27.11.2011, Ahad - Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan telah diadakan pada pagi tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dengan tema pada tahun ini "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Turut hadir pada majlis ini adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah disamping Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta isteri masing-masing. Sebanyak 122 kontijen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perhimpunan ini yang melibatkan 4,500 penyertaan.
Kelihatan Tuanku Mizan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukur Husin. Beliau yang berusia 69 tahun menerima wang tunai RM100,000.00, plak, pingat dan sijil penghargaan daripada kerajaan Malaysia manakala RM10,000.00 lagi disumbangkan oleh Yayasan Ubaidi.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tema yang digunakan pada tahun ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan yang inginkan rakyat bersatu padu, bekerjasama serta saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah dalam merealisasikan matlamat negara maju 2020. Dalam titahnya, Tuanku Mizan menzahirkan kebimbangan baginda dengan keadaan sosialisasi masyarakat yang semakin menebal dengan sikap individualistik walaupun baginda berpuashati dengan pencapaian ekonomi negara yang berkembang pesat seiring negara-negara membangun didunia.
Baginda berharap agar semangat kejiranan dan kekitaan dipupuk dikalangan masyarakat supaya rakyat boleh hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang. Tambah baginda lagi, sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya, kita harus memahami keperluan dan menghormati perbezaan antara satu sama lain. Sehubungan dengan itu, baginda mahukan agar umat Islam di Malaysia menjadi contoh terbaik dalam mengimplementasikan konsep sebenar persafahaman tanpa mengira kedudukan dan latarbelakang.
Nota :- Info dari Bernama
No comments:
Post a Comment