Monday, April 23, 2012

Ayahanda Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

23.04.2012, Isnin - Tahukan anda siapakah gerangannya lelaki  ini.  Jika anda dari Kedah sudah tentu anda sedia maklum siapakah gerangannya individu dalam gambar ini.  Ini adalah Ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Shah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah iaitu Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Almarhum merupakan Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-26.  Almarhum diputerakan pada 17.03.1894 dan bonda Almarhum merupakan isteri ke-4 Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang bernama Sofiah binti Abdullah. Almarhum juga merupakan anak angkat kepada Raja Siam, King Rama VI.

Dilantik sebagai pewaris tahta pada 07.03.1935 dan kemudiannya menerima gelaran Raja Muda Kedah pada 21.03.1935. Almarhum kemudiannya menggantikan Ayahandanya sebagai Sultan Kedah berikutan kemangkatan Paduka Ayahanda baginda pada 13.05.1943 dan ditabalkan pada 15.05.1943. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Almarhum masih lagi dianggap sebagai Sultan Kedah walaupun negeri Kedah pada ketika itu diserahkan kepada Siam oleh pihak Jepun sebagai balasan kerana memberi laluan kepada tentera Jepun menakluki Tanah Melayu ketika perang dunia kedua.


Baginda berkahwin pertama kalinya dengan Tunku Sofiah binti Tunku Mahmud di Balai Besar, Alor Star, Kedah pada tahun 1924. Tunku Sofiah merupakan kerabat Diraja Kedah dan cucunda kepada Almarhum Sultan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-23. Walau bagaimanapun setelah berkahwin selama 10 tahun, Tunku Sofiah mangkat pada 10.03.1934 akibat kemalangan jalanraya di Alor Star, Kedah dan meninggalkan enam orang cahayamata iaitu empat putera dan dua puteri.  Allahyarhamah dimakamkan di Makam Diraja Kedah di Langgar.  Diantara putera Allahyarhamah adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Shah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik. Ketika Allahyarhamah mangkat, Tuanku Abdul Halim ketika itu masih lagi kecil dan baru berusia lingkungan enam tahun tiga bulan. Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Tunku Sofiah binti Tunku Mahmud.

Almarhum Sultan Badlishah kemudiannya berkahwin dengan kerabat diraja Terengganu, Tengku Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 31.10.1935 di Kuala Terengganu, Terengganu. Tengku Asma merupakan adinda kepada Tengku Ali, Bekas Sultan Terengganu semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Bonda Tengku Asma adalah Tengku Ampuan Maryam yang merupakan anakanda kepada Sultan Pahang 1, Sultan Ahmad. Tengku Asma juga merupakan Bonda Saudara kepada Raja Perempuan Perlis sekarang. Tengku Asma kemudiannya menjadi Sultanah Kedah setelah Almarhum ditabalkan sebagai Sultan Kedah. Almarhumah Sultanah Asma mangkat pada 13.05.1996 di Alor Star Kedah dan meninggalkan tiga putera dan lima puteri termasuk Tunku Bendahara Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jemah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, YTM Dato' Seri Utama Tunku Anuar. Al-Fatihah kepada Almarhumah Sultanah Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.


Almarhum Sultan Badlishah merupakan salah seorang daripada Raja Melayu yang menolak keras usul  pembentukan Malayan Unian selepas Perang Dunia II.  Almarhum menzahirkan pendirian baginda melalui surat yang dihantar ke Colonial Office di London, akhbar The Times dan beberapa orang kenamaan di Britain. Pada 21.01.1948, Almarhum menyertai Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang  diadakan di King House.  Perjanjian ini adalah menggantikan Malayan Union dan sebagai persediaan kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 01 Februari 1948 dimana negeri-negeri Melayu digabungkan dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kalinya dan kedudukan Raja-Raja Melayu dikembalikan. Almarhum juga merupakan salah seorang Sultan yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan pada 1957.

Almarhum Sultan Badlishah mangkat pada 13.07.1958 di Hospital Besar Alor Star kerana masalah jantung dan dimakamkan dengan penuh adat istiadat diraja Kedah di Makam Diraja Kedah, Langgar, Alor Star, Kedah.  Gambar diatas sekali adalah potrait Almarhum Sultan Badlishah dan gambar kedua merupakan Makam Almarhum dan gambar yang akhir sekali adalah batu nesan Almarhum. Gambar ini Syah ambil sendiri sewaktu lawatan peribadi Syah ke Pulau Pinang dan Kedah pada 15 - 18 Disember 2006. Syah sempat singgah ke Makam Diraja Kedah untuk ziarah makam dan berjumpa dengan penjaga makam ketika itu, Pak Omar.  


Al-Fatihah ................ Semuga Roh Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah di tempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

2 comments:

Anonymous said...

Tarikh ayahanda baginda meninggal pada 13.5.1943 dengan tarikh baginda sendiri ditabalkan pada 15.3.1943 sungguh bercanggah sekali. Betul ke baginda ditabalkan kerana kemangkatan ayahandanya atau ditabalkan sebelum kemangkatan??

tengkusyah said...

Terima kasih atas teguran, Syah tersalah taip 15.05.1943