05:45 pagi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam usia 88 tahun. Jenazah kemudiannya dibawa ke kediaman Almarhumah di Taman Seri Alam sebelum dimakamkan di Kubah Makam Diraja pada hari ini.

Almarhumah merupakan bonda mertua kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  

Almarhumah  Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar diputerikan pada 24 September 1928 merupakan anakanda kepada Almarhum Pengiran Anak Haji Metassan bin Almarhum Pengiran Anak Ismail Apong dan Almarhumah Pengiran Anak Piut. Almarhumah mendirikan rumahtangga pada tahun 1943 dengan Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam ibni Almarhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman. 

Hasil daripada perkahwinan ini Almarhumah dikurniakan dengan sembilan orang cahayamata termasuk  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.  

Semasa hayatnya Almarhumah telah dikurniakan dengan beberapa Bintang  Kebesaran dan Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam seperti senarai berikut :-
  1. Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K)
  2. Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (D.S.L.J)
  3. Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (PHBS)

Semuga Rohnya Almarhumah Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Sumber : Brunieroyalfamily IG/ Dirgahayu 1997 / Internet.

Friday, October 14, 2016

Al-Sultan Kelantan Dilantik Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15



14 Oktober 2016, Jumaat :-

Patik Merafak Sembah Dengan Ucap Setinggi-Tinggi Tahniah kepada Al-Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V kerana telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara pada hari ini. Pelantikan ini berkuat kuasa  mulai 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.  Manakala Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa  mulai 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara sebentar tadi telah dipengerusikan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Sumber :- Bernama / Carian Internet

His Majesty King Bhumibol Adulyadej Mangkat


14 Oktober 2016, Jumaat :- 

Semalam Biro Diraja Thailand mengeluarkan kenyataan bahawa Raja Thailand, His Majesty King Bhumibol Adulyadej telah mangkat di Hospital Siriraj, Bangkok, Thailand pada 13 Oktober 2016 pada jam 15:52hrs waktu tempatan dalam usia 89 tahun. Baginda menerima rawatan di hospital berkenaan semenjak 03 Oktober 2014. Baginda menaiki tahta pada 09 Jun 1946 dan merupakan Raja [Ketua Negara] paling lama memerintah didunia dan juga raja paling lama bertahta dalam sejarah Thailand iaitu selama 70 tahun 127 hari.

Siapakah yang akan menggantikan mendiang sama-samalah kita tunggu pengumuman daripada Kerajaan Thailand. Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha dalam ucapan siaran langsung melalui saluran television berkata  pewaris takhta diraja telah ditetapkan sejak 1972 tetapi tidak menamakannya. Menurut beliau lagi, Kabinet akan memaklumkan Parlimen mengenai pewaris diraja.


Crown Prince Maha Vajiralongkorn berusia 64 tahun merupakan satu-satunya putera kepada His Majesty King Bhumibol Adulyadej bersama Her Majesty Queen Sirikit.


His Majesty King Bhumibol Adulyadej dan Her Majesty Queen Sirikit.  Pasangan diraja ini bertunang pada 19 July 1949 dan berkahwin pada 28 April 1950 iaitu seminggu sebelum Istiadat Pertabalan baginda sebagai Raja Thailand.  



Pertabalan His Majesty King Bhumibol Adulyadej pada 05 Mei 1950 di Royal Palace, Bangkok.



Pasangan Diraja ini dikurniakan dengan empat orang cahayamata iaitu  Princess Ubolratana Rajakanya, Crown Prince Maha Vajiralongkorn, Princess Maha Chakri Sirindhorn dan Princess Chulabhorn Walailak. 


Sumber :- Bernama/Malaymail Online/Carian Internet/Wikipedia

Sunday, October 9, 2016

Istiadat Pemasyuharan Gelaran dan Mengangkat Sumpah Serta Menjunjung DYTM Tengku Amir Shah Sebagai Raja Muda Selangor


09 October 2016, Ahad :-

Merafak Sembah Ucap Tahniah Kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diatas Pemasyhuran baginda sebagai Raja Muda Selangor.  Istiadat Pemasyuharan Gelaran dan Mengangkat Sumpah Serta Menjunjung Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Sebagai Raja Muda Selangor telah berlangsung dengan penuh adat istiadat Diraja Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah pada pagi Sabtu, 08 Oktober 2016 bersamaan 07 Muharam 1438H.

Pengistiharan pemasyhuran Raja Muda Selangor dilakukan oleh Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dihadapan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor.  Dalam istiadat ini DYTM Tengku Amir Shah mengangkat sumpah lafaz taat setia untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas serta sentiasa patuh dalam menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor.  Baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran dengan disaksikan oleh YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj, Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mohd. Zabidin Mohd. Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Mohd. Amin Ahmad Ahya.

Dalam Istiadat ini juga DYTM Tengku Amir Shah dikurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abdul Wahid. DYTM Tengku Amir Shah kemudiannya berangkat keluar meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari negeri Selangor selama tujuh (7) hari mengikut amalan yang ditetapkan.










Sumber : Bernama/Sinar Harian/Kosmo/Pelbagai