Friday, April 29, 2011

Sultan Perak Rasmi Masjid Ihsaniah Iskandariah

Sultan Perak semasa merasmikan Masjid Ihsaniah Iskandariah - Gambar dari Bernama

06.05.2011, Jumaat - Hari ini Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah telah berkenan merasmikan Masjid Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak.
Masjid ini dibina pada tahun 1936 oleh Sultan Perak Ke-30, Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah). Masjid ini dibina atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Juragan Abdul Shukur Mohammad Ali manakala kos pembinaannya berharga 8,000 pound atau RM40,000.00 ketika itu yang ditanggung sepenuhnya oleh Marhum Kadasallah. Sebenar nya Marhum Kadasallah telah bernazar jika anakanda baginda yang sedang gering (sakit) sembuh sepenuhnya, baginda akan membina sebuah masjid.Reka bentuk Masjid ini telah diilhamkan oleh Marhum sendiri yang diinspirasikan daripada senibina Istana Kenangan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Dinding Masjid diperbuat daripada panel kelarai bercorak intan atau disebut Dinding Tepas atau Tepus. Masjid dua tingkat ini tidak mempunyai kubah dan berbentuk empat segi dimana bumbungnya kelihatan rata dan mempunyai ukiran ditingkapnya dengan struktur binaannya menyerupai sangkar burung. Masjid ini juga dikenali dengan nama masjid Lama Kampung Dipang telah dibina oleh tukang-tukang kayu tempatan yang terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.
Masjid ini telah siap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Marhum Kadasallah sendiri pada 11.02.1938 iaitu lapan bulan sebelum kemangkatan Marhum Kadasallah pada 14.10.1938. pada tahun 1976, struktur bangunan berkenaan mengalami kerosakan teruk kerana ditimpa oleh pokok durian dan Masjid baru telah dibina bersebelahan masjid berkenaan daripada sebidang tanah yang diwakafkan oleh Dato' Mohamad Anuar Abdul Wahid. Jabatan Warisan Negara telah mengazetkan Masjid ini sebagai bangunan warisan negara manakala kerja-kerja konservasi dimulakan pada Disember 2008.

No comments: