Thursday, July 8, 2010

Senarai Kekananan Sultan-Sultan - 08.07.2010

Negara kita mengamalkam sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar juga Yang Dipertua Negeri sementara ketua kerajaan pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Tentu anda semua tahu siapa Sultan/Raja di Negeri masing-masing tetapi ada juga yang tidak tahun mengenai sultan-sultan di negeri yang lain di Malaysia dan yang lebih teruk lagi tidak tahu siapa Sultan di negeri mereka sendiri kerana ada segelintir daripada kita mengganggap institusi beraja ini tidak penting bagi mereka. Di negara kita terdapat 14 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putra Jaya dan Labuan). Negeri-negeri yang mempunyai Sultan adalah Kedah, Pahang, Kelantan,Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu. Manakala negeri-negeri yang mempunyai Yang DiPertua Negeri adalah Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka.

Proses pemilihan dan perlantikan Yang DiPertuan Agong dilaksanakan secara giliran setiap lima tahun diantara Sultan-Sultan di Malaysia yang ditentukan oleh Majlis Raja-Raja manakala bagi jawatan Sultan di negeri-negeri terlibat merupakan jawatan yang dipilih dan dilantik secara turun-temurun mengikut adat istiadat DiRaja setiap negeri berkenaan melalui majlis diraja negeri masing-masing. Boleh dikatakan kesemua negeri melantik Sultan dari kalangan anak lelaki sulung mereka, walau bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan di Negeri Sembilan dan Perak. DiPerak Sultannya dilantik secara giliran dikalangan anak-anak raja bergelar (anak-anak Sultan terdahulu) dan di Negeri sembilan, Undang mempunyai kuasa menentukan pengganti Yamtuan dikalangan Putra Yang Empat (anak-anak raja bergelar - anak-anak Yamtuan). Bagi jawatan Yang Di-Pertua Negeri pula, ianya bukanlah merupakan jawatan turun-temurun dari golongan Diraja tetapi ianya dilantik dan dipilih oleh Majlis Raja-Raja atas perkenaan Yang di-Pertuan Agong. Disini Syah ingin perkenalkan Ketua Negara dan Ketua Negeri di Malaysia mengikut susunan kekananan mereka diperingkat persekutuan. Tidak semua diantara kita tahu siapa diantara raja-raja ini lebih senior kedudukannya diantara satu sama lain dalam sistem pemerintahan di Malaysia. Disini Syah ingin maklumkan susunan kekananan raja-raja di peringkat persekutuan. Senarai terbaru susuna kekananan ini Syah perolehi daripada Bahagian Istiadat dan Urusan Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Tempat Pertama
Yang Di-Pertuan Agong Malaysia XIII
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Baginda dilantik sebagai Ketua Negara pada 13.12.2006 dan ditabalkan pada 26.04.2007. Tuanku Mizan merupakan Sultan Terengganu.

Tuanku Mizan dengan pakaian rasmi Sultan Terengganu.

Tempat Kedua
Sultan Negeri Kedah Darul Aman
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Naik tahta kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 15.07.1958 dan ditabalkan pada 20.02.1959.

Tempat Ketiga
Sultan Pahang
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah. Naik tahta kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 07.05.1974 dan ditabalkan pada 06.05.1975.

Tempat Keempat
Al-Sultan Kelantan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahaya Petra. Naik tahta Kerajaan Negeri Kelantan pada 29.03.1979 dan dimahkotakan pada 30.031980.
Tempat Kelima
Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Shah Ghafarullahu-lah. Naik tahta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 03.02.1984 dan ditabalkan pada 09.12.1985.
Tempat Keenam
Raja Negeri Perlis
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Naik tahta Kerajaan Negeri Perlis pada 17.04.2000 dan ditabalkan pada 07.05.2001.
Tempat Ketujuh
Sultan Selangor
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Naik tahta Kerajaan Negeri Selangor pada 22.11.2001 dan ditabalkan pada 08.03.2003.
Tempat Kelapan
Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. Naik tahta Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada 29.12.2008 dan ditabalkan pada 26.10.2009.
Tempat Kesembilan
Sultan Johor
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar. Naik tahta Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim pada 23.01.2010.
Tempat Kesepuluh
Pemangku Raja Terengganu
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu pada 12.12.2006.
.
............ DIRGAHAYU TUANKU PATIK ...........

No comments: