03 April 2013, Rabu :-
Hari ini Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim telah mengesahkan perletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor atau singkatannya PBNJ. Tittah baginda dalam kenyataanya kepada media adalah seperti berikut :-
"Saya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, dengan ini ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan dan mendapat titah perkenan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Ta’zim, dan juga hasil daripada perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negeri Johor, dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Presiden dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor.
Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya "memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.
Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebgai Penaung, serta merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ. Dengan jawatan saya sebagai Penaung, ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak negeri Johor di seluruh pelusuk tanah air yang mana telah bersusah payah beramai-ramai memberi sokongan yang tidak terbatas kepada pasukan bolasepak negeri Johor selama ini. Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai dan saya harapkan agar ianya berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bolasepak tanah air.
Untuk makluman semua, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Ta’zim selepas ini akan disandang oleh YB Dato’ Haji Obet Bin Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor. Saya berharap anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan juga saya akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bolasepak negeri Johor ini dari perigkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong-penyokong bolasepak negeri Johor yang selama ini menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menaikkan nama baik PBNJ. Saya juga menyeru agar sokongan padu dari para penyokong akan sentiasa berterusan demi menaikan imej dan juga mutu pemain-pemain bolasepak negeri Johor dan juga PBNJ.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarhakatuh."
Sumber :- Kesultanan Johor / Kosmo
No comments:
Post a Comment