Wednesday, August 24, 2011

Lelaki Menyamar dan Menipu Orang Ramai Sebagai Peguam Istana Negara DiTangkap Polis

24.08.2011, Rabu - Pihak Polis telah menahan reman seorang lelaki mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana menipu. Suspek telah memperdayakan seramai 45 individu yang melibatkan kerugian sebanyak RM200,000.00 semenjak awal tahun ini. Suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor menyamar sebagai Peguam Istana Negara dengan menggunakan nama Tengku Razali atau Tengku Shahrizwan. Suspek ditangkap selepas seorang wanita berusia 44 tahun membuat laporan polis berhubung penipuan ini.

Mangsa telah didatangi oleh suspek di kedai makannya di Taman Wahyu, Jalan Ipoh dengan memperkenalkan dirinya sebagai kerabat diraja yang bertugas sebagai Peguam Istana Negara dan menawarkan peluang untuk membekalkan makanan ke Istana Negara. Mangsa telah bersetuju dan beliau telah mengikuti suspek keesokan harinya untuk ke Istana Negara dengan menaiki kereta Proton Perdana. Sampai sahaja dihadapan pintu gerbang Istana Negara, Suspek memaklumkan beberapa peraturan untuk memasuki Istana yang mana salah satunya tidak boleh memakai barang kemas. Percaya dengan kata-kata suspek, mangsa telah menyerahkan barang kemasnya yang bernilai RM7,000.00 untuk disimpan oleh suspek.

Suspek meminta agar mangsa keluar dahulu kerana dia hendak mencari tempat untuk meletak kenderaan. Setelah wanita itu turun dari kenderaan suspek telah melarikan diri bersama barang kemas mangsa. Mangsa telah membuat laporan polis. Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Assistan Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, suspek telah ditangkap di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 14:00hrs hari Khamis minggu lepas setelah enam hari menerima laporan Mangsa. Semasa ditangkap pihak polis menjumpai 15 tangkal dalam tulisan jawi dan rumi pada kertas putih termasuk pada beberapa helai wang kertas dibadan suspek.

No comments: