Friday, September 21, 2012

Profile Pengantin Diraja YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YM Pengiran Haji Muhammad Ruzaini

21.09.2012, Jumaat - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah adalah anakanda kelima dan puteri keempat Kebawah Dulia Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Yang Teramat Mulia diputerikan pada 12 Mac 1980 dan telah memulakan pengajian formal di Sekolah Antarabangsa pada tahun 1984 dan menjalani semua peringkat-peringkat pendidikan dari tadika, peringkat rendah dan menengah dalam semua mata pelajaran biasa termasuklah pelajaran ugama.

Sebagai seorang penuntut, YTM telah menunjukkan kesungguhan, sifat-sifatnya yang rajin, tekun dan sentiasa suka kepada pengajian yang dihadapinya. Berkat sifat-sifat seperti ini, YTM telah lulus dalam peperiksaan PCE pada tahun 1990 dan melayakkan diri untuk meneruskan pengajiannya di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan mengikut jejak kekanda-kekanda YTM. Dalam tahun 1993, YTM telah lulus peperiksaan BJCE dan dalam bulan Jun 1995 telah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan GCE peringkat biasa yang mana melayakkan YTM memasuki Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.

Dengan semangat serta azam yang gigih untuk menimba ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan YTM telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian Kelas Kedua Atas dari Universiti Brunei Darussalam dalam Majlis Konvokesyen yang ke-14 pada 7 September 2002.

Semangat untuk berbakti kepada masyarakat dan ugama serta berbekalkan ilmu pengetahuan yang telah diperolehi, YTM berkenan berkhidmat dan berbakti dalam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kewangan. Semasa bertugas di kementerian ini, YTM berangkat menghadiri majlis-majlis rasmi yang dianjurkan oleh kementerian berkenaan, di samping berangkat ke majlis-majlis rasmi negara.
Dalam bidang pengajian Kitab Suci Al-Qur'an, YTM sangat gemar dalam menumpukan perhatiannya antara lain berguru dengan Datin Hajah Maliha binti Hanif, isteri Allahyarham Dato Paduka Haji Mustajab Saien. Pada 21 Mac 1996, Majlis Khatam Al-Qur'an bersama kekandanya Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan adindanya Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah telah berlangsung dengan penuh adat di Balai Singgahsana, Istana Nurul Iman.

Dalam kalangan rakan-rakannya semasa menuntut, YTM telah menunjukkan sebagai seorang pelajar yang berbudi bahasa, berhemah tinggi dan mesra dengan rakan-rakannya serta sentiasa menghormati guru-gurunya. Dengan kedudukan ini, YTM sangat disegani dan dikenali oleh rakan-rakan sejawatannya.

Dalam kegiatan-kegiatan luar sekolah, YTM adalah seorang yang sangat aktif dan tidak ketinggalan dalam bidang-bidang yang digemarinya. Oleh yang demikian YTM dihormati oleh rakan-rakannya dan disayangi oleh guru-guru YTM, berakhlak mulia dan dicontohi.

Pengiran Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd Yakub dilahirkan pada 18 Januari 1983. Beliau merupakan anak kedua daripada lima adik beradik dalam keluarga Pengiran Dr. Haji Mohd Yakub bin Pengiran Haji Othman dan Dayang Hajah Zainon binti Dato Paduka Haji Elias. Kakanda sulung Yang Mulia ialah Pengiran Muhammad Afizan, seorang ahli perniagaan. Manakala adik beradiknya ialah Dayangku Dr Amalina, salah seorang pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan, Dayangku Amal Aqilah, seorang pegawai undang-undang di Kementerian Kewangan dan Awangku Muhammad Tarmizi yang masih menuntut di University of Coventry, England.

Pendidikan awal beliau bermula dalam tahun 1987-1993 dalam usia lima tahun di Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB). Dalam tahun 1994, ketika berusia 13 tahun, beliau meneruskan persekolahannya di Sekolah Saint Andrew's sehingga tahun 1996.

Selepas itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Bedford School England dan mendapat Sijil Pendidikan Tinggi dalam Ekonomi, University of Surrey dalam 2003 dan Ijazah Bachelor of Arts dengan kepujian dalam Ekonomi, University of Coventry, England pada tahun 2005.

Dalam peperiksaan peringkat GCE 'O' beliau memperolehi 7 'O' Level dan 3 'A' Level dalam peringkat GCE 'A'.  Dalam bidang kerjaya, beliau mula berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jabatan Penerbangan Awam Kementerian Perhubungan pada tahun 2006 hingga 2009 sebagai Pegawai Pemasaran dan pada tahun 2009, beliau dilantik memegang jawatan sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas di Bahagian Perancangan dan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hingga sekarang.

Semasa bertugas di Jabatan penerbangan Awam, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini telah menghadiri pelbagai mesyuarat dan kursus antaranya pada bulan Ogos 2006 mengadakan lawatan kerja ke Civil Authority of Singapore dan Jabatan penerbangan Awam Malaysia. Pada Oktober 2006, beliau menghadiri Persidangan Maximising Non-Aviation Revenue for Aiports di Republik Singapura; Mei 2007, Achieving World Class Service Culture di Institusi Perkhimatan Awam, Brunei; September 2007 ke persidangan Maximising Non-Aeronautical Revenue for Airport di Malaysia; November 2007 mengikuti lawatan kerja ke Terminal 3, Lapangan Terbang Changi Singapura dan Disember 2007 menghadiri Aviation Safety Workshop di Brunei.

Pada tahun 2008 beliau mengikuti COSCAP South East Asia Training Programme dan Kongres Belia Kebangsaan di Brunei; April 2008 menghadiri East Asia Free Trade Agreement in Services: Facilitating Free Flow of Services in ASEAN di Thailand; dan Julai 2008 menghadiri 3rd Meeting of Logistics and Transport Services Sectoral Wroking Group di Vietnam.

Semasa bertugas di Jabatan Penerbangan Awam, beliau antaranya pernah menerima lantikan sebagai Pegawai Penghubung bagi 6th ASEAN TELMIN, TELSOM Working Group Meeting; November 2006, sebagai Ketua Sekteriat bagi Penubuhan Jawatankuasa Brunei International Airport; Disember 2006, Setiausaha kepada Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Pelanggan Jabatan Penerbangan Awam; Januari 2007, Ahli Jawatankuasa Ketibaan dan Kepulangan (Airport), Istiadat Perkahwinan Diraja Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; September 2008 hingga Ogos 2009, memangku jawatan Pengurus Lapangan Terbang dan 2009 lulus peperiksaan Perintah-Perintah Am 1961 dan Peraturan Perkhidmatan Awam dan Peraturan Kewangan.

Semasa di JPM, beliau pernah menghadiri beberapa mesyuarat antaranya 16th AFA Conference di Brunei; Jun 2010, APEC - 'Enforcing Contract, Ease of Doing Business' di Korea; Ogos 2010, Perfecting Key Performance Indicator; November 2010, ASEAN-OECD Investment Policy Confrence di Republik Indonesia; Mac 2011 Workshop on Making a Difference for Entreprenuers, Ease of Doing Business dan November 2011 menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 di Bali, Indonesia.

Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Task Force Prime Minister's Corporation pada tahun 2009. Manakala bidang tugas kerja di JPM ialah sebagai Ahli Urus setia Pandu dan Jawatankuasa Kerja Ease of Doing Business; Ahli Urus setia Jawatankuasa Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi menjana pertumbuhan ekonomi; KPI dan Perancangan Strategik; Ahli Jawatankuasa Menangani Isu Kelambatan Pembayaran Usaha untuk Meningkatkan Hasil Kerajaan dan Global Competitiv Index (GCI).

Sumber : Diambil Dari Media Permata

No comments: