Friday, April 1, 2011

Perkahwinan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah


03.04.2011, Ahad - Gambar diatas diambil pada tahun 1999 dan dimuatkan dalam buku Pertabalan Tuanku Mizan sebagai Sultan Terengganu pada 04.03.1999 bersamaan 15 Zulkaedah 1419. Tuanku Nur Zahirah dilahirkan sebagai Rozita binti Adil Bakri pada 07.12.1973. di ALor Star, Kedah Darul Aman. Tuanku Nur Zahirah mendirikan rumahtangga dengan Tuanku Mizan pada hari Khamis, 20.03.1996 bersamaan 08 Zulkaedah 1416. Pada masa itu Tuanku Mizan merupakan Yang Di Pertuan Muda Terengganu bergelar Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mizan Zainal Abidin ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Istiadat Perkahwinan Diraja bermula pada 28.03.1996 hingga 29.03.1996. Istiadat perkahwinan adalah seperti berikut :-

28 Mac 1996

Majlis Tahlil bermula jam 08:00hrs hingga 09:00hrs di Istana Maziah dimulai dengan Berzanji dan diikuti Majlis Tahlil.

Pada jam 12:00hrs pula diadakan Jamuan Sempena Perkahwinan Diraja di perkarangan Istana Maziah.

Pada jam 15:00hrs diadakan Istiadat Menghantar Mahar dari Istana Al-Muktafi Billah dan Istiadat Penerimaan Balas Mahar di Rumah Tetamu. Rombongan dari Istana Al-Muktafibillah Shah diketuai oleh YAM Tengku Sri Raja diikuti oleh YAM Tengku Hajah Zaharah, YAM Tengku Farah Qurashiyah, YAM Tengku Norhana Fatihah, YAM Tengku Sri Paduka Raja dan To' Puan Rosita, YAM Tengku Sri Laksamana Raja dan To' Puan Hajah Rahimah, YAM Tengku Seri Indera Raja selaku Ketua Istiadat dan YAM Tengku Zainah serta rombongan.

Rombongan menghantar mahar tiba di Rumah Tetamu jam 15:20hrs dan disambut oleh Omar bin Ahmad dan Nur Rahmah Hj Mohd Zain, Tan Sri Dato' Dr Othman Yeop Abdullah dan Puan Sri Zubaidah serta Haji Arfanuddin Haji Hussain dan Hajjah Hosna. Selepas istiadat ini selesai diadakan pula jamuan ringan sebelum mereka kembali semula ke Istana Al-Muktafibillah untuk mempersembahkan hantaran balas kepada DYMM Sultan Mahmud dan YAM Sharifah Nong Alsegaff (Bonda Tuanku Mizan sekarang dikenali sebagai YTM Tengku Besar Terengganu).

Upacara akad nikah diadakan disebelah malamnya selepas Solat Insyak di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Teluk Ibai, Kuala Terengganu atau lebih terkenal dengan panggilan Masjid Putih atau Masjid Terapung. Majlis ini dihadiri oleh Kerabat-Kerabat Diraja, Menteri Besar Terengganu dan Isteri, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Negeri dan Isteri masing-masing, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Orang-Orang Besar Raja dan To' Puan, Alim Ulamak, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan rakyat Terengganu.

Saksi-saki bagi pihak DYTM Yang Di Pertuan Muda terdiri daripada YAM Tengku Sri Raja, Timbalan Mufti Dato' Haji Mohd Zubir bin Haji Awang, Hakim Mahkamah Tinggi Syar'iah Dato' Hj Mohd Ros @ Mamat bin Yusof dan Dato' haji Awang Ahmad bin Ismail. Saksi-Saksi daripada pihak Pengantin Perempuan Diraja terdiri daripada Tan Sri Dato' Dr. Othman bin Yeop Abdullah, Haji Mohd Zain bin Awang Osman dan Haji Arfanuddin bin Haji Hussein.

Upacara akad nikah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Al-Mufti Terengganu. Selepas selesai upacara ini kesemua tetamu termasuk DYTM Yang Di Pertuan Muda berangkat ke Istana Maziah untuk majlis jamuan makan malam.

29.03.1996
Majlis Jamuan Diraja bagi meraikan Pasangan Diraja diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu, Terengganu. DYTM Yang Di Pertuan Muda dan To' Puan Seri Rozita (gelaran Tuanku Nur Zahirah waktu itu) berangkat tiba ke Istana Maziah pada jam 18:00hrs. Kedua Pengantin Diraja diiringi oleh YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Tunku Khalidah serta Dato' Sangsura Pahlawan dan To' Puan Hajah Zaidah serta pengiring-pengiring diraja. Rombongan DYTM Yang Di Pertuan Muda disambut oleh YAM Tengku Seri Indera Raja dan Tengku Zainah, YBM Tengku Seri Ismara Raja dan To' Puan Hajah Hatipah, Dato'nPerwira Negara dan To'Puan Hajah Zainah.

Kemudiannya keberangkatan tiba YAM Sharifah Nong Asegoff yang diiringi oleh anakandanya, Tengku Farah Qurashiyah (kini Almarhumah), Dato' Aria Pura dan To' Puan Sani. Selepas ketibaan YAM Sharifah Nong Asegoff diikut pula oleh Kerabat-Kerabat Diraja, YAB Menteri Besar dan Isteri, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Negeri dan To' Puan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajan dan ISteri, Orang-Orang Besar Raja dan To' Puan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Isteri, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan Dif-Dif Lelaki dan Perempuan.

Kemudiannya, ketibaan YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah (nenda Tiri Tuanku Mizan) diikuti ketibaan DYMM Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Tengku Ampuan Besar Bariah ke Istana Maziah.

Jam 20:45hrs DYMM Sultan dan Tengku Ampuan Besar Terengganu, DYTM Yang Di Pertuan Muda Terenggau dan YABhg To' Puan Seri Rozita, YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah diiringi oleh YTM Tengku Sri Bendahara Raja berangkat masuk ke Majlis Jamuan Diraja. Para tetamu dihiburkan oleh Kombo RTM serta artis-artis jemputan. majlis berakhir setelah kedua pengantin Diraja menyempurnakan upacara memotong kek.

Bagi paara jemputan yang menghadiri majlis perkahwinan ini, mereka tidak dibenarkan berpakaian putih dan kuning atau berpakaian sedundun, dikecualikan kerabat-kerabat raja yang ikrab dan mereka yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Adapun berpakaian sedundun itu membawaa erti berbaju, berseluar, berkain samping yang bertanah warna sama atau berjalur atau bercorak serupa bagi lelaki. Manakala bagi kaum wanita ialah berbaju, berkain dan berselindang yang bertanah sama warna atau berbunga atau beragi serupa.

No comments: