03.12.2012, Isnin - Shukur Alhamdulillah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah selamat sampai di Jakarta hari ini untuk lawatan rasmi negara selama empat hari bermula hari ini 03 hingga 06 Disember 2012. Ini merupakan lawatan rasmi negara KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama ke Indonesia dan yang ketiga selepas negara Brunei Darussalam (09 - 15.05.2012) dan Jepun (01-05.10.2012) semenjak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012.
Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Raja Permaisuri Agong serta rombongan telah disambut oleh Menteri Luar Negeri Indonesia, Marty Natalegawa dan isteri Sranya Natalegawa. Turut hadir di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur untuk menyambut keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan rombongan adalah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri serta Menteri Pengiring Indonesia yang juga Menteri Sosial Indonesia, Dr Salim Segaf Al Jufri serta isteri. Menteri pengiring Malaysia bagi lawatan negara ini adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan isteri.
Sumber :- Bernama
No comments:
Post a Comment