25.04.2011, Isnin - Malam semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berangkat ke United Kingdom. Tujuan baginda ke London adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan Prince William dan Kate Middleton. Baginda berdua juga akan mengadakan pertemuan dengan para pelajar dan rakyat Brunei yang berada di United Kingdom dan Republik Irland.
Turut berangkat mengiringi Baginda berdua adalah YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah. Sebelum rombongan diraja berangkat, diadakan bacaan doa selamat di Istana Nurul Iman oleh Mufti Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Turut mengucapkan selamat berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor'ain, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah serta kerabat-kerabat diraja yang lain, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
No comments:
Post a Comment