Wednesday, July 31, 2013

Terima Kad Hari Raya Daripada Sultan Johor



30 Julai 2013, Rabu :-

Hari ini Syah menerima balasan Kad Hari Raya Aidilfitri pertama dari Sultan di Malaysia yang Syah hantar kepada semua Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pada minggu pertama bulan Ramadhan. Sebentar tadi posman hantar dua kad Hari Raya untuk Syah ia itu daripada DYMM Sultan Johor dan satu lagi daripada YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah dari Terengganu. Kedua-dua kad ini adalah yang pertama Syah terima sepanjang Ramadhan ini. Shukur Alhamdulillah dan patik merafak sembah mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan Johor dan YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah, Terengganu.








Tuesday, July 30, 2013

Sultan Johor Di Bazar Ramadhan Stadium Pontian

30 Julai 2013, Selasa :-

Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mencemar duli menziarahi Bazar Ramadhan Stadium Pontian di Pontian, Johor.  Kelihatan Tuanku sedang melihat juadah yang dijual di bazar berkanaan.


Sumber :- Kesultanan Johor.

Majlis Raja-Raja Melayu Tetapkan Tarikh Melihat Anak Bulan Syawal


30 Julai 2013, Selasa :-

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu dalam kenyataannya semalam melalui Bernama memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu telah menetapkan tarikh melihat anak bulan Syawal akan diadakan pada petang Rabu bersamaan 29 Ramadhan 1434. Majlis Raja-Raja Melayu juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa bagi tahun 2013 adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. Pada sebelah malamnya pula Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu akan mengumumkan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri  kepada warga Malaysia melalui siaran langsung di radio dan televisyen seluruh Malaysia.

Lokasi melihat anak bulan adalah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak A-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.

Tempat lain pula ialah di Tanjung Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Sumber :- Bernama

Ziarah Ke Makam Almarhum Raja Alang


30 Julai 2013, Selasa :-

Pada hari Ahad lepas Syah tergerak hati untuk menziarahi Makam  Almarhum Raja Alang di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang  atau ada sesetengah orang menyebutnya sebagai Tanah Perkuburan Kampung Baru.  Syah memang selalu ziarah ke Makam Almarhum semenjak 1990an lagi dan setiap kali musim perayaan atau bulan puasa terdapat ramai yang menjual bunga, air mawar dan batu-batu kecil untuk diletakkan diatas kubur oleh saudara mara si mati.  Syah beli sebungkus bunga dan sebotol air mawar.  Selepas sedekahkan Al-fatihah kepada Almarhum dan ahli-ahli kubur yang lainnya Syah taburkan bunga dan air mayar ke Makam Al-Marhum dan kaum kerabatnya. 



Kepada sesiapa yang tidak mengetahui siapa Almarhum Raja Alang, tentu anda pernah mendengar mengenai Bazar Ramadhan Jalan Raja Alang yang terkenal di Kuala Lumpur setiap kali menjelang bulan puasa. Inilah dia makam "Raja Alang" yang namanya disemadikan di jalan berkenaan.  Sebelum ini keadaan makam agak tidak terurus dan ada bahagian yang pecah ditimpa pokok tetapi baru-baru ini proses baik pulih telah dilakukan keatas makam dan batu mamarnya juga telah dibersihkan sehingga jadi putih melepak.  Shukur Alhamdulillah makam ini telah terpelihara akhirmya.

Al-fatihah ............. Semuga Rohnya Almarhum Raja Alang ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin

Sila click link dibawah untuk melihat Entry Syah berhubung Makam Almarhum Raja Alang sebelum ini :-

  1. Makam Raja Alang Sudah Dibaik Pulih
  2. Pagi Aidiladha DiMakam Raja Alang

Monday, July 29, 2013

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke-48 Kepada Sultan Brunei dan Raja Isteri



29 Julai 2013, Isnin :-

Hari ini genaplah 48 tahun perkahwinan diantara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan mengahwini sepupu baginda iaitu  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri pada 28 Julai 1965 di Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam. Hasil daripada perkahwinan ini, baginda berdua dikurniakan dengan dua orang putera dan empat puteri serta sembilan orang cucunda yang terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan.

Syah mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke-48 tahun kepada  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha semuga dipanjangkan jodoh hingga akhir hayat dan diberikan kesihatan yang baik. Amin.

Sumber :- Ahmad Borneo / The Royal Ark /Warisan Permaisuri.blogspot

Tunku Zain Hadiri Majlis Iftar Cinta Ramadhan

29 Julai 2013, Isnin :-

Semalam, Yayasan Kanser Malaysia telah mengadakan majlis berbuka puasa yang dikenali sebagai Majlis Iftar Cinta Ramadhan yang berlangsung di Hotel Radius International Kuala Lumpur di Jalan Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur.  Majlis ini ditaja sepenuhnya oleh Hotel Radius International Kuala Lumpur untuk meraikan pesakit-pesakit kanser dan kaum keluarga mereka. Tetamu kehormat dalam majlis ini adalah YAM Tunku Zain Al'Abidin Ibni Tuanku Muhriz.  Kekanda Tunku Zain iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz merupakan Penaung Diraja bagi Yayasan Kanser Malaysia.

Kelihatan YAM Tunku Zain berkenan menyerahkan cenderahati berupa hamper kepada pesakit-pesakit bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Majlis ini dihadiri oleh seramai 70 orang tetamu yang terdiri daripada bekas pesakit kanser, pesakit kanser, wartawan dan kerabat diraja Selangor, Perak dan Perlis.

Yayasan Kanser Malaysia ditubuhkan pada Mac 2013 telah diasaskan oleh pengerusinya sendiri iaitu Saudara Royzilee. Ada kisah menarik mengenai saudara Royzilee ini seperti yang diceritakan oleh Engku Isa al-Husam yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kanser Malaysia kepada Syah.  Menurut Husam, Royzilee merupakan bekas pesakit kanser otak. Selepas menjalani pembedahan beliau berada dalam keadaan koma selama setahun dan setelah sedarkan diri beliau mengalami masalah hilangan ingatan pula selama setahun juga. Sekarang beliau telah sembuh dan bersama-sama Yayasan ini untuk melakukan kerja-kerja amal sepenuh masa. 

 Sumber :- Husam

Sunday, July 28, 2013

Pingan Kenang-Kenangan sempena Pertabalan Sultan Hassanal Bolkiah


28 Julai 2013, Ahad :-

Tengahari tadi Syah ke AmCorp Mall di Petaling Jaya, Selangor untuk melihat jualan barang-barang lama yang diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad di Shopping Complex berkenaan. Syah terjumpa pinggan kenang-kenangan sempena Pertabalan atau Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam . Dari tingkat bawah hingga tingkat atas pelbagai barangan lama dan baru ada dijual disini.  Pinggan kenang-kenangan ini diperbuat daripada plastik berukuran lebih kurang 1 kaki tak silap Syah. Bila Syah tanya budak yang menjaga gerai tu mengenai harga pinggan tu, katanya dia tak tahu berapa harga sebenarnya kerana tuan punya gerai itu tak ada disitu.  Syah pun beredar dari gerai berkenaan.

Tengku Mahaleel Dilantik Presiden BAM yang Baru

Julai 2013, Ahad :-

Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Tengku Mahaleel bin Tengku Ariff yang telah dilantik sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia atau BAM untuk penggal 2013/2017 dalam Mesyuarat Agung BAM yang diadakan di Kuala Lumpur semalam. Tengku Mahalell merupakan Kerabat Diraja Kelantan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holding Berhad. Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Presiden BAM dan juga Presiden Persatuan Badminton Kelantan.  Tengku Mahaleel mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Margaret Ley dan dikurniakan dengan tiga orang cahayamata iaitu Tengku Djan Ley, Tengku Ezan Ley dan Tengku Khairy.  Tengku Mahalell pernah menjadi juara badminton dalam acara perseorangan dan bergu serta menjadi kapten kriket Kolej Sultan Ismail, Kelantan dan pasukan bola lisut pada tahun 1960-an dan awal tahun 70-an.  Beliau juga menganggotai pasukan badminton Universiti Malaya bersama Tan Aik Huang yang pernah menjadi juara All England.  Beliau juga merupakan pelumba rali antarabangsa dan pernah menjadi juara rali Malaysia dalam tahun 1989.

Dalam kenyataanya semalam, Tengku Mahaleel memaklumkan bahawa beliau memerlukan masa sebulan untuk menetapkan hala tuju baru badan induk badminton itu dengan meneliti sistem pengurusan BAM. Beliau juga berhasrat menjadikan badminton sebagai satu industri dan meletakkan Malaysia sebagai pencabar utama sukan badminton diperingkat antarabangsa. Tambah beliau :-
  • "Cabaran dalam badminton ialah bagaimana untuk melahirkan lebih ramai jaguh pada masa akan datang sekiranya masih menggunakan cara lama.  Saya dan kepimpinan baru akan bekerjasama meneliti perkara ini.
  • "Kita akan bekerjasama dengan ahli gabungan untuk mencari jalan bagaimana negara lain meningkat dalam badminton, kita akan teliti penggunaan teknologi atau pendekatan sains sukan yang digunapakai oleh mereka,"
  • "Untuk menjadikan badminton satu industri kita kena cari ramai pemain yang berkaliber, ibu bapa juga memain peranan penting dalam menggalakkan anak mereka dalam bersukan. Kita perlu lihat industri sukan kini menawarkan pendapatan lumayan.
  • "Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang jutawan." 

Sumber:- Bernama

Saturday, July 27, 2013

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin - Sultan Brunei Ke-27



27 Julai 2013, Sabtu :-

Dibahagian hadapan sekali adalah Makam Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Akazul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Sultan Brunei ke-27 yang memerintah pada 1924 hingga 1950.  Al-Marhum diputerakan pada 22 Ogos 1913 di Istana Kota Pekan Brunei merupakan Putera Gahara yang bergelar Pengiran Muda Besar adalah putera kelima daripada 10 orang adik beradik.  Menaiki tahta pada 21 September 1924 ketika berusia 11 tahun menggantikan Ayahanda baginda yang mangkat pada 19 September 1924. Disebabkan usianya terlalu muda, dua orang Wazir telah dilantik sebagai Pemangku Raja iaitu Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman ibni Pengiran Muda Omar Ali Saifuddin dan Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Muhammad Yasin bin Pengiran Omar Ali. Ketika Istiadat Mengangkat dan Memasyhurkan Raja, Al-Marhum ketika itu didukung oleh Pengiran Abu Bakar yang merupa nenda kepada bonda Al-Marhum. Istiadat Penyerahan Kuasa Penuh kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin diadakan pada 1931 ketika Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin berusia 18 tahun manakala baginda ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Mac 1940 ketika berusia 27 tahun. Al-marhum Sultan Ahmad Tajuddin mangkat dalamusia yang muda ketika berusia 37 tahun.


Al-Fatihah :-

Semuga Roh Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.


Banyak informasi baginda yang boleh di kongsi bersama anda tetapi secara ringkasnya hari ini Syah hendak berkongsi cerita mengenai kemangkatan Al-Marhum dan keadaan Sultan dan Negara Brunei yang ketika itu tidak semewah sekarang.  Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin sebenarnya tidak berpuas hati terhadap layanan British kepada baginda terutamanya berhubung isu peruntukan kewangan dimana terdapat perbezaan yang ketara terutamanya berhubung isu elaun sara hidup jika dibandingkan dengan Raja-Raja di Tanah Melayu. Semasa Sistem Residen mula diperkenalkan pada 1909, Brunei merupakan sebuah negeri miskin dan hampir muflis tetapi berubah kepada sebuah negeri yang penting bagi British setelah industri minyak wujud pada 1930-an. Setahun sebelum kemangkatan baginda, elaun sara hidup baginda hanya $3,500 sebulan berbanding Sultan Perak $12,500.00 dan Sultan Pahang $8,000.00 sebulan.


Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin ketika Istiadat Penyerahan Kuasa Penuh sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam pada tahun 1931.

Pendapatan Brunei telah bertambah dari hasil minyak tetapi kerabat diraja dan rakyat Brunei tidak mendapat manfaat dari hasil pengagihan kekayaan berkenaan menyebabkan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin  serta kerabat diraja  tidak berpuas hati terhadap British. Untuk menangani masalah ini, British telah menaikkan elaun sara hidup Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1934 daripada $1,000.00 sebulan kepada $1,500.00. Pada 1939 ianya ditambah sebanyak $500.00 serta elaun tambahan  bagi kos-kos perkhidmatan dan seumpamanya. Hanya pada tahun 1939 Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin baru menerima peruntukan sebuah kereta untuk tugas-tugas rasmi baginda. Kerajaan British juga telah membina sebuah Istana untuk Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin bagi menggantikan Istana lama baginda yang musnah semasa perang dunia kedua, walau bagaimanapun baginda tidak sempat bersemayam di Istana berkenaan kerana baginda mangkat semasa istana berkenaan masih dalam pembinaan.

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin pernah menulis surat kepada pihak British untuk menaikkan elaun sara hidup baginda.   Diantara kandungan surat berkenaan yang ditujukan kepada Setiausaha Negara Bagi Tanah Jajahan, Mr A. Creech Jones, baginda menyatakan :-

"..... hasil pendapatan Brunei daripada sumber minyak pada tahun 1948 ialah berjumlah $6,000,000.00 dan jika sekiranya elaun baginda dinaikkan, baginda percaya hasil pendapatan negeri ini tidak akan berkurangan dan sebagai seorang manusia biasa baginda tidak akan lama hidup di dunia ini sehingga mencapai umur 100 tahun"


Istiadat Pertabalan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam pada tahun 1940.  Istiadat Pertabalan ini lebih dikenali sebagai Istiadat Perpuspaan di Brunei.

Disebabkan pembendaharaan negeri dikawal oleh Residen, hanya satu cara sahaja yang dapat digunakan oleh baginda untuk menggunakan peruntukan berkenaan iaitu dengan mengadakan lawatan keluar negara kerana segala kos perbelanjaan berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan British. Sehubungan dengan itu, baginda sering berangkat keluar negara seperti Malaya (Malaysia), Singapura dan England.

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin telah jatuh gering semasa berada di Singapura dan mangkat pada hari Sabtu, 03 Jun 1950 di Singapore General Hospital kerana tiada tindak balas terhadap pemindahan darah yang dilakukan dan Al-Marhum telah koma beberapa jam sebelum mangkat. Al-Marhum sebenarnya berada di Singapura kerana dalam perjalanan untuk berangkat ke England. Sebagai menghormati kemangkatan baginda kerajaan Singapura telah mengisytiharkan semua bangunan-bangunan kerajaan di Singapura mengibarkan bendera separuh tiang selama dua hari sebagai tanda berkabung. Manakala di Kelantan pula, semua jabatan-jabatan kerajaan diarah mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari sebagai tanda berkabung manakala di Pulau Pinang, kebanyakan kapal dagang mengibarkan bendera separuh tiang pada 05 Jun sebagai tanda berkabung.


Jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin disemayamkan di Istana Besar, Johor Baharu, Johor sebelum dibawa pulang ke Brunei untuk dimakamkan.

Tengku Mahkota Johor ketika itu, Tengku Ismail (kemudiannya bergelar DYMM Sultan Ismail) telah berangkat ke Singapura untuk menguruskan jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin.  Jenazah telah dibawa ke Johor Baharu dan disemayamkan di Istana Besar Johor Baharu untuk istiadat penghormatan terakhir. Jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad tajuddin telah dimandi dan dikafankan oleh Tuan Syed Salim bin Syed Hasan yang merupakan Kadi Besar Johor manakala Solat Jenazah disempurnakan oleh Tuan Syed Alwi Al-Hadad, Mufti Kerajaan Johor. 

