Friday, December 25, 2015

Sultan Brunei Sertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1437 Hijrah


25 Disember 2015, Jumaat :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1437 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan. Turut serta berangkat adalah tiga orang putera baginda iaitu DYTM Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.  Perarakan Maulud Nabi Muhammad S.A.W merangkumi perjalanan sejauh 3.7 kilometer mengelilingi sebahagian ibu negara, Bandar Seri Begawan. Perhimpunan pada tahun ini disertai oleh 143 pasukan yang terdiri daripada pasukan sekolah-sekolah menengah, maktab, institusi pengajian tinggi, kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, majlis-majlis perundingan kampung dan takmir masjid yang dianggarkan berjumlah sekitar 12,000 orang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah berkenan berangkat menerima mengadap ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan pada tahun ini. Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh Pasukan Dikir Kementerian Kewangan dan sebaik sahaja sampai kepada “Ya Habibi” kedengaran tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan ke udara oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diikuti bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan Brunei.


Sebelum berarak, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dilaungkan sebanyak tiga kali sebelum Menteri Hal Ehwal Ugama, YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman memohon perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta ahli kerabat diraja yang lain dan pembesar-pembesar negara untuk mengetuai perarakan. Sebaik sahaja perarakan bermula, kedengaran nyanyian nasyid ‘Thalak Badri Alaina’ disampaikan oleh Pasukan Sekolah-sekolah Arab dan Ugama.

Perhimpunan perarakan dan perbarisan pada tahun ini mempertandingkan lima kategori iaitu :-
  1. Pasukan tidak bernombor yang disertai sebanyak 12 pasukan. 
  2. Kategori sekolah menengah/arab/maktab/institusi pengajian tinggi/swasta sebanyak 28 pasukan. 
  3. Kategori kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan sebanyak 18 pasukan.
  4. Kategori persatuan-persatuan dan sektor swasta sebanyak 25 pasukan.
  5. Kategori kampung dan masjid sebanyak 30 pasukan.
Sumber : Media Permata

No comments: