Wednesday, October 4, 2017

DYTM Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah Mangkat




04 Oktober 2017, Rabu :-

Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un.

Merafak Sembah Takziah Kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa diatas kemangkatan suri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah.

Almarhumah mangkat semalam 03 Oktober 2017 bersamaan 12 Muharam 1439 di Petaling Jaya, Selangor pada jam 05:07 petang dalam usia 74 tahun.  Jenazah Almarhumah  disemayamkan di Istana Al-Ridhuan, Ipoh untuk istiadat penghormatan terakhir dan Istiadat Permakaman dijadualkan berlangsung selepas solat Asar di Makam Diraja Al-Ghufran, Bandar Diraja Kuala Kangsar. 


Almarhumah dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 di hadapan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. 

Almarhumah dikurniakan gelaran Raja Puan Muda Perak pada tahun 1998 berikutan suaminya, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa diisytihar sebagai Raja Di-Hilir Perak.  Almarhumah mendirikan rumah tangga bersama Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa pada tahun 1973 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43 dan Raja Nor Azwina 41.



Almarhumah  mendapat pendidikan di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Almarhumah pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Raja Chulan, Ipoh dan pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris serta Geografi di St John Institution, Kuala Lumpur.   Almarhumah merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.  Dua hari lepas Almarhumah baru sahaja menamatkan perkhidmatannya di persatuan berkenaan setelah hampir 7 tahun memberi sumbangan dalam persatuan tersebut.



Rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 10 pagi hingga 11.30 pagi, manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula jam 11.30 pagi.






Gambar ini diambil pada 01 Oktober 2017 dimana Almarhumah bersama Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Majlis Penyerahan Van oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kepada Persatuan Pandu Puteri di Seri Perdana.


AL-Fatihah


Semuga Rohnya Almarhumah Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.

No comments: