Thursday, September 22, 2011

Tok Ayah - Orang Besar 16

22.09.2011, Khamis - Siapakah gerangannya lelaki ini, tentunya kita tertanya-tanya siapakah individu ini. Beliau adalah Tok Haji Abdul Rahim Mohamed atau lebih mesra dengan panggilan Tok Ayah dan berusia 86 tahun. Anak kelahiran Kampong Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak ini bertugas sebagai Orang Besar 16 yang membawa gelaran Toh Wangsa di Istana Perak dan beliau bertanggung jawab memastikan setiap peristiwa penting yang melibatkan Istana dan keluarga diraja Perak berjalan lancar mengikut tatasusila serta adat budaya diraja Perak yang berusia ratusan tahun itu. Beliau juga sering dijadikan sebagai pakar rujuk oleh orang-orang besar istana atau pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal istiadat keluarga diraja Perak.

Mula berkhidmat dengan keluarga diraja Perak pada 1945 selepas Jepun menyerah kalah. Beliau berasa bertuah kerana dapat berbakti dibawah tiga orang Sultan Perak iaitu bermula daripada Almarhum Sultan Yusuff, Almarhum Sultan Idris dan sekarang Tuanku Azlan Shah. Pada 01.09.1987 Tok Ayah dikurniakan gelaran Orang Besar 32 dan kemudiannya menerima gelaran Orang Besar 16 pada 27.03.2004. Beliau bukan dari keturunan raja, ayahnya Mohamed atau Tak merupakan seorang bilal manakala ibunya, Long Putih merupakan guru Al-Quraan di Pulau Tiga. Walau bagaimanapun Ibunya pernah menjadi Ibu Susuan kepada beberapa orang anak-anak kerabat diraja Perak.

Menurut Tok Ayah, melaksanakan tugas-tugas berkaitan adat istiadat Istana bukan merupakan satu tugas yang boleh diminta-minta sebaliknya ia merupakan kurniaan daripada Kebawah Duli Sultan Perak Darul Ridzuan. Diantara adat istiadat keluarga diraja Perak yang beliau uruskan adalah Istiadat Tabal Kerajaan, Tabal Adat, Tabal Pusaka (seperti Istiadat mengambil air Bersiram Tabal di tujuh Kuala Sungai Perak sempena pertabalan Sultan), menziarahi Makam-Makam Diraja dan Beting Beras Basah, pembinaan pelbagai peralatan sokongan bagi melaksanakan istiadat tersebut seperti Balai Gambang dan kereta pengusung jenazah untuk permakaman keluar diraja Perak.

Apabila diadakan istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, beliau adalah diantara individu yang paling sibuk memastikan segala peraturan berpakaian bagi penerima darjah dan pingat kebesaran dipatuhi sepenuhnya. Beliau juga mahir mengikat tengkolok dan sampin yang merupakan elemen penting dalam komponen pakaian istiadat diraja Perak seperti ikatan tengkolok Bugis Tak Balik, Balung Raja, Ayam Patah Kepak, Helang Patah Sayap, Dendam Tak Sudah, Helang Menyusur Angin dan Getang Perkasam. Beliau mengambil masa tiga hingga lima minit untuk menyediakan ikatan satu tengkolok.

Tok Ayah juga berkebolehan mengubati penyakit misteri yang disebabkan oleh ganguan mahluk halus secara tradisional dan menjadi tumpuan masyarakat dari seluruh negeri dan ada yang memanggilnya dengan gelaran Pawang Diraja tetapi Tok Ayah memaklumkan bahawa dia Bukan Pawang Diraja. Tok Ayah tidak dikurniakan zuriat tetapi mempunyai ramai anak angkat yang beliau sendiri tidak pasti jumlahnya. Berkahwin sebanyak dua kali dengan Noriah Hussin yang telah meninggal dunia pada 1994 dan sekarang bersama Norkamariah Abu Hassan. Tok Ayah masih lagi kuat ingatan dan mempunyai kesihatan yang baik serta boleh memandu sendiri dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur. Bagi Tok Ayah ada lima perkara penting yang menjadi pegangan hidupnya iaitu Allah, Bertanya, Minta, Yakin dan Jahanam. Menurut To Ayah sebagai seorang Islam kita mesti sentiasa yakin dan bersandarkan kepada Allah, jika tidak tahu mengenai hal dunia kena bertanya dan minta jika perlu serta Yakin dengan apa yang diperolehi. Jika tidak kita akan Jahanam.

To Ayah merupakan seorang yang menyanjung tinggi institusi diraja dan jangan sesekali main-main cakap pasal raja-raja dengan Tok Ayah kerana beliau mudah “Panas Darah” jika ada yang memperlekehkan institusi diraja. Bagi Tok Ayah, beliau akan terus setia dan berkhidmat dengan Sultan Perak selagi hayat di kandung badan.

No comments: