YMM Raja Perempuan Muzwin Perak telah mangkat petang semalam jam 16:20hrs 06.10.2011 dalam usia 82 tahun setelah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN). Almarhumah mengidap sakit jantung dan masalah buah pinggang. Tujuan Almarhumah ke IJN untuk rawatan darah berhubung masalah buah pinggangnya dan kemudiannya mendapat serangan jantung secara mengegut "Suddent Heart Attack". Mengikut cerita yang dimaklumkan kepada Syah, Almarhumah pergi dengan begitu tenang sekali dan Almarhumah sempat memberitahu anakandanya Ku Dotti yang dia hendak berehat dan kemudiannya terus mangkat. Dah rezeki Almarhumah menghembuskan nafas terakhir pada hari Khamis malam Jumaat dan disempurnakan pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Berita kemangkatan ini amat mengejutkan kerana Almarhumah berada dalam keadaan yang memuaskan sebelum ini.
Jenazah sampai ke kediaman rasmi Almarhumah di Istana Riswin, Ipoh, Perak lebih kurang jam 12 tengah malam tadi. Kepada anda yang ingin menziarahi dan memberi penghormatan terakhir bolehlah datang ke Istana Riswin yang terletak di Jalan Sultan Azlan Shah. Waktu melawat akan tamat jam 14:30hrs. Kemudiannya jenazah akan dibawa ke Kuala Kangsar untuk Istiadat Permakaman Diraja. Jenazah akan singgah sebentar di Dewan Sultan Idris atau lebih dikenali sebagai Dewan Orang Ramai Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang terletak berhadapan Galeri Sultan Azlan Shah untuk jenazah diletakkan diatas Pedati Khas (kereta pengusung jenazah) untuk diarak mengikut adat istiadat diraja Perak ke Masjid Ubudiah. Solat Jenazah akan dilaksanakan di Masjid Ubudiah dan Istiadat Permakaman pula akan dijalankan selepas waktu Solat Asar lebih kurang jam 17:00hrs di Makam Diraja Al-Ghufran bersebelahan Masjid Ubudiah. Kepada anda yang berada di Kuala Kangsar marilah beramai-ramai ke Masjid Ubudiah untuk Solat Jenazah Almarhumah YMM Raja Perempuan Muzwin dan menyaksikan Istadiat Permakaman Almarhumah.
Almarhumah diputerikan sebagai Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah pada 01.03.1929 dan merupakan kerabat diraja Perak disebelah Ayahandanya manakala bondanya berbangsa cina bernama Azizah binti Abdullah. Almarhumah merupakan cicit kepada Almarhum Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni Raja Bendahara Alang, Sultan Perak ke-28. Dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak pada 24.11.1947 dan kemudiannya bergelar Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perak selepas Paduka Suami Almarhumah iaitu Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allallahi Shah II atau Marhum Affifullah ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-33 pada tanggal 26.10.1963. Setelah kemangkatan Sultan Idris pada 30.01.1984, Almarhumah menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Raja Perempuan Muzwin Perak sehinggalah keakhir hayatnya.
Hasil daripada perkongsian hidupnya dengan Marhum Affifullah, Almarhumah dikurniakan dengan dua putera dan dua puteri iaitu Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain, YAM Raja Dato' Seri Jamil Ariffin, YAM Raja Puan Mahkota Perak Raja Dato' Seri Nazhatul Shima dan Isteri kepada DYMM Sultan Johor Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah.
Alfatihah kepada Almarhumah YMM Raja Perempuan Muzwin Semuga Rohnya Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman dan Beramal Solleh. AMIN. Dengan ini Syah mengucapkan Sembah Takziah kepada Kaum Kerabat Almarhumah YMM Raja Perempuan Muzwin Perak diatas Kemangkatan Almarhumah.
No comments:
Post a Comment