Sunday, October 9, 2016

Istiadat Pemasyuharan Gelaran dan Mengangkat Sumpah Serta Menjunjung DYTM Tengku Amir Shah Sebagai Raja Muda Selangor


09 October 2016, Ahad :-

Merafak Sembah Ucap Tahniah Kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diatas Pemasyhuran baginda sebagai Raja Muda Selangor.  Istiadat Pemasyuharan Gelaran dan Mengangkat Sumpah Serta Menjunjung Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Sebagai Raja Muda Selangor telah berlangsung dengan penuh adat istiadat Diraja Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah pada pagi Sabtu, 08 Oktober 2016 bersamaan 07 Muharam 1438H.

Pengistiharan pemasyhuran Raja Muda Selangor dilakukan oleh Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dihadapan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor.  Dalam istiadat ini DYTM Tengku Amir Shah mengangkat sumpah lafaz taat setia untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas serta sentiasa patuh dalam menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor.  Baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran dengan disaksikan oleh YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj, Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mohd. Zabidin Mohd. Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Mohd. Amin Ahmad Ahya.

Dalam Istiadat ini juga DYTM Tengku Amir Shah dikurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abdul Wahid. DYTM Tengku Amir Shah kemudiannya berangkat keluar meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari negeri Selangor selama tujuh (7) hari mengikut amalan yang ditetapkan.










Sumber : Bernama/Sinar Harian/Kosmo/Pelbagai 

No comments: