11.04.2012, Rabu - Shukur Alhamdulillah Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah selamat disempurnakan sebentar tadi di Balai Rongseri Istana Negara di Jalan Duta, kuala Lumpur. Setelah hampir empat bulan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan disempurnakan maka hari ini 11 April 2012 bersamaan 19 Jamadillawal 1433H Sultan Kedah KDYMM Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah di tabalkan dengan penuh adat istiadat kesultanan Melayu sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14.
Pagi ini cuaca tidak begitu baik dan hujan. Istiadat dijangka akan berlangsung agak lebih lama sedikit dari kebiasaanya sebelum ini kerana keadaan cuaca yang tidak begitu baik.Tuanku Abdul Halim dan Tuanhku Hajah Haminah berangkat tiba di perkarangan Istana Negara lebih kurang jam 09:59hrs disambut oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Jawatankuasa Khas Hari Pertabalan YB Datuk Dr Rais Yatim serta Isteri masing-masing dan pasukan kawalan kehormat utama. Setibanya baginda, lagu kebangasaan Negaraku berkumandang diudara.
Tuanku kemudiannya melakukan pemeriksaan barisan. Seri Paduka baginda berdua kemudiannya berangkat masuk ke Dewan Seri Maharaja untuk bertemu dengan Sultan/Raja/Yang DiPertua Negeri dan bersalaman dengan mereka dan bersemayam seketika dibilik berkenaan sebelum berangkat masuk ke Balai Rongseri didahuluui oleh Sultan/Raja/Yang DiPertua Negeri.
Keberangkatan Masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri Istana Negara disambut dengan tiupan Nafiri dan paluan Nobat "Raja Berangkat" oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah. Keberangkata masuk Tuanku Berdua didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini berserta panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta peralatan kebesaran diraja seperti pedang, keris, cokmar, sundang dan tombak berambu.
Kumpulan Nobat Diraja Kedah
Datuk Paduka Maharaja Lela (DPL) Azwan Effendy Zairakithnaini mengadap dan memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan Istiadat Pertabalan.
"Ampun Tuanku sembah patek Mohon diampun. Patik pohon lempah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk memulakan istiadat pertabalan. Ampun Tuanku titah dijunjung.
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim. Menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong maka inilah diistiharkan bahawa istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dizahirkan sekarang. Ampun Tuanku.
DPML kemudiannya mengadap dan memohon perkenan Tuanku untuk membawa masuk Al-Quraan Ul-Karim dan alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke Balai Rongseri.
"Ampun Tuanku sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk membawa masuk Al-Quraan Ul-Karim dan alat-alat kebesaran bagi istiadat pertabalan ke Balai Rongseri, Ampun Tuanku, Titah dijunjung.
Panglima-panglima membawa masuk peralatan berkenaan seperti Al-Quraan, Keris Kerajaan, Surat Pengistiharan dan Warkah Lafaz Ikrar ke Balai Rongseri diiringi paluan Nobat "Menjunjung Duli". DPML kemudiannya menyembahkan Al-Quraan kepada Tuanku.
"Ampun Tuanku sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk menyembahkan Al-Quraan Ul-Karim, Ampun Tuanku".
Tuanku menerim Al-Quraan berkenaan daripada DPML lalu menciumnya beberapa kali dan kemudiannya meletakkannya diatas rehal yang berada diatas meja diantara baginda berdua dan akan diletakkan disitu sepanjang istiadat pertabalan
Kemudiannya DPML mengadap dan memohon perkenan Seri Pduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membawa mengadap YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri untuk membaca surat pengistihiran.
"Ampun Tuanku sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk membawa mengadap YAB Perdana Menteri untuk membacakan surat pengistiharaan"
"Bismillah Hir Rahman Nir Rahim , Bahawa inilah dimasyhurkan kepada sekalian orang serta penduduk negara Malaysia iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja telah memilih Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan pada hari ini, waktu dan saat yang gilang gemilang ini maka Seri Paduka Baginda ditabalkan naik tahta kerajaan menjadi turus negara bagi Malaysia dengan bergelar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."
Kemudiannya DPML mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembahkan Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja.
"Ampun Tuanku sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk menyembahkan Keris Kerajaan. Ampun Tuanku"
DPML menyerahkan Keris Kerajaan kepada Tuanku. Tuanku kemudiannya menghunus, mengucup dan menyarungkannya semula sebagai tanda kebesaran dan kekuasan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum diletakkan diatas meja yang terletak dihadapan naskah Al-Quraan diantara baginda berdua.
Kemudiannya DPML mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembahkan Warkah Ikrar. Warkah Ikrar ini ditulis diatas kulit kambing yang telah diproses menjadi kertas dan boleh bertahan dalam jangkamasa yang lama dan ditulis dengan menggunakan tulisan khat Nasah untuk text dan Khat Sulus untuk bahagian tajuk.
Warkah Ikrar diserahkan kepada Tuanku dan sebelum melafazkan Ikrar berkenaan def-def dipersilakan berdiri.
'Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, Beta Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bersukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinnya, beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negara serta memulihara dengan sempurnanya setiap masa ugama Islam dan berdiri teguh diatas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara"
Setelah selesai lafaz Ikrar oleh Tuanku, kedengaran paluan Nobat "Raja Bertabal" berkumandang didalam Balai Rongseri Istana Negara. DPML kemudian Melaungkan DAULAT TUANKU sebanyak 3 kali diikuti oleh para hidirin dan kemudiannya Lagu Kebangsaan Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat TUDM diketuai oleh Kapten Sabri Abdullah dan dalam masa yang sama kedengaran bunyi tembakan mariam sebanyak 21 das keudara sebagai simbolik Pertabalan telah disempurnakan.
Kemudiannya DPML mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membawa mengadap YAB Perdana Menteri untuk menyembahkan ucpan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia.
"Ampun Tuanku sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk membawa mengadap YAB Perdana Menteri bagi menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia. Ampun Tuanku."
Ucapan Tahniah dan Ikrar dibacakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Kemudiannya DPML mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembahkan Warkah Titah Diraja.
Tuanku membaca Titah Diraja.
Setelah selesai Titah Diraja, Pegawai Agama Istana Negara mengadap bersama-sama Dato' Penghulu Istiadat untuk membacakan Doa Selamat. Doa dibacakan oleh Y.Bhg Datuk Abdul Aziz Che Yaacob yang juga merupakan Mufti Wiliyah Persekutuan.
Diantaranya :-
"Dipagi yang bersejarah ini sempena istiadat pertabalan hamba mu sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, kami memohon Ya Allah berkatilah istiadat pertabalan ini, Engkau limpahkanlah riayah dan innayah Mu, kurniakan lah Ya Allah taufik dan hidayah yang berkekalan, istiqamah dan keazaman keatas baginda supaya dapat melaksana tugas dan kewajipannya ini dengan dengan sempurna dan jayanya ini. Tanpa bantuan dan innayah dari Mu Ya Allah tiada yang upaya sesiapa jua untuk melakukannya"
DPML mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menerima balik Al-Quraan dari atas singahsana.
"Ampun Tuanku sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk menyambut kembali Al-Quraan Ul-Karim. Ampun Tuanku."
DPML mengadap dan memohon perkenan Tuanku untuk memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah selamat disempurnakan.
"Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun, patik mohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku bagi patik untuk menyembah maklum bahawa dengan izin Allah SWT dan Riayahnya serta dengan berkat daulat Tuanku Jua, maka istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 telah pun selamat disempurnakan. Ampun Tuanku, Menjunjung Kasih Tuanku.
"Dengan lafaz suci Alhamdulillahhirrabbilalamin, adalah dimaklumkan bahawa istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 telahpun selamat disempurnakan".
Kemudiannya pada jam 12:02hrs diumumkan Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Meninggalkan Balai Rongseri. Semua hadiri bangun dan Tuanku mengambil Keris Kerajaan dan turun dari singahsana diringi Raja Permaisuri Agong dengan tiupan Nafiri dan paluan nobat lagu Belayar - Raja Berangkat.
No comments:
Post a Comment