Sunday, December 2, 2012

Tuanku Abdul Halim Dan Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Resepsi Perkahwinan Nasha Alyssa dan Muhd. Anas Zawawi


02.12.2012, Ahad - Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli menghadiri  Majlis Resepsi Perkahwinan anak Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin Onn dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.  Majlis yang diadakan disebuah hotel terkemuka di ibu negara ini turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar, Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob dan Isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Dato' Zurina bt Kasim serta Yang Amat Mulia Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.

Turut serta menghadiri majlis ini adalah Perdana Menteri yang amat kita kasihi iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Tun Abdullah Ahmad Badwi dan isteri Tun Jeanne Abdullah. Kedua ibubapa pengantin serta ibu dan bapa tiri pengantin lelaki juga menghadiri majlis resepsi ini.  Datuk Seri Khalid,  Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Rayyan JK Abdullah, Datin Tunku Zawyah, Datuk Seri Hishamuddin dan Datin Seri Marsella kelihatan ceria dalam majlis yang dihadiri oleh 1,000 orang tetamu ini. 

Pasangan pengantin Nasha Alyssa dan Muhd. Anas Zawawi telah selamat diijab kabulkan oleh Datuk Seri Hishamuddin sendiri dikediaman beliau di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya pada 24 November lepas.  Sebelum ini, pada 01.12.2012 telah diadakan satu majlis resepsi di Dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra dan dihadiri oleh 10,000 orang jemputan yang terdiri daripada para perwakilan dan pemerhati Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang sedang berlangsung ditempat yang sama ketika itu. Timbalan Perdana Menteri dan Isteri adalah diantara yang hadir dalam majlis di PWTC ini. Dalam majlis di PWTC ini juga, ibu tiri Muhd. Anas Zawawi iaitu Datuk Siti Nurhaliza telah berbesar hati mendendangkan dua buah lagu, mencintaimu dan zapin budi untuk kedua mempelai. 

Sumber :- Bernama

2 comments:

Ajeep said...

Salam abg syah,

yg berbaju biru (duduk kiri sekali) ialah Tunku Laksamana Johor, iaitu Tunku Abdul Jalil (Ku Lil) i/o Tunku Abdul Rahman (Tunku Panglima Johor)..hehe..Bernama mungkin tersalah type..

happy blogging abg syah!
=)

tengkusyah said...

Salam Ajeep, Nama Tunku Abdul Rahman tu Syah yang tulis bukan Bernama. Bernama tak mentionpun.Heheheh Gambar tu kecil dan Syah tak pasti samada ianya Tunku Laksamana atau Tunku Panglima, so Syah rasa macam Tunku Panglima sebab itu Syah tulis nama dia.