Monday, December 12, 2011

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah Berangkat Pulang ke Terengganu Pagi Ini

Selamat Jalan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah



12.12.2011, Isnin - Salam semula dan sekarang nie waktu rehat kursus Syah dan best betul kerana instructornya boss lama Syah. Curi-curi masa guna komputer member untuk update blog mengenai keberangkatan pulang Tuanku Mizan. Bernama dalam laporannya pagi ini memaklumkan Istiadat Keberangkatan Pulang ke Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah setelah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pagi ini berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja. Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Dato Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan Isterinya Datin Seri Che Sharifah Ismail. Turut serta adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Isteri Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin dan Menteri Besar Terengganu Dato Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Sebelum berangkat ke Dataran Parlimen dimana upacara rasmi keberangkatan baginda berdua diadakan, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah telah berkenan meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara. Baginda juga turut menerima mengadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di Istana Negara. Tuanku Mizan kelihatan segak mengenakan "Muskat" iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara baginda melintasi pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke-6, Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Zaffar Ismail. Ketika ini lagu Negara Ku dimainkan oleh pasukan pancaragam batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat.

Ketibaan baginda berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen kedua kor Armour Diraja disambut oleh Perdana Menteri dan Isteri. Baginda kemudiannya diiringi ke petrana khas, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat disusuli lagu Negara Ku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diketui Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Serentak itu bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam 21 das. Tuanku kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 103 anggota dan pegawai dari Batelion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Lt Mohd Nor Azizan Yahaya. Kemudianya bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh disusuli tabik "Hormat Diraja" serta lagu Negara Ku.
Baginda berdua kemudiannya berangkat bersalam perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Semasa kenderaan membawa baginda melalui Jalan Parlimen, rakyat dan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.

Dirgahayu Tuanku Patik.

Sumber : Bernama

No comments: