06 Disember, 2015 :-
Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
Dukacita dimaklumkan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim, telah mangkat pada 05 Disember 2015 jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, Johor akibat kanser. Almarhum berusia 25 tahun diputerakan pada 05 Julai 1990 disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember 2014 dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China. Walau bagaimanapun penyakit Almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.
Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik dan putera kepada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.
Mengikut jadual, Istiadat siram jenazah dan kafan akan diadakan jam 07:00 pagi ini. Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Baharu untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Orang ramai boleh datang memberi penghormatan terakhir bermula jam 09:00 pagi hingga 11:30 pagi manakala bagi orang-orang kenamaan pula akan bermula pada jam 11:30 pagi hingga 12:30 tengahari. Solat Jenazah akan dilakukan sebelum jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Mahmoodiah untuk dimakamkan selepas solat Zohor.
Jenazah akan dibawa ke makam diraja menggunakan pedati khas yang ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar ke Makam Diraja sepanjang tiga kilometer. Diatas keranda Almarhum akan diletakkan bendera peribadi, topi polis dan pedang Almarhum memandangkan Almarhum pernah ditauliahkan sebagai Inspektor Polis pada 2011. Almarhum merupakan kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis.
Jenazah Almarhum akan dimakamkan disebelah kanan makam Almarhum nendanya, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail sepertimana permintaan Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Jalil sebelum ini.
Dengan kemangkatan ini semua bendera di negeri Johor akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini. Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari untuk kerabat diraja dan tiga hari untuk orang awam. Majlis tahlil akan diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Baharu, Johor.
Merafak Sembah Ucap Takziah kepada DYMM Sultan Johor, DYMM Permaisuri Johor serta Kerabat Diraja Johor dan Perak diatas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim.
..... Al-Fatihah .....
Semuga Rohnya Almarhum Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.
Sumber :- Bernama - Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli / Millionaireasia.com
No comments:
Post a Comment