Tuesday, August 2, 2011

Sultan Jamalul Kiram III Berjanji Membantu Membebaskan Rakyat Malaysia Yang Diculik

Sultan Jamalul Kiram III

02.07.2011, Selasa – Berita Harian dalam laporannya hari ini memaklumkan bahawa pemimpin masyarakat yang diiktiraf kerajaan Filipina sebagai waris sah kesultanan sulu iaitu Sultan Jamalul Kiram III telah menyatakan kesediaan membantu membebaskan rakyat Malaysia yang diculik iaitu Mohd Nazarrudin Saidin. Kerajaan Filipina telah mengiktiraf Sultan Jamalul Kiram III melalui dikri presiden sebagai pemimpin masyarakat di Sulu. Buat masa ini Sultan Jamalul Kiram III sedang bergiat aktif membangunkan semula kawasan selatan Filipina serta berusaha meningkatkan ekonominya selepas dilanda keganasan oleh pihak pemberontak. Sultan Jamalul juga mengistiharkan wilayah Sulu sebagai zon aman dengan semua pihak yang bertelagah termasuk tentera Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mematuhi perintah berkenaan dan bekerjasama memastikan kestabilan wilayah berkenaan.

Mohd Nazarrudi yang merupakan seorang pemandu lori telah diculik di Kampung Kajatian, Sitio Butan, Jolo, Selatan Filifina semenjak 09.05.2011 lepas . Beliau telah ke Filipina lewat April lalu untuk mencari cicak tokek yang dikatakan ditawarkan dengan harga tinggi di pasaran gelap. Beliau telah meninggalkan enam orang anaknya di Sabah selepas bercerai dengan isterinya untuk mencari cicak berkenaan. Adalah dipercayai, kemungkinan besar beliau telah diculik oleh sebuah kumpulan pemberontak yang menentang tentera Filipina yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

Menurut Berita Harian, penasihat khas Sultan Jamalul Kiran, Onn Ariffin memaklumkan dalam suratnya kepada Berita Harian bahawa mereka berasa gusar dengan nasib yang dialami oleh mangsa dan mereka sentiasa mengikuti perkembangan kes itu dan menegaskan tempat mangsa diculik adalah dalam wilayah takluk Kesultanan Sulu. Mereka menyatakan kesediaan mereka untuk berunding dengan penculik bagi membebaskan Nazarrudin. Onn juga turut menyatakan kebimbangannya terhadap kewujudan pihak ketiga sebagai orang tengah bagi membantu tetapi memaklumkan bahawa sebenarnya mereka itu memburukkan lagi keadaan sepertimana bagi kes-kes yang berlaku sebelum ini.

Dalam surat berkenaan dimaklumkan bahawa “Perlu ditegaskan bahawa Mohd Nazaruddin hanya seorang penganggur yang tidak mengundang sebarang risiko keselamatan terhadap penculik jika dia dilepaskan. Namun kami bimbang kehadiran ‘orang tengah’ ini yang boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk”.

No comments: