24.09.2011, Sabtu - Bermula semalam selama tiga hari berturut-turut, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri Melaka mengadakan Festival Hang Tuah bertempat Muzium Istana Kesulatanan Melayu Melaka, Bandar Hilir Melaka. Festival ini adalah julung kali diadakan seumpamanya di Melaka sebagai satu produk untuk menarik pelancong ke Melaka sebagai sebuah negeri yang bersejarah. Diantara aktiviti festival ini adalah pameran panglima Melayu terbilang, tayangan filem Hang Tuah , demonstrasi pandai besi pembuatan senjata Melayu, gerak jurus barongan, pembuatan setanjak, mandi minyak, mandi keris, mandi bunga, mandi limau, demonstrasi gerak silat dan demonstrasi persilatan oleh tiga kumpulan persilatan utama. Nama Hang Tuah digunakan sebagai menghargai jasa dan ketokohan Laksamana Hang Tuah sebagai seorang pahlawan Melayu yang berwibawa serta bertindak sebagai duta kerajaan di dalam menjalin hubungan dua hala diantara kerajaan Melayu Melaka dan kepimpinan antarabangsa pada zaman kegemilangan Melaka.
Gambar dari Bernama menunjukkan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang berbaju kuning meletakkan keris sebagai simbolik perasmian Festival Hang Tuah di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka Malam tadi. Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D' Cruz (tengah) dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Othman Mohamad (kanan). Kepada anda yang berada di Melaka untuk bercuti bersama keluarga atau orang tersayang, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk melawat ke Festival Hang Tuah.
No comments:
Post a Comment