Saturday, October 22, 2011

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Istiadat Keberangkatan Balik dan Istidat Pengisytiharaan Semula Sebagai Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin

22.10.2011, Sabtu - Tidak lama lagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billh Shah akan mengakiri tempoh lima tahun baginda sebagai Ketua Negara yang bersemayam disingahsana pemerintahan Kerajaan Persekutuan sebagai Ketua Negara iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-13. Seperti kelazimannya beberapa upacara dan istiadat khas akan diadakan seperti Majlis Santapan, Majlis Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda di Parlimen dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kula Lumpur dan Sambutan ketibaan baginda di Terengganu dan Permasyuran semula baginda sebagai Sultan Terengganu. Iannya merupakan satu proses yang panjang dan penuh dengan protokol. Istiadat khas ini didakan bagi menjunjung kasih tanda terima kasih kerajaan dan rakyat Malaysia atas jasa dan pengorbanan baginda berdua. Semua program yang telah diaturkan akan berlangsung dengan penuh adat istiadat Melayu yang penuh gilang gemilang.

Syah hendak berkongsi cerita dengan anda berhubung proses yang dilalui oleh Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12 dan kalau ada yang bertanya mengapa tak ambil contoh Tuanku Mizan jawapannya kerana Tuanku Mizan belum lagi menamatkan perkhidmatannya dan belum lagi menjalani proses berkenaan dan akan melaluinya tak lama lagi. Memang panjang proses yang perlu dilalui. Syah akan maklumkannya secara ringkas sahaja mengenai pertabalan dan keberangkatan balik serta permasyhuran semula baginda sebagai Raja Perlis seperti berikut :-

Majlis Raja-Raja telah mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-191 (Khas) sempena kemangkatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj pada 21.11.2001 yang ketika itu merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-11. Mesyuarat ini bertujuan melantik Yang di-Pertuan Agong yang baru dan Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru. Istiadat Perlantikan dan Lafaz Sumpah Memegang Jawatan berlangsong di Balairong Seri Istana Negara pada 13.12.2001.

Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XII dengan penuh adat istiadat di Balirong Seri, Istana Negara pada hari Khamis 25 April 2002 bersamaan 19 Safar 1423 Hijrah dengan disaksikan oleh Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri, Kerabat-Kerabat Diraja, orang kenamaan, pembesar-pembesar negara, pemimpin-pemimpin rakyat dan jemputan-jemputan khas dari luar negara. Dengan pertabalan ini Tuanku Syed Sirajuddin meneruskan legasi tradisi Raja Berpelembagaan di Malaysia sebagai Ketua Negara yang amat kita kasihi ini.

Istiadat dimulai dengan tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu "Raja Berangkat" sebagai tanda keberangkatan masuk Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid ke Balairong Seri Istana Negara. Keberangkaan tiba baginda berdua didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan Panglima-Panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta Alat-alat Kebesaran Diraja. Setelah bersemayam disingahsana, istiadat pertabalan dimulai dengan Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat serta pegawai-pegawai Istana Negara mengadap membawa senaskah Al-Quraan bersama-sama Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Watikah Ikrar diikuti paluan nobat dengan lagu "Menjunjung Duli".

Datuk Paduka Maharaja Lela menyerahkan Al-Quraan berkenaan kepada Seri Paduka Baginda dan seterusnya Tuanku mencium Al-Quraan berkenaan dan meletakkannya diatas meja iring yang terletak diantara Seri Paduka Baginda berdua manakala peralatan Kebesaran Diraja yang lainnya pula diletakkan diatas meja dihadapan Singahsana. Perdana Menteri Dato' Seri Dr.Mahathir bin Mohamad (Sekarang Tun) mengambil tempat membacakan Surat Perisytiharan Pertabalan dan kemudiannya Ikrar Taat Setia bagi pihak rakyat jelata. Selepas itu Datuk Paduka Maharaja Lela menyembahkan Keris Kerajaan kepada Seri Paduka Baginda . Setelah menerima keris berkenaan, Seri Paduka Baginda menghunus, mengucup dan menyarungkan semula keris itu sebagai tanda penerimaan pemasyhuran sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seterusnya Seri Paduka Baginda menerima Watikah Ikrar dari Datuk Paduka Maharaja Lela dan melafazkan ikrar berkenaan diikuti dengan paluan nobat "Raja Bertabal" dan kemudiannya Datuk Paduka Maharaja Lela melaungkan ungkapan DAULAT TUANKU sebanyak tiga kali diikuti para hadirin lainnya. Sebagai simbolik pemakluman kepada rakyat mengenai pemasyuran raja baru, tembakan 21 das meriam berkemundangan diudara diikuti lagu Negara Ku. Perdana Menteri kemudiannya menyembahkan Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia Kerajaan dan rakyat Malaysia. Kemudiannya Tuanku menyampaikan titah diikuti bacaan doa selamat oleh Pegawai Agama Istana Negara.

Seri Paduka Baginda kemudiannya menyerahkan semula naskah Al-Quraan tadi kepada Datuk Paduka Maharaja Lela dan Seri Paduka Baginda mengisytiharkan istiadat pertabalan telah disempurnakan sebelum berangkat meninggalkan Balairong Seri Istana Negara diikuti paluan nobat "Raja Berangkat". Keberangkatan Seri Paduka baginda didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela manakala Datuk Penghulu Istiadat membawa naskah Al-Quraan dan panglima-panglima membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta alat-alat Kebesaran Diraja.

