Wednesday, April 3, 2013

Perdana Menteri Mengadap Yang di-Pertuan Agong Untuk Bubarkan Parlimen


03 April 2013, Rabu :-


Pagi tadi Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Negara.  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Rakyat. Kenderaan rasmi Perdana Menteri dilihat memasuki Istana Negara jam 08:10hrs dan dilihat bergerak keluar kira-kira satu jam kemudiannya menuju Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet yang dijadualkan berlangsung pada jam 09:50hrs.

Bernama dalam laporannya pagi ini memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri melalui laman Twitternya meyatakan Datuk Seri Najib akan berucap secara langsung melalui televisyen  jam 11:30hrs ini.  Terdahulu laporan media meramalkan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada pilihanraya umum ke-13 hari ini.  Tahukah anda bahawa hari ini genaplah empat tahun Datuk Seri Najib menerajui negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Dalam ucapan Perdana Menteri melalui televisyen pagi tadi, Datuk Seri Najib memaklumkan beliau telah mengadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen ke-12. Beliau menasihati semua kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak. DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac lepas manakala Serawak mengadakan pilihanraya negeri pada 16 April 2011 dengan Barisan Nasional menang 55 kerusi daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Berikutan pembubaran Parlimen ini, Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian manakala mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.  Mengikut perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuaan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Bersama-samalah kita semua menunaikan kewajipan kita untuk mengundi dalam Pilihan Raya ke-13 ini nanti bagi menentukan kerajaan yang akan memerintah dan membangunkan negara kita seperti yang ada sekarang ini.

Sumber :- Bernama

No comments: