21.06.2012, Khamis - Tahukah anda bahawa ada salah sebuah negeri beraja di Malaysia yang tidak mempunyai gelaran Raja Muda/Putera Mahkota ? Ini buka bermakna iannya tiada pewaris, keadaan ini disebabkan kebanyakan negeri-negeri beraja di Malaysia menggunakan Adat Temenggong manakala negeri ini menggunakan Adat Pepatih. Negeri ini adalah Negeri Sembilan. Pewaris tahtan Negeri Sembilan terdiri daripada Putera Yang Empat iaitu empat orang Putera Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dipilih sebagai pewaris tahta. Apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar, barulah Undang Yang Empat akan bermesyuarat untuk memilih Yang di-Pertuan Besar yang baru dikalangan Putera Yang Empat sebelum jenazah dimakamkan. Keunikan sistem ini menyebabkan Anak Sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak semestinya menggantikan Ayahanda mereka apabila berlaku kemangkatan seperti yang berlaku di negeri-negeri beraja lain di Malaysia kecuali Perak yang mana bakal Sultannya adalah Raja Muda mengikut sistem giliran. Gelaran-Gelaran Putera Yang Empat mengikut kekanan adalah seperti berikut :-
- Tunku Besar Seri Menanti (asalnya digelar Tunku Besar)
- Tunku Laxmana
- Tunku Muda Serting (asalnya digelar Tunku Muda)
- Tunku Panglima Besar
Pemilihan pengganti Yang di-Pertuan Besar dikalangan Putera Yang Empat bermula semenjak pemerintahan Yamtuan Raden (1831 - 1861). Pada masa dahulu Putera yang Empat mempunyai tugas-tugas tersendiri seperti Tunku Besar mewakili Yang di-Pertuan Besar, Tunku Laxamana dan Tunku Muda dipertanggung jawabkan menerima kedatangan para pembesar manakala Tunku Panglima Besar diamanahkan menjaga keselamatan Istana. Walau bagaimanapun, sekarang Putera Yang Empat tidak lagi terikat dengan tugas-tugas berkenaan kecuali Tunku Besar Seri Menanti yang menjadi Ahli Dewan Keadilan dan Undang.
Dalam istiadat-istiadat yang berlangsung di Istana, Putera Yang Empat mengiku peraturannya duduk seiring dengan Yang di-Pertuan Besar dan Tunku Ampuan Besar dalam istiadat-istiadat penting seperti Pertabalan Yang di-Pertuan Besar, Istiadat Undang mengadap dan Istiadat Penghulu Mengadap. Buat masa ini Putera-Putera Yang Empat adalah seperti berikut :-
- YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz
- YAM Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar
- YAM Tunku Muda Serting Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar
- YAM Tunku Panglima Besar Tunku Dato' Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuannku Ja'afar
Setakat ini pemegang gelaran Tunku Panglima Besar tidak pernah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Empat orang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dipilih daripada pemegang gelaran Tunku Besar Seri Menanti adalah Yamtuan Raden (1831-1861), Yamtuan Imam (1861 - 1869), Tuanku Muhammad Shah (1887 - 1933) dan Tuanku Muhriz (2008 - sekarang). Daripada pemegang gelaran Tunku Laxmana seramai dua orang iaitu Yamtuan Antah (1872-1887) dan Tuanku Munawir (1960-1967) manakala daripada pemegang gelaran Tunku Muda Serting seramai dua orang iaitu Tuanku Abdul Rahman (1933-1960) - Yang di-Pertuan Agong Malaysia I dan Tuanku Ja'afar (1967-2008).
Sumber :- Payung Berdaulat Warisan Beradat
No comments:
Post a Comment