Pada 05 Jun 1950, Jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dibawa ke Lapangan Terbang Singapura untuk diterbangkan ke Labuan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja British, R.A.F Dakota. Turut mengiringi jenazah adalah Tengku Ampuan Raihani dan kerabat diraja Brunei. Turut mengucapkan selamat jalan kepada jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajudin di Lapangan Terbang Singapura adalah pembesar-pembesar negara dan duta-duta asing diantaranya Sultan Selangor, Tengku Ampuan Selangor, Raja Muda Selangor, Tunku Mahkota Johor dan isteri, Menteri BesarJohor, wakil Pesuruhjaya Tinggi Agung British bagi Asia Tenggara, Naib Marshall Udara A.O.C. Malaya dan Penasihat British Selangor.

Bangunan dipinggiran bukit ini adalah Kubah Makam Diraja yang berada didalam Komplek Makam Diraja Brunei.

Setibanya jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin di Labuan, jenazah disambut dengan perbarisan kehormat terdiri daripada anggota-anggota Polis Labuan. Pada jam 13:00hrs, jenazah Al-Marhum dibawa ke Jeti Labuan untuk berangkat ke Brunei menggunakan Kapal M.L. Muara. Jenazah sampai ke Dermaga Kastam lebih kurang jam 17:00hrs dan disambut oleh kerabat diraja, para pembesar dan rakyat Brunei. Jenazah dibawa menggunakan kenderaan khas ke Istana Mahkota untuk disemayamkan bagi istiadat penghormatan terakhir. Jenazah juga disemayamkan di Opis Besar Kerajaan Brunei untuk memudahkan istiadat penghormatan terakhir kepada para pembesar dan rakyat jelata.

Sebelum jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dibawa ke Kubah Makam Diraja untuk Istiadat Permakaman pada 06 Jun 1950, adinda baginda, Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisura Pengiran Muda Omar 'Ali Saifuddien telah ditabalkan sebagai Sultan Brunei yang baru. Adinda Al-Marhum dipilih sebagai Sultan Brunei ke-28 kerana Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin tidak mempunyai anak lelaki.  Hasil perkahwinan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dengan dua orang isterinya hanya menghasilkan anak perempuan sahaja.


Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin

Setelah selesai pemasyhuran Sultan Brunei yang baru, lebih kurang jam  13:30hrs, 06 Jun 1950, jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin telah diarak ke Makam Diraja yang terletak di KM2, Jalan Tutong dengan penuh adat istiadat diraja Brunei untuk dimakamkan di Kubah Makam Diraja. Turut mengiringi  jenazah adalah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Kerabat Diraja, Para Pembesar Negara, Orang-Orang Kenamaan dan Rakyat Brunei.

Sila click link dibawah untuk membaca Entry Syah sebelum ini berhubung Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin :-
  1. Makam Tengku Ampuan Brunei Di Selangor
  2. Sultan Tidak Berputra
  3. Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani
  4. Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani 1

Sumber :- Pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin 1924-1950 /MBS Mini Royal Library

Friday, July 26, 2013

Sultan Johor Memandu Keretapi Ke Segamat

26 Julai 2013, Jumaat :-


Pagi tadi Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah memandu sendiri keretapi untuk ke Daerah Segamat.  Baginda berangkat melalui Stesyen JB Sentral lebih kurang jam 08:45hrs. Pada petang tadi pula, Tuanku Ibrahim telah berkenan mencemar duli bertemu rakyat di One Segamat dan turut meninjau serta bermah mesra dengan orang ramai di Bazar Ramadhan.

Sumber :- Kesultanan Johor

Sultan Brunei Hadiri Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1434H/2013M.

26 Julai 2013, Jumaat :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghadiri Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1434H/2013M.  Majlis diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.  Dalam titahnya, baginda mengingatkan agar semua aktiviti yang dirancang haruslah tidak mengabaikan ibadat solat kerana jika iannya berlaku nescaya akan mengundang laknat dari Allah. Setiap program yang dijalankan haruslah tidak mengganggu wakut solat dan baginda sempat memberi contoh sukan larian "The Run" yang mana acara bermula jam 04:00hrs hingga 09:30hrs dan mengabaikan waktu solat subuh dalam jadualnya dimana majoriti pesertanya adalah orang Islam. Baginda amat kesal atas kejadian ini kerana lebih mengutamakan sukan dari ibadat.

Baginda menyarankan agar rakyat merebut peluang keberkatan di bulan Ramadan untuk memperbanyakkan amal kebaikan bagi mendapat pahala yang berlipat kali ganda dari Allah terutamanya seperti membaca Al-Quraan. Titah baginda lagi, Al-Quraan adalah mukjizat agung dan tema sambutan Nuzul Al-Quraan pada tahun ini adalah "Al-Quraan Sumber Kekuatan" merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 21 bermaksud :-

"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ke atas gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu’ serta pecah belah kerana takutkan Allah. Dan (ingatlah) misal-misal perbandingan ini. Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka itu memikirkannya.”

Baginda menyeru agar rakyat berpegang kuat kepada Al-Quraan, menghayati hukum-hukumnya dan mengambil iktibar peringatan-peringatannya kerana dari situlah mereka akan mendapat aura atau kekuatan yang sebenar-benarnya. Baginda menyeru agar semua rakyat Islam Brunei boleh membaca Al-Quraan supaya negara beroleh kekuatan.

Bagi tujuan ini, baginda bertitah bahawa Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 dikanunkan dan dengan berkuatkuasanya perintah ini diharap semua kalangan generasi muda, khasnya para penuntut yang ingin melanjutkan pelajaran ke pringkat lebih tinggi di luar negara, boleh membaca Al-Quran dan mendirikan solat.

Tambah baginda lagi kedua-dua ibadat ini adalah asas bagi menjamin kelangsungan sosio-hidup bangsa. Tanpanya, kehidupan boleh menjadi malap serta rapuh dan kerana itulah, baginda sentiasa memperingatkan supaya rakyat jangan sekali-kali mengabaikan Al-Qur’an dan ibadat solat.
Sumber :- Pelita Brunei.

Thursday, July 25, 2013

Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Kurniaan Aidilfitri

25 Julai 2013, Khamis :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Kurniaan Aidilfitri yang diadakan di Dewan Kompleks Pentadbiran Kubang Pasu.  Dalam majlis ini, seramai 200 orang anak yatim di daerah Kubang Pasu telah menerima sumbangan berupa wang tunai, pakaian raya dan hamper makanan menerusi Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah atau YASH. 

Sumber :- Bernama

Bayi Prince William dan Kate Middleton Dinamakan George Alexander Louis

25 Julai 2013, Khamis :-

Akhirnya desas desus nama "George" akan digunakan oleh HRH Duke of Cambridge, Prince William dan HRH Duchess of Cambridge atau Kate Middleton untuk bakal pewaris tahta ke-3 Britain yang baru diputerakan pada 22 Julai lepas akhirnya menjadi kenyataan apabila teka teki berkenaan dijawab dengan pengumuman pasangan diraja berkenaan berhubung nama bayi diraja mereka. Pengumam dibuat pada jam 18:20hrs iaitu dua hari selepas bayi diraja diputerakan dan selepas sejam baginda Queen Elizabeth II menziarahi cicitndanya buat pertama kali.  Dalam pengumuman berkenaan, HRH Duke and HRH Duchess of Cambridge memaklumkan bayi diraja telah diberi nama George Alexander Louis dan akan dikenali sebagai His Royal Highness Prince George of Cambridge.

Nama George merupakan nama yang tersohor dimana enam  orang Raja-Raja British menggunakan nama tersebut dan yang terakhir adalah ayahanda kepada baginda Queen Elizabeth II iaitu Mendiang King George VI yang memerintah pada 11 Disember 1936 hingga 14 Ogos 1947. Alexander atau digelar Alexandra bagi wanita merupakan gelaran untuk permaisuri.  Ia juga merupakan nama permaisuri kepada King Edward VII yang memerintah pada 22 Januari 1901 hingga 06 Mei 1910. Manakala Louis merupakan nama yang popular yang digunakan oleh Lord Louis Mountbatten, bapa saudara kepada suami baginda Queen Elizabeth II, HRH Duke of Edinburgh. Lord Louis Mountbatten juga merupakan mentor kepada HRH Prince Charles. Lord Louis Mountbatten mati dibunuh oleh Tentera Republik Irish pada 1979.

Kelahiran Prince George telah melakar sejarah dimana buat pertama kalinya semenjak zaman pemerintahan Queen Victoria, Raja England dapat berjumpa cicit mereka yang merupakan pewaris tahta kerana kebanyakan mereka telah meninggal dunia sebelum cicit mereka yang merupakan bakal raja dilahirkan. Pengumuman nama bayi diraja juga dilihat terlalu awal  iaitu dua hari selepas dilahirkan berbanding Ayahandanya, Prince William yang mengambil masa seminggu untuk diumumkan manakala nendanya Prince Charles mengambil masa sebulan sebelum diumumkan kepada khalayak ramai.  

Selepas baginda Queen Elizabeth II menziarahi cicitndanya, Duke and Duchess of Cambridge beserta Prince George telah berangkat dari Istana Kensington kekediaman ibubapa Duchess of Cambridge di Bucklebury, Berkshire untuk menjalani tempoh "berpantang" sekaligus menghindarkan diri dari sebarang publisiti.

Sumber :- The Gurdian / Royal News Blog.

Tengku Zaihan Menang Pilihan Raya Kecil Kuala Besut

25 Julai 2013, Khamis :-

Tahniah diucapkan kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Zaihan bin Che Ku Abdul Rahman kerana telah memenangi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, Terengganu. Tengku Zaihan berusia 37 tahun mewakili Barisan Nasional menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS, Endot @ Azlan Yusof. Dengan kemenangan ini bermakna Barisan Nasional masih tetap dihati rakyat Terengganu. Tahniah juga diucapkan kepada Barisan Nasional diatas kemenangan ini.


Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar dari BN baru-baru ini.  Dalam PRU 13 lepas BN memenangi kerusi DUN Kuala Besut dengan majoriti 2,434 undi.  Dalam pertandingan satu lawan satu kali ini calon BN memperolehi 8,288 undi manakala calon PAS memperolehi 5,696 undi dengan majoriti 2,592 undi.  Jumlah pemilih adalah 17,683 manakala jumlah pengundi 14,108 dan undi rosak sebanyak 125. Peratus pengundian adalah 79.78%.

Sumber :-Bernama  

Wednesday, July 24, 2013

Kate Middleton Dan Bayi Diraja Keluar Dari Hospital St. Mary

24 Julai 2013, Rabu - 


Setelah melahirkan putera sulungnya yang juga merupakan pewaris ketiga tahta Britain pada 22 Julai 2013, HRH Duchess of Cambridge atau lebih dikenali sebagai Kate Middleton akhirnya keluar dari Hospital St. Mary pada 23 Julai 2013 diiringi oleh suaminya HRH Prince William, Duke of Cambridge. Kedua-dua pasangan ini sempat bercakap dengan para wartawan yang berkumpul dihadapan Lindo Wing, Hospital St. Mary.


Prince William memaklumkan kepada para wartawan dan jurugambar bahawa beliau akan memaklumkan kepada anakandanya apabila dia besar nanti betapa sukar dan penatnya para wartawan dan jurugambar menunggu kelahiran Bayi Diraja dihadapan hospital berkenaan semenjak 01 Julai hingga 22 Julai 2013. Menjawab soalan berkenan rupa bayi diraja, William menjawab ibunya tetapi di balas oleh Kate sambil ketawa yang dia tak pasti bayi berkenaan mirip muka siapa.


Berkenaan nama George yang dikatakan akan diberikan pada bayi diraja, Prince William hampir tersedak mendengar soalan berkenaan dan menjawab "tunggu dan lihat nanti". Prince William juga telah memaklumkan kepada para wartawan bahawa dia telah menukar sendiri lampin bayi dirajanya. Selepas bercakap dengan para wartawan, pasangan diraja ini masuk semula kedalam hospital dan kemudiannya kelihatan mereka bersama bayi diraja berjalan keluar memasuki kenderaan.  Prince William memandu kenderaan berkenaan ke Istana Kensington dan Kate serta bayi diraja duduk dibahagian belakang kenderaan berkenaan.


Sumber :- Royal New Blog / Boston.com

Raja Mohd. Zulfahmi Dipenjara 15 Tahun

24 Julai 2013, Rabu :-


Mahkamah Seksyen Kota Baharu semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada seorang kelindan lori, Raja Mohd. Zulfahmi bin Raja Zainal Abedin, 28 tahun kerana didapati bersalah menyebabkan kematian bonda saudaranya Allahyarhamah Wan Kelthun binti Wan Hussain. Raja Mohd. Zulfahmi juga diarah membayar kos pendakwaan sebanyak RM1,000.00.  Jika gagal membuat bayaran, hukuman tambahan enam bulan penjara akan dikenakan.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 04 September 2012 dimana pada hari tersebut Allahyarhamah Wan Keltum yang berusia 68 tahun dari Kampung Jebak Jeram, Pasir Putih, Kelantan berada dirumah anaknya bagi membantu mereka memasak untuk satu majlis kenduri. Allahyarhamah Wan Keltum kemudiannya balik kerumah beliau yang jaraknya hanya 100 meter sahaja dari rumah anaknya untuk mengambil sudip. Disebabkan curiga kerana Allahyarhamah Wan Keltum tidak kembali semula kerumah anaknya, cucu beliau telah kerumah berkenaan untuk mencari neneknya. Sesampai sahaja kerumah Allahyarhamah, cucunya mendapati Allahyarhamah Wan Keltum telah mati dalam keadaan berlumuran darah.

Siasatan polis mendapati Raja Mohd. Zulfahmi telah memasuki rumah bonda saudaranya melalui tingkap untuk mengambil wang dibilik Allahyarhamah Wan Keltum yang diletakkan didalam lipatan kain sembahyang. Ketika hendak keluar dari rumah berkenaan, beliau terserempak dengan bonda saudaranya yang kebetulan balik kerumah dan merampas sudip kayu dari tangan bonda saudaranya dan menolak bonda saudaranya hingga jatuh. Raja Mohd. Zulfahmi kemudiannya memukul kepala bonda saudaranya menggunakan sudip kayu berkenaan dan mengambil gelang tangan emas Allahyarhamah sebelum beredar dari kawasan berkenaan. Kejadian dianggarkan berlaku diantara jam 11:00hrs hingga 13:00hrs.

Tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa pada keesokan harinya.  Raja Mohd. Zulfahmi  telah didakwa mengikut seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. Hakim Mohd. Yusuff Yunus menjatuhkan hukuman berkenaan setelah menerima pengakuan bersalah Raja Mohd. Zulfahmi.

Sumber :- Kosmo

Tuesday, July 23, 2013

Duchess of Cambridge @ Kate Middleton Lahirkan Bayi Lelaki

23 Julai 2013, Selasa :-


Tahniah diucapkan kepada His Royal Highnes Duke of Cambridge dan Her Royal Highness Duchess of Cambridge diatas kelahiran bayi sulung mereka. Duchess of Cambridge telah selamat melahirkan seorang Putera di Hospital St Mary, Paddington, London pada 22 Julai 2013 jam 16:24hrs waktu London lebih kurang jam 23:30hrs waktu Malaysia malam tadi.  Ibu dan bayi dilaporkan dalam keadaan baik. Pewaris ketiga Tahta Britain itu dilahirkan dengan berat 8lbs 6oz atau 3.6 kilogram. Nama untuk putera sulung ini akan diumumkan dalam waktu terdekat dan akan menggunakan gelaran His Royal Highness ... Nama ... of Cambridge. 

Duchess of Cambridge dimasukkan ke Lindo Wing di Hospital St Mary pada jam 05:30hrs semalam melalui pintu belakang hospital bagi mengelak daripada jurugambar/wartawan yang sememangnya telah bersiap sedia berkampung dihadapan pintu masuk Lindo Wing semenjak 01 Julai lagi. Beliau dibawa ke hospital oleh suaminya sendiri, Duke of Cambridge atau Prince William tanpa kenderaan polis pengiring.

Istana Kensington dalam kenyataan rasminya memaklumkan :-

"Her Royal Highness the Duchess of Cambridge was safely delivered a son at 4:24pm.  The baby weighs 8lbs 6oz".

Manakala di Istana Buckingham pula, Setiausaha Akhbar kepada baginda Queen Elizabeth II telah meletakkan pengumuman rasmi mengenai kelahiran pewaris tahta ketiga Britain diperkarangan Istana Buckingham untuk tatapan umum.

Sumber :- Royal news blog/The Guardian/RoyaltyNu

Kate Middleton Dimasukkan Ke Hospital Untuk Bersalin



23 Julai 2013, Selasa :-

Duchess of Cambridge atau kate Middleton dilaporkan telah dimasukkan ke wad bersalin Hospital St Mary, Paddington, London pada hari Isnin jam 05:30hrs waktu Landon. Beliau berada pada tahap awal proses bersalin. Beliau dibawa masuk ke Lindo Wing di Hospital St Mary dari Istana Kensington dengan kenderaan yang dipandu sendiri oleh suaminya Duke of Cambridge atau Prince William tanpa kenderaan polis pengiring  Bersama-samalah kita nantikan kenyataan rasmi apabila bayi berkenaan dilahirkan. Syah berharap agar Kate selamat melahirkan bayinya.


Sumber :- TV3 / Royal News Blog / Astro Awani

Monday, July 22, 2013

King Philippe Angkat Sumpah Sebagai Raja Belgium Yang Baru

King Philippe mengangkat sumpah sebagai Raja Belgium yang baru di Parlimen

22 Julai 2013, isnin :- 

Semalam 21 Julai 2013, Putera Mahkota Philippe dari Belgium telah mengangkat sumpah sebagai Raja Belgium ke-7 menggantikan Ayahanda baginda King Albert yang turun tahta bagi memberi laluan kepada Putera Mahkota yang berusia 53 tahun itu menjadi Raja Belgium yang baru. King Albert yang berusia 79 tahun membuat pengumuman turun tahta baginda beberapa minggu lepas setelah berada selama 20 tahun diatas tahta. Angkat sumpah diadakan di Parlimen dengan menggunakan tiga bahasa rasmi Belgium iaitu bahasa Belanda, Perancis dan Jerman. Semalam juga merupakan Hari Kebangsaan Belgium.  

Kelihatan King Philippe memandang kearah Ayahandanya, King Albert yang begitu terharu dan sedih selepas menandatangani Akta Turun Tahta yang berlangsung di Istana Diraja.

Terdahulu pada jam 10:30hrs, King King Albert telah menanda tangani Akta Turun Tahta baginda yang berlangsung di Bilik Singahsana Istana Diraja. King Albert menandatangni Akta berkenaan diikuti oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Speaker Parlimen serta 14 saksi yang lain. Akta turun tahta ini digubah khas kerana dalam perlembagaan Belgium tiada peruntukan untuk seorang raja turun dari tahta.  Selepas baginda menandatangani akta berkenaan Putera Mahkota Philippe bergelar King Philippe, King of the Belgains.  King Albert masih lagi mengekalkan gelaran "King" walaupun telah turun dari tahta.

Sumber :- Flanders News.be / Reuters / Royalty nu

Raja Nazrin Dan Keluarga Ke Bazar Ramadan Medan Gopeng


22 Julai 2013, Isnin :-

Petang semalam Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan membawa keluarga baginda meninjau sekitar kawasan Bazar Ramadan Medan Gopeng di Ipoh, Perak.  Kelihatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim  mendukung anakandanya Raja Nazira Safya manakala  Raja Nazrin bersama  putera sulung baginda  Raja Azlan Muzaffar Shah melawat sekitar Bazar Ramadan berkenaan.


Sumber :- Bernama

Raja Perlis Adakan Majlis Berbuka Puasa di Istana Arau


22 Julai 2013, Isnin :-

Semalam Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Istana Arau, Arau, Perlis. Dalam majlis ini Tuanku Raja Perlis telah meraikan lebih 200 orang anak-anak yatim, orang kelainan upaya, saudara baru dan para penghuni rumah kebajikan.  Turut serta berangkat ke majlis ini adalah Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid ; Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan  Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sumber :- Bernama

Sunday, July 21, 2013

Macam-Macam Cerita Mengenai Kelahiran Bayi Prince William dan Kate Middleton

21 Julai 2013, Ahad :-


Kita semua masih tertunggu-tunggu bilakah Bakal Pewaris Tahta Britain akan dilahirkan dan pelbagai andaian telah dibuat oleh pelbagai pihak berikutan kenyataan yang dikeluarkan bahawa Duchess of Cambridge atau Kate Middleton akan melahirkan bayi sulngnya pertengahan Julai ini. Pihak Istana tidak mengeluarkan kenyataan rasmi bila bayi berkenaan akan dilahirkan walau bagaimanapun Kate dan Istana St James memaklumkan bayi berkenaan akan lahir pada pertengahan Julai ini.  Jom kita lihat sedikit sebanyak perkara yang berkaitan berhubung  kelahiran ini :-


Ini adalah rumah agam bernilai 5 juta pound sterling di Bucklebury yang merupakan kediaman Ibu dan Bapa Kate Middleton. Kate berada di kediaman ini beberapa hari lepas untuk berehat dikediaman ibu bapanya yang terletak didalam kawasan seluas 18 hektar dan mempunyai kolam renangnya sendiri. Kate juga dikatakan akan menghabiskan masa berpantangnya dikediaman ini. Malam Jumaat lepas Kate dan Prince William dilihat keluar dari kediaman ini menuju London dan tersebarlah berita samada di laman web atau Twitter bahawa beliau akan melahirkan bayinya.  Walau bagaimanapun kenderaan pasangan diraja ini berangkat menuju ke kediaman mereka di Istana Kensington bukannya ke Hospital.


Kate Middleton telah memilih Hospital St Mary di Paddington untuk melahirkan bayi sulung beliau. Jarak diantara hospital dan Istana Kensington lebih kurang 5 minit perjalanan menggunakan kenderaan.  Semenjak awal Julai lepas para wartawan dan jurugambar dari seluruh dunia telah berkampung dihadapan Lindo Wing di Hospital St Mary untuk membuat liputan mengenai kelahiran ini.  Ada diantara mereka menaikkan kemah sebagai tempat berehat dan tidur supaya tidak terlepas peluang keemasan ini apabila Kate akan dibawa masuk ke hospital pada bila-bila masa untuk melahirkan anaknya melalui Lindo Wing. Hospital ini juga telah menjadi tumpuan bagi pelancung asing yang datang ke London yang tidak mahu melepaskan peluang jika kebetulan mereka berada di kawasan ini dan Kate dibawa masuk ke hospital.


Terdapat beberapa tarikh penting dalam bulan Julai yang berlaku kepada Kerabat Diraja Britain.  Bonda Prince William, Mendiang Princess Diana dilahirkan pada 01 Julai 1961 dan tarikh perkahwinan kedua ayahanda dan bonda Prince Willian adalah pada 29 Julai 1981. Tarikh lahir Mendiang Princess Diana telah lepas dan adakah bayi berkenan akan dilahirkan pada tarikh perkahwinan Ayahanda dan Bonda Prince William?

Bonda Tiri  Prince William iaitu HRH Duchess of Cornwall pula dilahirkan pada 17 Julai 1947 dan nampak gayanya tarikh  tersebut sudah terlepas.


Semua orang teruja dan ternanti-nanti akan kelahiran bakal pewaris tahta ini tetapi bagi sahabat rapat yang juga merupakan sepupu kepada Baginda Queen Elizabeth II, Margaret Rhodes (88 tahun) dalam kenyataannya kepada wartawan CNN baru-baru ini bahawa dia mengaku tidak teruja mengenai berita kelahiran anak Prince Willian dan Kate.  Tambahnya semua orang ada anak dan iannya satu yang mengembirakan dan beliau tidak teruja mengenainya.  Margaret juga merupakan pengapit kepada baginda Queen Elizebeth II sewaktu majlis perkahwinan baginda dengan Duke of Edinburgh.  Walau bagaimanapun Margaret berharap agar anak yang lahir itu nanti akan dibesarkan dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak biasa yang lain.

Sumber :- Express / Royaltynu / etc

Saturday, July 20, 2013

Sultan Brunei Tunaikan Solat Jumaat Buat Pertama Kali Di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah


20 Julai 2013, Sabtu :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah di Kampung Sungai Akar. Ini adalah kali pertama Tuanku Sultan Brunei menunaikan Solat Jumaat di Masjid ini. Turut serta mengiringi Tuanku Sultan adalah dua orang putera baginda iaitu YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel. Laungan Allahuakhbar dilaungkan sebanyak tiga kali oleh Menteri Hal Ehwal Ugama selepas baginda selesai menandatangani plag kenangan sempena keberangkatan pertama kali baginda untuk solat Jumaat di masjid ini.


Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Brunei dan rombongan disambut oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid.  Solat Jumaat diimamkan oleh Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal manakala khutbah Jumaat dibacakan oleh Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim. 

Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah mula dibina pada bulan Mac 2011 dan siap sepenuhnya tahun ini di bawah Projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007-2012 dengan kos hampir BND3.2 juta. Masjid ini boleh menampung sehingga 1,000 jemaah dan antara kemudahan yang disedikan di masjid ini adalah dewan sembahyang lelaki dan wanita, bilik pegawai hal ehwal masjid, bilik serbaguna, bilik tetamu khas, bilik perpustakaan dan IT, bilik kuliah, bilik PA Sistem, stor, bilik pengurusan jenazah, dapur, bilik air tempat berwuduk yang berasingan bagi jemaah lelaki dan wanita. Masjid ini juga menyediakan 100 buah tempat letak kereta dengan dua pintu masuk dan keluar bagi memudahkan pergerakan para jemaah.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei / Pelita Brunei / Brudirect.com