Kelihatan Tuanku Syed Sirajuddin Mengalirkan Air Mata di Majlis Keberangkatan Pulang baginda semasa memberi ucapan selamat tinggal dan salam terakhir kepada kakitangan Istana Negara yang bersama-sama berbakti kepada baginda berdua selama lima tahun sebelum berangkat ke Dataran Parlimen untuk upacara rasmi keberangkatan pulang ke Perlis. Susah bagi seorang raja untuk mengalirkan air mata dan ini melambangkan betapa kasih dan sayang serta akrabnya Seri Paduka Baginda dengan kakitangan Istana.

Setelah menabur bakti sebagai Ketua Negara selama lima tahun bersemayam di singahsana pemerintahan Kerajaan Persekutuan akhirnya tibalah masa Baginda untuk kembali semula ke Negeri Perlis dan digantikan oleh Sultan Terengganu iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekarang. Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara pada 12.12.2006. Beberapa upacara dan istiadat diadakan bagi menjunjung kasih tanda terima kasih kerajaan dan rakyat Malaysia diantaranya Majlis Santapan, Majlis Keberangkatan Balik Baginda di Parlimen dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sambutan ketibaan di Perlis dan Watikah Permasyuharan semula sebagai Raja Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda ke Dataran Parlimen disambut oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badwi (sekarang Tun) dengan tiupan nafiri oleh Angkatan Tentera Malaysia. Baginda berdua kemudiannya diiringi ke peterana melalui Pasukan Kawalan Tombak dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormat. Kemudiannya Pasukan Pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) memainkan lagu "Hormat Diraja" dan Negara Ku". Bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong kemudiannya dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam. Baginda kemudiannya melakukan pemeriksaan barisan Pasukan Kawalan Kehormat RAMD.

Setelah selesai melakukan pemeriksaan barisan pasukan kawalan kehormat, Mufti Wilayah Persekutuan membaca doa diikuti tabik "Hormat Diraja" dan lagu "Negara Ku". Baginda berdua kemudiannya berkenan bersalaman dengan menteri-menteri kabinet, ketua-ketua jabatan, dan diplomat asing sebelum berangkat ke KLIA diringi oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Manakala murid-murid sekolah, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta berbaris dikiri kanan jalan disepanjang jalan Parlimen hingga Bank Negara untuk memberi penghormatana dan lambaian perpisahan kepada baginda berdua.

Ketibaan Baginda berdua ke KLIA disambut dengan penuh adat istiadat dan tradisi Kesultanan Melayu hasil kreativiti Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim. Setiba Baginda berdua ke KLIA, Baginda berdua disambut oleh seekor gajah dan lima hulubalang. Gajah digunakan sebagai simbolik tanda kebesaran dan tradisi kerajaan Kesultanan Melayu Silam. Perarakan yang penuh dengan warna warni ini melibatkan 28 orang pembesar negeri dan 80 orang pengiring istana terdiri daripada hulubalang, ketua inang istana, pembawa bunga, pembawa payung kuning bertingkat dan pembawa sirih junjung. Empat orang hulubalang, 50 pemalu gendang dan 240 pengiring berpakaian kaum berbilang bangsa di Malaysia. Baginda berdua kemudiannya ke petrana khas bagi menyaksikan persembahan silat oleh 100 orang pesilat dan satu persembahan khas "Daulat Tuanku" diadakan oleh peserta perarakan dan kemudiannya bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan sebelum baginda memasuki pesawat khas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sebelum meneruskan perjalan ke Perlis menggunakan kereta.

Melangkah megah ke Singahsana Perlis Indera Kayangan untuk Istiadat Pengisytiharan Semula sebagai Raja Negeri Perlis.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis dan dif-dif kehormat negeri Perlis dan Kedah. Baginda dan rombongan berangkat pulang ke Perlis dengan diringi lebih 2000 motosikal dan 100 motosikal berkuasa tinggi hingga ke Istana Perlis. Manakala di sempadan Kedah-Perlis, keberangkatan pulang baginda ke Perlis disambut oleh 1000 orang pemalu gendang, dan 100 orang peniup serunai diketuai pasukan pembawa tombak dan terinai. Rakyat jelata pula berbaris disepanjang jalan mengalu-alukan keberangkatan pulang baginda.

Pada 14.12.2006 telah diadakan Istiadat menandatangani Watikah Pengisytiharan sebagai pemerintah negeri Perlis di Istana Arau, Arau, Perlis. Dalam istiadat ini, pengisytiharan telah dibacakan oleh Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim di Balairong Seri Istana Arau. Terdahulu istiadat perarakan watikah telah dilakukan dengan penuh adat istiadat sejauh 1 km ke Istana Arau dengan diiringi oleh 100 orang peniup serunai dan hulubalang beserta lima ekor gajah. Perarakan diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri , Datuk Abu Bakar Ismail yang kemudiannya menyerahkan watikah itu kepada Menteri Besar. Maka Tuanku Syed Sirajuddin pun menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail Raja bagi Negeri Perlis dan Jajahan Takluknya.

DIRGAHAYU TUANKU PATIK

No comments: