Saturday, December 22, 2012

Tengku Ampuan Rahimah - Tengku Ampuan Selangor Ke-6

22.12.2012, Sabtu - Pagi-pagi Sabtu nie disebabkan Syah tak kerja, bolehlah buat entry daripada koleksi peribadi Syah.  Syah nak  maklumkan secara ringkas kepada anda mengenai mengenai Tengku Ampuan Selangor ke-6, Almarhumah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajah Rahimah binti Almarhum Sultan Abdul Aziz (Langkat). Sekarang nie Negeri Selangor tidak mempunyai Tengku Ampuan kerana Sultan Selangor sekarang, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah masih lagi belum terbuka hatinya mencari permaisuri baru setelah gagal daripada dua perkahwinannya yang terdahulu. Gelaran Permaisuri Selangor terakhir sebelum gelaran ini dikosongkan adalah disandang oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Siti Aishah  iaitu bekas KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-XI.

Tengku Ampuan Rahimah merupakan kerabat Diraja Langkat, Indonesia dan merupakan puteri kepada DYMM Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah ibni Almarhum Sultan Musa Al-Khalidy Al-Muadzam Shah, Sultan Langkat. Walau bagaimanapun baginda bukanlah seratus peratus Indonesian kerana bonda baginda, Tengku Permaisuri Zaharah adalah puteri kepada Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor Ke-5.  Tengku Ampuan Rahimah diputerikan pada 04.08.1928 di Langkat, Indonesia.  Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda di Sumetera dan mendapat ijazah dalam bidang hal urusan rumahtangga. Pada 10.03.1956, baginda berkahwin dengan Raja Muda Selangor Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Aziz Shah.  Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1958, baginda dianugerahkan dengan gelaran Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Selangor.  Gambar di atas adalah sempena perlantikan baginda sebagai Raja Puan Muda Selangor.  Kelihatah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah mengalungkan rantai  keleher baginda selepas baginda diistiharkan sebagai Raja Puan Muda Selangor.  Pada  28.06.1961 baginda dimahkotakan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor sempena Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai Sultan Selangor yang baru.

Hasil daripada perkongsian hidup Tengku Ampuan Rahimah dengan Sultan Salahuddin, baginda telah dikurniakan dengan dua orang puteri iaitu Tengku Puteri Nor Marina (Mariah) dan Tengku Puteri Nor Zehan.  Sultan Selangor sekarang, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah bukanlah anak kepada Tengku Ampuan Rahimah tetapi anak kepada bekas isteri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah.  YMM Paduka Bonda Raja Selangor juga merupakan kerabat diraja Selangor iaitu sepupu Sultan Salahuddin sendiri. Begitu juga dengan Tengku Ampuan Rahimah, baginda juga  merupakan sepupu kepada Sultan Salahuddin.  Gambar ini diambil sempena hari keputeraan Sultan Salahuddin pada tahun 1965.  Sebagai Tengku Ampuan Selangor, Baginda terlibat cergas dalam pelbagai aktiviti dan kebajikan sosial.  Pada tahun 1962, baginda pernah dilantik sebagai  Yang Di Pertua Kumpulan Wanita Semenanjung Tanah Melayu.  Baginda sentiasa mengiringi Sultan Salahuddin dalam pelbagai program rasmi Sultan Selangor samada didalam atau diluar negara.

Jodoh, Ajal, Maut dan Pertemuan di Tangan Yang MAHA ESA.  Pada 27.06.1993 telah sampai ketikanya Tengku Ampuan Rahimah meninggalkan suami tercinta dan rakyat Selangor.  Jenazah Almarhumah telah dimakamkan di Makam Diraja Selangor di Bandar Diraja Klang.  Inilah makam Almarhumah Tengku Ampuan Rahimah yang diperbuat daripada batu mamar bewarna hijau gelap yang ditempah khas dari Pakistan.  Makam dihadapan sekali yang bewarna putih dan kuning itu adalah makam kepada bonda Almarhumah Tengku Ampuan Rahimah iaitu Almarhumah Tengku Permaisuri Zaharah binti Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah.  

Marilah kita bersama-sama mendoakan keampunan dan menghadiahkan pahala bacaan Al-Fatihah agar roh  Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Hajah Rahimah binti Almarhum Sultan Abdul Aziz (Langkat) dan Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj sentiasa dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal solleh, Insyallah ...... Al-Fatihah ..........











Sumber :- Koleksi Peribadi / 25 tahun Pemerintahan DYMM diatas tahta kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan (1960-1985) / Buku aturcara Istiadat Perlantikan DYMM Tengku Permaisuri Selangor

No comments: