08.05.2012, Selasa - Semalam 07 Mei merupakan tarikh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Aceh telah melanggar Batu Sawar pada 07.05.1613 kerana membantah tindakan Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III bersahabat dengan Portugis. Peperangan yang berlaku selama 29 hari di Batu Sawar dan Kota Sekarang itu berakhir dengan kemenangan dipihak kerajaan Aceh. Sultan Alauddin sebenarnya berminat mengadakan hubungan dengan Protugis semenjak awal 1610 lagi apabila salah seorang putera baginda berkahwin dengan Puteri Raja Siak. Raja Siak ketika itu menjalinkan hubungan rapat dengan Portugis dan telah mempengaruhi baginda untuk bersahabat dengan Portugis.
Akibat daripada kekalahan ini Sultan Alauddin Riayat Shah III telah ditawan dan dibawa ke Aceh bersama-sama adindanya Raja Abdullah dan Bendahara Tun Seri Lanang yang merupakan penuis Sejarah Melayu. Di Acheh mereka mendapat layanan istemewa daripada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Untuk mengeratkan lagi hubungan antara Johor - Aceh, Sultan Aceh telah mengahwinkan seorang Puteri Aceh dengan Raja Abdullah. Raja Abdullah kemudiannya dihantar kembali ke Johor bersama angkatan tentera Aceh dan diberi wang pampasan bagi membangunkan semula Batu Sawar yang telah diserang Aceh.
Sultan Alauddin dan Bendahara Tun Seri Lanang masih lagi tinggl di Aceh. Di Aceh, Bendahara Tun Seri Lanang meneruskan usaha-usaha beliau menyususn dan memperbaiki Sejarah Melayu yang telah dimulakannya sewaktu berada di Johor lagi. Di Aceh Bendahara Tun Seri Lanang telah berkesempatan bersahabat dengan pengarang dan ulamak terkenal Aceh ketika itu seperti Sheikh Nurussin Ar-Raniri, Tuan Burhat, Hamzah Fansuri dan lain-lain. Mereka ini telah mendapat galakan daripada Sultan Iskandar Muda untuk memajukan persuratan Melayu dan agama Islam.
Setelah lebih kurang satu tahu berada di Aceh, Sultan Alauddin Riayat Shah III dan tahanan lainnya telah dibenarkan pulang ke Batu Sawar dengan janji baginda kepada Sultan Aceh akan membantu Aceh dalam melawan orang-orang Portugis dan tidak membenarkan orang-orang Belanda tinggal di dalam negeri Johor. Walau bagaimanapun Sultan Alauddin Riayat Shah III tetap mengadakan perhubungan dengan Belanda dan Portugis dan pada 1615 baginda telah menandatangani perjanjian damai dengan Portugis. Tindakan baginda telah menimbulkan kemarahan kerajaan Aceh lalu baginda telah ditangkap semula dan dibawa ke Aceh dan akhirnya telah dihukum bunuh di Aceh pada 1617. Al-Fatihah semuga Roh Sultan Johor ke-6, Almarhum Raja Mansor ibni Raja Umar Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah III ibni Almarhum Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II atau nama asalnya Raja Mansor ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin.
Sumber : Arkib Negara / Wikipedia
No comments:
Post a Comment