Saturday, March 5, 2011

Istiadat Membuka Nobat di Lapau, Bandar Seri Bagawan

05.03.2011, Sabtu - Petang semalam telah diadakan Istiadat Membuka Nobat di Lapau, Bandar Seri Bagawan Brunei Darussalam. Nobat telah ditutup selama 14 hari mulai 19.02.2011 berikutan kemangkatan Bonda Tiri Sultan Brunei, Yang Mulia Pengiran Hajah Siti Salha binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Hj Abdul Rahman pada 18.02.2011 lepas. Istiadat dijalankan dihadapan Yang Dipertua Adat Istiadat Negara, YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. Turut serta dalam istiadat ini adalah YAM Pengiran-Pengiran Cheteria, YB Menteri-Menteri Kabinet, YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri dan Manteri-Manteri Hulubalang.

Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz

Istiadat dimulai dengan Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar mengadap kepala majlis dan menyembahkan bahawa istiadat itu siap sedia untuk dimulakan. Manakala di Istana Nurul Iman pula Nobat Diraja yang terletak di Rumah Pegendangan Istana Nurul Iman mula dimainkan seperti biasa sebelum masuk waktu Maghrib. Selepas solat maghrib, sekali lagi Pehin mengadap kepala majlis dan menyembahkan bahawa Istiadat Membuka Naubat sudah dilaksanakan dengan sempurna. Selepas itu diadakan majlis bacaan tahlil yang dipimpin oleh Pehin Datu Imam.

Sebelum majlis berkenaan selesai, Kepala Majlis mengarahkan supaya rombongan dibawa untuk menghadap dan menyembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa Majlis Istiadat Naubat selamat disempurnakan. Rombongan ini diketuai oleh Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil berserta Pehin Khatib, Begawan Pehin Khatib, Pehin Manteri Istana, Mudim dan Begawan Mudim serta Manteri-Manteri Hulubalang kemudian menuju ke Istana Nurul Iman.

No comments: