Saturday, December 1, 2012

Makam Hajjah Tengku Mahtera binti Seri Paduka Sultan Deli Tuanku Amaluddin Alsan Perkasa Alam

01.12.2012, Sabtu - Sewaktu Syah ziarah ke Tanah Perkuburan Jalan Ampang beberapa  bulan lepas, Syah sempat ziarah ke makam ini. Sebenarnya setiap kali Syah kesini untuk ziarah Makam Raja Alang, Syah juga akan singgah ke makam ini untuk sedekahkan pahala Al-Fatihah kepanya. Pada nesannya tertulis :-  Alfatihah Almarhumah Tengku Hajjah Mahtera binti Seri Paduka Sultan Deli Tuanku Amaluddin Alsan Perkasa Alam Mangkat pada 30.08.1969 Semuga di Cucuri Rahmat Ke Atas Rohnya Amin. Disebelah atas nesannya terdapat lambang diraja Kesultanan Deli.  Disebelah pusara ini terdapat satu lagi pusara perempuan yang bentuknya sama cuma pada nesannya diletakkan lambang negeri Kedah.  Tentu mereka yang lalu dikawasan ini  tertanya-tanya mengapa keluarga diraja Deli dimakamkan di Malaysia. Kesultanan Deli didirikan pada tahun 1669 oleh Tuanku Panglima Perunggit di Deli yang kini dikenali sebagai Medan di Indonesia.  Kesultanan Deli masih wujud sehingga sekarang walaupun tidak mempunyai kuasa politik setelah Sistem Beraja dimansuhkan dan diganti dengan pembentuka Republik Indonesia.

Tahukan anda siapakah gerangannya pemilik pusara ini.  Ini adalah pusara puteri kepada Sultan Deli ke-10 Almarhum Sultan Amaluddin Al Sani Perkasa Alamsyah. Almarhumah Tengku Hajah Mahtera bukan sahaja merupakan kerabat diraja Deli tetapi juga merupakan kerabat diraja Perak disebelah bondanya.  Patutlah jenazahnya di makamkan di Malaysia. Bonda Almarhumah adalah Tengku Permaisuri Chalidjah (Raja Halijah ejaan bahasa Melayu) binti Almarhum Sultan   Abdullah Muhammad Shah II, Sultan Perak ke-26 yang telah dibuag negeri oleh British ke Pulau Seychelles pada 31.08.1876 ekoran daripada peristiwa pembunuhan Residen British Pertama di Perak JWW Birch pada 02.11.1875. Almarhumah Raja Halijah telah diputerikan di Pulau Seychelles dan telah berkahwin dengan Tuanku Sultan Deli di Singapura sekitar  November 1906.  Sebenarnya sebelum ini kekanda kepada Raja Halijah iaitu Raja Mariam Maheran binti  Almarhum Sultan   Abdullah Muhammad Shah II telah berkahwin dengan Sultan Amaluddin Alsan Perkasa Alam tetapi telah mangkat pada 16.04.1901 selepas 7 bulan 26 hari melahirkan puteranya Tengku Otteman yang kemudiannya menjadi Sultan Deli ke-11. Gambar disebelah ini adalah bonda kepada Almarhumah Tengku Hajjah Mahtera iaitu Almarhumah Tengku Permaisuri Raja Halijah. Syah tak ada gambar Almarhumah Tengku Hajjah Mahtera.


Almarhumah Tengku Hajjah Mahtera  berkahwin dengan salah seorang kerabat diraja Kedah bernama Tengku Izham dan kemudiannya Almarhumah berkahwin pula dengan seorang kerabat diraja Perak, Major Raja Dato' Amir Shah bin Raja Razman ibni Raja Bendahara Abdul Hamid Ibni Sultan Idris.  Pusara disebelah Almarhumah yang mempunyai lambang negeri Kedah adalah kepunyaan anak perempuan Almarhumah dengan suami pertamanya iaitu Almarhumah Puan Seri Hajjah Tengku Maheran binti Tengku Izham. Marilah kita bersama-sama sedekahkan pahala Al-Fatihah kepada Almarhumah Tengku Hajjah Mahtera binti Seri Paduka Sultan Deli Tuanku Amaluddin Alsan Perkasa Alam dan Almarhumah Puan Seri Hajjah Tengku Maheran binti Tengku Izham, Al-Fatihah ........... semuga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin.

Sumber : Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang/Wikipedia/Persatuan Sejarah Malaysia

No comments: