Sunday, September 11, 2011

Majlis Perjumpaan Waris Almarhum Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II

Sebahagian daripada penganjur majlis ini, dari kiri Raja Meriam, Raja Zuhairi, Raja Azura dan Megat Samsuar. Raja Meriam kelihatan memegang buku Menjejak Salasilah Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang dikumpul dan disusun oleh Raja Nur Jannah. Buku ini belum siap sepenuhnya.

11.09.2011, Ahad - Pada 01.09.2011 lepas telah diadakan buat julung-julung kalinya Majlis Perjumpaan Waris Almarhum Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II ibni Almarhum Paduka Seri Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’adzam Shah, Sultan Perak Ke-26 yang memerintah dari tahun 1874-1877 di Hotel Syuen, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh, Perak. Almarhum mangkat pada 22.12.1922 dan bukanlah merupakan satu tugas mudah untuk mengumpulkan keturunan Almarhum selepas 89 tahun kemangkatan Almarhum dengan meninggalkan keturunan daripada enam orang isteri Almarhum iaitu isteri pertama Raja Tipah Raja Ngah Putra, isteri kedua Cik Rasiah, isteri ketiga Cik Wan Nursiya, isteri keempat Cik Itam Toh Kota, isteri kelima Cik Rokiah Amaluddin dan isteri keenam Cik Rafeah Busu.

Walau bagaimanapun berkat kerja keras dan usaha gigih beberapa orang kerabat Almarhum yang diketuai oleh Raja Azura Raja Jaafar dan suaminya Raja Zaharruddin Raja Dato’ Seri Lope Abdul Rashid serta dibantu oleh Raja Zuhairi Raja Jaafar, Raja Mariam Raja Mohd, Raja Nur Jannah Raja Hidran, Megat Samsuar Aznil dan lain-lain telah berjaya mengumpulkan seramai 300 orang keturunan Almarhun dari Generasi ke-2 hingga Ke-5 bukan sahaja dari seluruh Malaysia tetapi juga dari Sumetra, Indonesia. Untuk memastikan majlis ini berjalan lancar pihak penganjur telah memaklumkan perkara ini kepada waris-waris melalui facebook dan dalam segmen Malaysia Hari Ini di TV3. Aktiviti yang dijalankan sepanjang majlis ini adalah pameran mini riwayat Sultan Abdullah, persembahan klip video sejarah kehidupan Sultan Abdullah, dan persembahan bakat daripada waris-waris yang hadir.

Tetamu kehormat dalam majlis ini adalah Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan isteri Yang Teramat Mulia Tunku Dato’ Seri Soraya bt. Sultan Abdul Halim.

No comments: