Wednesday, May 30, 2012

Tuanku Hajah Haminah Perihatin Terhadap Isu Pembuangan Bayi dan Keldai Dadah Dikalangan Kaum Wanita

30.05.2012, Rabu - Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun begitu mengambil berat berhubung isu kes pembuangan bayi yang semakin meningkat serta penglibatan wanita muda sebagai keldai dadah yang semakin berluluasa sekarang ini. Kebimbangan baginda dizahirkan sewaktu menyampaikan titah dalam perasmian Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2011/2012 semalam yang berlangsung di Ipoh, Perak.

Diantara titah baginda :-
  • "Maka dengan ini adalah satu tugas penting pemimpin dan pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk memberi kesedaran kepada anggota Pandu Puteri khasnya dan masyarakat remaja dan wanita muda amnya betapa pentingnya seorang gadis dan wanita menjaga harga diri dan tidak mudah diperdaya oleh pihak tertentu".
  • "Beta berharap setiap pemimpin dan pesuruhjaya mesti memastikan ahli-ahli remaja mempunyai minat dalam sesuatu bidang untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang memberi manfaat".
Dalam majlis ini, Tuanku Hajah Haminah yang juga merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia turut melancarkan Duit Syiling Peringatan sempena ulang tahun ke-100 Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia yang dikeluarkan oleh Bank Negara.  Terdahulu, Tuanku Hajah Haminah bersama-sama Raja Nor Mahani dan Datin Seri Rosmah telah melepaskan ikan di Sungai Kinta dan menanam pokok di kawasan berkenaan sempena pelancaran projek "kempen bumi hijau" dengan tema "Pandu Puteri Boleh Menyelamatkan Bumi Kita".

Turut serta berangkat dalam majlis perasmian Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2011/2012 adalah  Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun binti Mohd. Ali ; Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ; Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah dan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sumber :- Bernama


No comments: