12.11.2011, Sabtu - Tahun ini adalah kali pertama Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V menyambut Hari Keputeraan Baginda yang ke 42 tahun sebagai Al-Sultan Kelantan. Sambutan perayaan hari keputeraan baginda diadakan selama tiga hari bermula 10.11.2011 hingga 12.11.2011 dengan pelbagai program dan tema sambutan perayaan ini adalah “Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung”. Gambar Tuanku Al-Sultan Kelantan dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra ini diambil semasa Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat semalam di Padang Merdeka yang merupakan salah satu program hari keputeraan baginda.
Pada tahun ini seramai 613 individu telah tersenarai untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai (JP) sempena Hari Keputeraan Al-Sultan Kelantan. Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran akan diadakan pada pagi ini dibalai Rongseri Istana Balai Besar, Kota Baharu, Kelantan.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, pada istiadat hari ini 25 orang menerima anugerah yang membawa gelaran Dato' diantaranya Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia (Al-Muhammadi I) (SPMK) - 1 orang, Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili 1) (SJMK) - 2 orang, Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) (DPMK) - 3 orang, Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) (DJMK) - 8 orang, Darjah Kebesaran Kesasteria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi III) (DPKK) - 2 orang dan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (DPSK) - 9 orang.
Isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak@Tuan Muda pula adalah diantara penerima anugerahkan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili III) (JMK) pada hari ini manakala Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain yang merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia mendahului senarai penerima pada pagi ini sebagai penerima tunggal Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia (Al-Muhammadi I) SPMK yang membawa gelaran Dato'.
Tahniah kepada penerima Darjah Kebesaran Negeri Kelantan pada hari ini.
Nota : Info dari Harakah Daily dan Berita Harian
No comments:
Post a Comment