Thursday, September 20, 2012

Sultan Brunei dan Raja Isteri Menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Jemaah Haji Brunei 2012

20.02.2012, Khamis - Walaupun sibuk dengan Istiadat Perkahwinan puterinya tetapi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha tetap meluangkan masa menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah bagi meraikan bakal-bakal Haji Negara Brunei bagi tahun 2012. Majlis diadakan semalam 19.09.2012 bertempat di Istana Nurul Iman.  Majlis diadakan secara berasingan untuk jemaah lelaki dan wanita. Turut mengiringi Sultan Brunei adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah manakala Raja Isteri diruang yang berlainan diiringi oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah.

Pada tahun ini Brunei menghantar seramai 400 orang bakal Haji mengikut kuota yang ditetapkan oleh Arab Saudi iaitu 1% daripada penduduk islam sesuatu negara. Seramai 200 jemaah lelaki dan 200 jemaah perempuan diberi peluang menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Bakal-bakal haji ini akan mula bertolak ke tanah suci pada 02 dan 03 Oktober akan datang. Para bakal haji sempat menunaikan solat Zohor di Istana Nurul Iman dan kemudiannya diberikan kain ihram kepada jemaah lelaki manakala jemaah perempuan menerima kain telekung. Semalam kerajaan Brunei telah menghantar petugas-petugas Haji mereka ke Arab Saudi yang terdiri daripada lima orang pegawai perubatan, 15 orang jururawat dan 15 orang pegawai haji bagi membantu dan menguruskan keperluan para jemaah Brunei.

Sumber :- RTB4 / Jabatan Penerangan Brunei

No comments: