Sunday, December 11, 2011

Tengku Aris Temenggong Selangor Di Kurniakan Darjah Kerabat Selangor D.K.II

11.12.2011, Ahad - Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang ke-66, Nenda Saudara baginda Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah yang merupakan Tengku Aris Temenggong Selangor telah mengetuai senarai penerima darjah dan pingat kebesaran negeri Selangor pada tahun ini. Sebelum ini YAM pernah menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) pada 2002. Pada tahun ini YAM Tengku Dato' Setia dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan DARJAH KERABAT SELANGOR KEDUA (D.K.II).

Tahniah Syah ucapkan kepada Tengku Aris Temenggong Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah atas penganugerahan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II).


D.K.II merupakan darjah kebesaran tertinggi kedua negeri Selangor yang dizahirkan pada 1977 mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selempang dan Lencana Selempang. Kalung Darjah diperbuat daripada logam bersadur emas didatangkan dengan 14 karangan mata rantai. Lambang Negeri Selangor diatas bulan sabit tertera pada mata rantai ditengahnya manakala mata rantai yang lain berbentuk bulat dengan permukaannya berukir keris bersilang berselang seli dengan mata rantai yang mengandungi perkataan Allah dalam huruf jawi. Bintang darjah bewarna keemasan dengan gubahan daun kelapa yang timbul bewarna merah. Selempangnya dari kain sutera selebar 101.6mm dengan dua jalur merah ditengahnya. Ianya dipakai diatas bahu sebelah kiri melintang kebawah sebelah pinggang kanan.

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II) dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia dan ianya juga diberikan kepada Putera-Putera Raja Negra Asing sebagai tanda penghormatan dan hubungan silaturrahim dengan baginda Sultan. D.K.II ini juga dipertimbangkan untuk dianugerahkan kepada penyandang-penyandang jawatan tertinggi yang telah menyumbang jasa dan bakti cemerlang kepada baginda Sultan atau Kerajaan Negeri Selangor.

Sumber : Bernama/Laman Sesawang Darjah Kebesaran Selangor

No comments: