Saturday, April 6, 2013

Makam Al-Marhum Raja Alang Sudah Dibaik Pulih

06 April 2013, Sabtu :-

Petang tadi selepas Solat Zohor, Syah ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk melihat kubur-kubur yang musnah dihempap pokok akibat ribut yang melanda Kuala Lumpur beberapa minggu lepas termasuk kubur Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau  nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih.  Memang sedih melihat kubur-kubur yang sudah musnah sepenuhnya atau sebahagian dan jika hendak dibina semula iannya memerlukan kos yang tinggi. Walau bagaimanapun hati Syah berasa agak gembira apabila melihat makam Al-Marhum Raja Alang telah dibaik pulih.  Dari jauh lagi Syah berasa hairan  kerana ternampak binaan putih melepak berdiri hebat ditengah-tengah Tanah Perkuburan Jalan Ampang.  Rupa-rupanya Makam Al-Marhum Raja Alang dan beberapa makam kerabatnya sudah dibaik pulih.


Beginilah rupanya Makam Al-Marhum Raja Alang yang telah dibaik pulih. Adakah anda tahu siapakah Al-Marhum Raja Alang?  Ok ........  setiap menjelang bulan Ramadhan, orang ramai akan bertumpu ke kawasan pasar Ramadhan kan?  Di Kuala Lumpur antara pasar Ramadhan yang terkenal adalah Pasar Ramadhan di Jalan Raja Alang berhampiran Chow Kit Road dan Kampung Baru. Tun Dr Mahathir Mohamed tidak ketinggalan sekali sekala mengunjungi pasar Ramadhan ini setiap kali tibanya bulan puasa.  Inilah dia makam individu yang bernama Raja Alang itu. Karung plastik berhampiran makam ini mungkin bahan yang digunakan untuk mencuci batu mamar yang telah berlumut menjadi putih. Mungkin mereka baru sahaja melakukan proses baik pulih ini.

Gambar diatas adalah makam yang telah dibaik pulih manakala dibawah adalah gambar makam yang belum dibaik pulih.  Makam ini telah terlalu lama rosak kerana dihempap oleh pokok dan tiada siapa yang mahu membaik pulih mungkin kerana kosnya yang agak tinggi.  Syah ziarah makan ini semenjak tahun 1990an lagi dan keadaa makam ini memang sudah rosak dan tak pasti semenjak bila iannya dihempap pokok. Syah rasa apa yang dibuat sekarangpun sudah mencukupi dan memadai walaupun tidak dibaik pulih sepenuhnya. Serpihan batu yang telah pecah di tingkat ketiga telah diletakkan semula dan hanya tinggal satu batu nisan sahaja dan Syah tak pasti yang satu lagi dimana?  Mungkin telah pecah atau diambil orang. Batu nesan yang adapun telah pecah dua.


Syah bertanya kepada kakitanggan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang mengenai siapakah yang membaik pulih makam Al-Marhum Raja Alang tetapi mereka tidak tahu dan cuma memaklumkan kepada Syah bahawa ada orang datang buat kerja membersih dan baik pulih makam berkenaan.


Pandangan Makam dari bahagian hadapan.
Utusan Malaysia Online pada 07 April 2012 menyatakan nama asal Jalan Raja Alang sebelum merdeka adalah Perkins Road. Jalan itu telah dinamakan semula dan diberi nama Jalan Raja Alang selepas kemerdekaan oleh anak kepada Al-Marhum Raja Alang iaitu Dato' Raja Mohamed yang merupakan seorang pembesar dan Ahli Dewan Diraja Selangor yang bergelar Engku Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur.  Beliau telah diberi penghormatan untuk memberi nama kepada jalan berkenaan atas jasa-jasa beliau memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.  Walau bagaimanapun beliau tidak menggunakan nama beliau sendiri pada jalan berkenaan supaya tidak mahu anak cucunya  berperasaan riak lalu mengambil keputusan menggunakan nama Ayahandanya, Raja Alang.  Tidak banyak   yang diketahui mengenai Al-Marhum Raja Alang dari keturunan Raja Mendaling ini tetapi setakat yang diketahui Al-Marhum merupakan antara orang Melayu terkaya di Selangor pada tahun 1880an.  Tidak hairanlah makamnya sebegini indah dan unik mengikut statusnya dalam masyarakat ketika itu. 


Gambar ini Syah ambil pada hari Sabtu bersamaan 01 Disember 2012 dan beginilah keadaan makam Al-Marhum Raja Alang ketika itu.  Shukur Alhamdulillah iannya sudah dibaik pulih.


Syah mengabadikan kenangan bersama runtuhan makam  Al-Marhum Raja Alang di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang. Ketika ini, tingkat yang ketiga binaan telah pecah dan serpihannya anda boleh lihat dihadapan gambar Syah.


Makam Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa yang merupakan Sultan Selangor ke-5 di Makam Diraja Klang, Selangor menyerupai makam Al-Marhum Raja Alang.  Al-Marhum Raja Alang mangkat pada 11 Disember 1927 manakala Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah mangkat pada 01 Mac 1938.  Gambar ini Syah ambil pada 02 Februari 2013 sewaktu menziarahi Makam Diraja Klang.

No comments: