Tuesday, December 11, 2012

Tuanku Abdul Halim Hadiri Majlis Santapan Malam Amal "The Royal Patron's Night" Yayasan Sultanah Bahiyah

11.12.2012, Selasa - Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenaan menghadiri Majlis Santapan Malam Amal "The Royal Patron's Night" Yayasan Sultanah Bahiyah.  Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby ini adalah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-85 tahun pada 28 November lepas.  Majlis ini juga bertujuan mengumpul dana bagi membolehkan Yayasan meneruskan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan untuk tahun 2013.

Tuanku Abdul Halim yang juga merupakan penaung bagi Yayasan ini telah berkenaan memotong kek hari keputeraan dan melancarkan bas unit derma darah bergerak yayasan yang diusahakan bersama Hospital Sultanah Bahiyah. Turut serta dalam majlis ini adalah Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr  Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah Tunku Panglima Besar Kedah, YTM Dato' Seri Diraja Tunku Puteri Intan Shafinaz binti KDYMM Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Dalam majlis ini juga Tunku Puteri Intan Shafinaz  telah menerima sumbangan sebanyak RM1.9 Juta hasil kutipan jualan meja untuk majlis ini yang telah diadakan semenjak pertengahan Oktober.  Tunku Puteri Intan Shafinaz dalam kenyataannya memaklumkan bahawa setiap tahun Yayasan membelanjakan sebanyak RM2 juta untuk menjayakan pelbagai program dan aktiviti kebajikan bagi rakyat Kedah termasuk program pendidikan dan kesihatan. Diantara projek yang berjaya dihasilkan adalah Titian Bistari iaitu program kelas tuisyen secara percuma yang telah dinikmati oleh 2,880 orang murid tahun 4,5 dan 6 di 24 buah pusat pembelajaran seluruh negeri Kedah.  Tambah beliau lagi, pusat hemodialisis kedua Yayasan Sultanah Bahiyah  telah ditubuhkan di Daerah Kulim dan akan beroperasi pada tahun hadapan. Pusat hemodialisis ini adalah hasil kerjasama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.

Sumber :- Bernama

No comments: