Sunday, July 4, 2010

Istana Negara - 04.06.010

Istana Negara

Istana Negara merupakan tempat bersemayam (tempat tinggal/rumah) rasmi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan kerabatnya. Walau bagaimanapun baginda tidak diwajibkan untuk bersemayam di Istana Negara sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan. Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra, dengan keluasan kawasan seluas 28 ekar atau 11.34 hektar. Istana ini asalnya merupakan sebuah banglo yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 oleh seorang jutawan dari Cina, Chan Wing. Semasa penjajahan Jepun (1942-1945), bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk dijadikan Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor ketika itu. Pada tahun 1957 kerajaan persekutuan telah membeli Istana berkenaan sebagai tempat persemayaman KDYMM Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama bagi sebuah Negara yang baru merdeka ketika itu. Istana ini dibeli dari kerajaan negeri Selangor pada 1957 dengan harga RM1.4 juta dengan kos ubahsuai berjumlah RM328,000.00. Tuanku Abdul Rahman bersemayam di Istana Negara beberapa minggu sebelum kemerdekaan diistiharkan. Istana Negara kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian itu menambahkan bilangan bilik daripada 13 kepada 20, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.
Singahsana di Balairong Seri Istana Negara

Pada tahun 1980 sekali lagi pengubahsuaian Istana Negara dilakukan terhadap Balairong Seri Utama dengan meletakkan singgahsana di dewan ini. Tahukah anda sebelum ini setiap pertabalan Yang di-Pertuan Agong dijalankan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang dan bukannya di Balairongseri Istana Negara kerana tidak dapat menampung jumlah para jemputan. Balairong Seri ini pertama kali digunakan ketika pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7, Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah ibni AL-Marhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1980. Balairong Seri juga digunakan bagi santapan rasmi, istiadat keputeraan, istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran dan keagamaan. Istana Negara turut mempunyai singgahsana kecil di aras satu untuk baginda menerima dan menyerahkan surat perlantikan kepada duta dan pesuruhjaya tinggi. Bilik Duta di aras bawah untuk berinteraksi dengan duta dan pesuruhjaya tinggi yang baru. Bilik ini juga digunakan oleh PM dan timbalannya mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada hari Rabu. Istana Negara juga mempunyai dewan kecil bagi Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemerintah yang lain sementara Bilik Permaisuri adalah tempat keluarga diraja bertemu dengan pasangan diraja atau bagi upacara tidak rasmi. Bersebelahan dengan Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang setiap tahun manakala Bilik Menteri adalah connecting room (bilik menunggu) sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong. Istana Negara juga mempunyai gelanggang badminton, tenis, gymnasium dan kolam renang. Istana Negara dikawal oleh pengawal istana dari batalion pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Sejak tahun 2001, pengawal berkuda turut diletakkan di pintu gerbang masuk pada 08:00 pagi hingga 05:00 petang yang menjadi tarikan pelancong. Anda juga boleh mengabadiken kenangan dipintu masuk Istana Negara.

No comments: