Sunday, December 11, 2011

Sultan Selangor Dukacita Isu Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor Di Politikkan

11.12.2011, Ahad - Dalam sidang media yang diadakan semalam Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Mohammed Khusrin Munawi memaklumkan bahawa Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita baginda atas sikap segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu pemberian darjah kebesaran dan bintang Selangor sempena hari keputeraan baginda yang ke-66. Menurut Dato' Mohammed Khusrin, Tuanku Sultan telah meneliti 2,068 permohonan dan keputusannya baginda memilih 113 penerima sahaja. Keutamaan pemilihan adalah diberikan kepada pegawai kerajaan, polis dan tentera. Mereka yang terpilih adalah 9 dari Istana, 82 penjawat awam, 5 dari badan bukan kerajaan dan 17 dari sektor awam.

Menurut Dato' Mohammed lagi, ketiadaan penerima daripada orang politik disebabkan mereka belum memenuhi syarat untuk dikurniakan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor. Pada tahun ini tiada calon daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional menerima darjah dan bintang kebesaran kecuali Dato' Dr. Hasan Mohamed Ali dari PAS yang merupakan anggota Exco kerajaan negeri. Tambah beliau, penganugerahan kepada Dato' Hassan Ali disifatkan memberi keadilan kepada Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga pati komponen iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS sebagai pentadbir negeri ini.

Pada 2009 baginda mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mewakili PKR dan pada 2010 darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dianugerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Dato' Teng Chang Khim dari DAP. Pada tahun ini pula Dato' Hassan Ali dari PAS dianugerahkan darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS)

Sumber : Bernama

No comments: