Thursday, August 21, 2014

Hari Berkabung Negara / Istiadat Penghormatan Jenazah Ekoran Tragedi Pesawat MH17

21 Ogos 2014, Khamis :-

Kerajaan Malaysia telah menetapkan Hari Berkabung Negara ekoran tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dipercayai telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah Donestk, timur Ukraine pada hari Jumaat bersamaan 22 Ogos 2014. Pada hari yang sama juga akan diadakan  Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17. Trajedi yang menyayat hati ini telah mengorbankan kesemua 298 penumpang termasuk 15 anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda menuju Kuala Lumpur, Malaysia. MH 17 berlepas pada tengahari Khamis dan dijangka tiba ke KLIA pada pagi Jumaat 18 Julai 2014. Seramai 43 orang warga Malaysia telah terkorban dan buat masa ini hanya 28 mangsa telah dikenalpasti melalui proses mengenalpasti mayat  yang dijalankan di Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda. jenazah warga Malaysia yang dikenal pasti perlu melalui lima proses iaitu mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran mengeksport jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda untuk sama ada dikebumi atau dibakar.

Esok negara kita akan menerima 20 jenazah warga Malaysia yang terdiri daripada 17 jenazah yang diletakkan didalam keranda dan 3 bekas abu mayat.  Jenazah berkenaan diterbangkan dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan khas MAS. Penerbangan dijangka bertolak jam 02:00pm hari ini dan dijadualkan sampai jam 10:00am pagi esok. Kumpulan kedua jenazah pula dijangkan akan dihantar pulang ke Malaysia pada 24 Ogos 2014. 

Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 akan berlangsung pagi esok di perkarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Setiap jenazah akan diusung oleh pegawai istiadat dari Angkatan Tentera Malaysia dan dibawa menaiki kereta jenazah dan diberi penghormatan mengikut agama masing-masing serta bertafakur. Jenazah kemudiannya akan dihantar ke negeri-negeri diluar Lembah Klang melalui melalui pengangkutan udara manakala jalan darat digunakan untuk pengebumian jenazah sekitar Lembah Klang. Istiadat ini akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dijadualkan berangkat menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di KLIA manakala Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan,  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dijadualkan berangkat untuk menerima jenazah di Ipoh, Perak. 

Senarai nama jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 bagi kumpulan pertama yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, esok, untuk Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 adalah :- 

Anak Kapal:

1) Mastura Mustafa (P)

2) Ahmad Hakimi Hanapi (L)

3) Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P)

4) Nur Shazana Mohamed Salleh (P)

5) Dora Shahila Kassim (P)

6) Lee Hui Pin (P)

7) Angeline Premila Rajandaran (P)

8) Chong Yee Pheng (P)

9) Azrina Yakob (P)

Penumpang:

1) Foo Ming Lee (L)

2) Karamjit Singh Karnail Singh (L)

3) Ng Qing Zheng (L)

4) Mabel Anthony Samy (P)

5) Paul Rajasingam Sivagnanam (L)

6) Elisabeth Ng Lyeti (P)

7) Ariza Ghazalee (P)

8) Muhammad Afif Tambi (L)

9) Noor Rahimmah Mohd Nor (P)

10) Mohd Ali Md Salim (L)

11) Hasni Hardi Parlan (L)


Peraturan Hari Berkabung Malaysia 22 Ogos 2014 MH17 :-

  • Bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang di seluruh negara pada hari berkenaan;
  • Semua acara yang berunsur hiburan ditangguhkan pada hari berkenaan;
  • Pakaian hendaklah warna-warna yang suram dan tidak warna terang/garang. 
  • Bagi yang beragama Islam dan terlibat secara langsung, mereka digalakkan memakai songkok (tanpa lilitan warna putih)/selendang hitam; dan
  • Pada hari berkenaan juga, rancangan hiburan pada semua saluran radio dan televisyen hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan bacaan Al-Quran dan program berunsur keagamaan.
Seluruh rakyat Malaysia sama ada anda di pejabat, di sekolah, di jalan raya, di pasar raya dan kenderaan-kenderaan juga diminta untuk berhenti seketika untuk bertafakur selama seminit (sekitar jam 10.45 hingga 11 pagi).


Sumber :- Bernama /: melvister.com

No comments: