- Titah Ucapan
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan limpah kurnianya juga, istiadat pada pagi ini dapat berlangsung dengan baik dan sempurna.
Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tetamu-tetamu khas Beta yang dapat meluangkan masa untuk sama-sama hadir meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta yang ke-64.
Kita juga bersyukur kerana Allah telah mengurniakan kepada negara dan rakyat serta penduduk dengan pelbagai nikmat berupa keamanan dan kemakmuran. Ini semua memerlukan kita menanai dan memeliharanya dengan konsisten. Bagaimanakah kita menanai dan memelihara itu? Tentu saja dengan berusaha demi kelangsungan dan kemantapannya. Keamanan yang bertahan lama dan mantap adalah segala-galanya. Demikian juga kemakmuran yang berterusan adalah menjadi idaman kepada semua.
Kedua-dua ini adalah asasi akan menentukan rebah-bangun negara. Negara yang aman adalah negara yang selesa: selesa untuk berkembang dan membangun. Di tambah lagi kalau ia makmur akan menjadikannya lebih mudah pula untuk melakar kemajuan. Inilah rahsia keamanan. Kerana itu adalah menjadi kewajipan utama bagi agensi-agensi yang berkaitan untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadapnya. Sementara rakyat pula hendaklah memberikan kerjasama yang padu.
Dalam usaha untuk mengekalkan kemakmuran pula, kita boleh memakai dasar dan kaedah-keadah biasa. Kalau orang lain bersaing, kita pun juga bersaing. Orang lain melabur, kita juga melabur. Orang lain mempelbagaikan ekonomi, kita juga mempelbagaikan ekonomi. Pendeknya, kita boleh saja mengharung apa jua cara yang sesuai untuk kelangsungan kemakmuran itu. Tetapi dalam pada itu, elakkan cara dan tabiat yang tidak sihat seperti tabiat suka berhutang tanpa menghiraukan risiko bebanan hutang.
Tahukah kita, ada kajian menunjukkan bahawa krisis kewangan dunia turut dilihat sebagai berpunca dari bebanan hutang. Satu fenomena yang menggerunkan telah dapat dikesan bahawa bukan saja individu, keluarga dan syarikat perniagaan menanggung beban hutan malah terdapat juga negara yang membuat pinjaman berlebihan sehingga menjadikan kestabilan ekonomi dan kewangan negara tersebut tergugat dan bahkan kestabilan ekonomi dan kewangan dunia juga.
Menyedari lebih awal akan bahaya inilah, makanya Kerajaan Beta semenjak beberapa tahun kebelakangan lagi telah pun mengamalkan dasar berhemah dan berjimat cermat di dalam berbelanja dengan menekankan value for money serta menabung lebihan pendapatan kerajaan demi agar kemakmuran yang ada sekarang dapat terus dinikmati oleh generasi demi generasi.
Alhamdulillah, satu berita memberangsangkan berdasarkan The World Economic Forum's (WEF) Global Competitiveness Report 2008-2009, negara kita telah menduduki tempat teratas dari sudut pengurusan hutang kerajaan dengan mengambil kira negara ini tidak mempunyai hutang awam. Sementara itu, negara juga menempati kedudukan kedua daripada 134 buah negara dari aspek kekukuhan makroekonomi.
Insya Allah, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan Beta juga akan melakar satu sejarah baru dalam hal ehwal kewangan dengan penubuhan sebuah autoriti monetari yang digelar Authoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) atau Monetary Authority of Brunei Darussalam yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2011. Badan ini akan bertanggungjawab termasuk ke atas dasar-dasar monetari pengawalseliaan institusi kewangan dan pengurusan mata wang.
Di arena antarabangsa, kita akan terus mengamalkan dasar saling hormat-menghormati serta bekerjasama bagi kebaikan semua pihak. Di peringkat ASEAN, komitmen kita adalah di pandu oleh hala tuju Piagam ASEAN sendiri. Sementara di peringkat lebih jauh melalui keahlian kita di dalam pertubuhan antarabangsa yang lain termasuk APEC, OIC, Komanwel dan lain-lain, kita juga akan mengekalkan peranan membina di dalamnya.
Beralih kepada perkara yang tidak kurang utamanya iaitu Perkhidmatan Awam. Ia memerlukan peningkatan baik di segi produktiviti mahu pun etika kerjanya. Beta mahu Perkhidmatan Awam itu secara berterusan akan menilai kekuatan dan kelemahannya berasaskan Key Performance Indicators yang telah ditetapkan. Dengan cara ini, dapatlah kita menyukat setakat mana Perkhidmatan Awam itu dapat melaksanakan tanggungjawabnya pada memenuhi harapan negara dan orang ramai.
Sejajar dengan keperluan-keperluan utama, Kerajaan Beta telah dan sedang menangani bagaimana untuk mempercepatkan lagi penyediaan perumahan awam yang bersesuaian. Ke arah ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan akan menetapkan sasaran dan langkah untuk memenuhi permintaan termasuk rancangan pembinaan rumah-rumah yang diungkayahkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei.
Melalui langkah-langkah berkesan, Beta berharap pengagihan perumahan itu akan lebih dapat dipercepatkan.
Kita juga bergerak dalam pembangunan yang lebih kondusif bagi pelaburan dengan meningkatkan pemeliharaan alam sekitar dan kualiti kehidupan. Sehubungan ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang mengungkayahkan pembangunan Bandar Seri Begawan melalui penyediaan Pelan Induk Bandar Seri Begawan.
Di bidang perkhidmatan kesihatan, Kementerian yang berkaitan amatlah perlu untuk mengukuhkan lagi dasar-dasarnya menilai sistem dan pengurusan kesihatan khasnya kapasiti dan kualiti sumber tenaga kedoktoran dan profesional lain. Kita tidak mahu rumah sakit kita menjadi bayang-bayang yang menakutkan hanya kerana doktor-doktor selalu gagal dalam memberikan khidmat mereka.
Di bidang pemakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama akan terus melipatgandakan usaha untuk menghampiri sasaran sara diri yang kita cita-citakan itu.
Di samping jangan juga lupa tentang keselamatan makanan sama ada yang bersumber daripada dalam mahu pun luar negara. Langkah-langkah penilaian dan kawalan perlu dipastikan meliputi semua aspek: kehalalan, kebersihan dan keselamatan makanan. Walaupun hanya bahan-bahan yang biasanya dianggap selamat seperti sayur mayur dan ikan, namun kita juga pernah mendengar tentang sayur mayur yang beracun dan ikan yang diawet dengan bahan pengawet yang memudaratkan. Ini belum lagi bahan-bahan daging yang tidak halal yang dibawa masuk melalui jalan penyeludupan dan lain-lain. Ini semua turut menjadi tanggungjawab kita memedulinya.
Bidang paling utama lagi mencabar pula ialah pendidikan. Kementerian berkenaan memalui sistem pendidikan akan menangani pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah-kaedah baru yang maju tetapi bukanlah dengan mengabaikan kepentingan-kepentingan besar nasional. Subjek-subjek teras dan pengisiannya hendaklah terus diutamakan. Ini juga turut menyakut pendidikan agama di bawah Kementerian Hal Ehwal Agama. Kita mesti melihat kepentingan Sekolah-Sekolah Rendah Agama selaku keperluan dan tuntutan zaman. Keperluan di sini ialah untuk menjadikan semua anak-anak orang Islam di negara ini celik agama.
Bagaimanakah caranya?
Tentu saja melalui sistem pendidikan yang dominan mendaulatkan agama. Di mana tempatnya? Bukanlah di rumah atau di lain-lain tempat tetapi di Sekolah Ugam itu sendiri. Kita melihat ini bukanlah untuk masa setahun dua, tetapi bagi jangka panjang demi survival bangsa. Kerana tanpa agama atau lemah agama akan menghumbankan kita kepada bencana. Liat saja kepada beberapa episod permasalahan dalam masyarakat yang menjangkiti banyak peringkat terutama peringkat muda mudi dan juga anak-anak sekolah. Mereka terjerumus ke dalam pelbagai kancah seperti kancah pergaulan bebas, jenayah dan dadah sehingga ada yang telah ditangkap dan dipenjarakan di negara asing kerana terlibat dengan sindiket dadah. Ini tidak boleh dipandang sepi. Selaku bangsa yang sedar, kita mestilah mengubatinya dan satu-satunya ubat itu ialah agama.
Akhirnya, Beta dengan ikhlas ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan dan juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta yang telah memberikan pelbagai khidmat dan sumbangan mereka kepada Kerajaan dan negara. Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di semua peringkat atas usaha padu mereka menjayakan perayaan Hari Ulang Tahun Beta ke 64 ini. Semoga Allah memberkati semua.
Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment