Tuesday, May 8, 2012

Sempena 37 Tahun Pertabalan Sultan Pahang pada 08.05.1975

08.05.2012, Selasa - Shukur Alhamdulillah, Hari ini merupakan tarikh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah ditabal dan dimahkotakan sebagai Sultan Pahang Kelima daripada Keturunan Bendahara pada tanggal 08.05.1975.  Pada 07.05.1974, baginda yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang  dimasyhurkan menjadi Raja yang memerintah negeri Pahang sebelum jenazah Ayahanda baginda dimakamkan. Setahun kemudian Istiadat Pertabalan dilaksanakan dengan penuh adat istiadat diraja Pahang di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. Dalam masa yang sama suri baginda Tengku Hajah Afzan binti Tengku Muhammad ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Pahang dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajah Afzan binti Tengku Muhammad.  


Turut berangkat ke Istiadat Pertabalan ini adalah Sultan Perak ke-33, Al-Marhum Paduka Seri Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Syah [Marhum Affifullah] yang merupakan bapa saudara baginda dari sebelah bonda baginda KDYMM Tengku Ampuan Besar Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Iskandar Shah. Banyak yang tidak tahu sebenarnya Tuanku Ahmad Shah merupakan Cucunda kepada Sultan Perak ke-30, Paduka Seri Sultan Iskandar Shah ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah 1.

Tuanku Sultan Pahang di puterakan pada 24.10.1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan Pahang. Tuanku adalah anakanda ketiga dimana yang sulung ada lah perempuan dan kedua lelaki tetapi telah mangkat ketika kecil. Ketika Tuanku dalam kandungan, Sultan Abu Bakar dan Tengku Ampuan Raja Fatimah telah bernazar jika anak yang dilahirkan seorang putera ianya akan diserahkan kepada Sultan Perak untuk diasuh. Tuanku telah dibesarkan di Istana Perak dan mendapat pendidikan awal di Kuala Kangsar termasuk Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum kembali semula ke Pahang semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Tuanku menyambung semula pelajarannya di MCKK selepas Jepun menyerah kalah dan kemudiannya menyambung pelajaran ke Worcestor College, Oxford.

Baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 28.05.1944 dalam usia 14 tahun dan dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-7 untuk tempoh lima tahun bermula 26.04.1979 hingga 25.04.1984 ketika berusia 49 tahun.  

DIRGAHAYU TUANKU PATIK.

Sumber :- Arkib Negara / Kesultanan Pahang Darul Makmur

No comments: